11 insentif baharu RM2.9b untuk usahawan Bumiputera

Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan 11 insentif baharu dengan penyediaan dana keseluruhan bernilai RM2.9 bilion bagi mengukuh dan mengembangkan lagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera.

Perdana Menteri berkata, peruntukan terbesar berjumlah RM2 bilion akan disalurkan kepada program Dana Mudahcara Bumiputera Fasa Kedua.

Najib berkata, dana sebanyak RM500 juta diperuntukkan bagi mempergiatkan pembangunan usahawan Bumiputera dalam industri peruncitan dan pengedaran yang mana RM200 juta sumbangan kerajaan dan RM300 juta daripada Perbadanan Usahawan Nasional (PUNB).

“Kerajaan Barisan Nasional (BN) amat memahami usahawan memerlukan sokongan kerajaan.

“Untuk mengukuhkan lagi tiang sokongan kerajaan kepada usahawan PKS Bumiputera kita umumkan 11 insentif baharu ini..,” katanya di hadapan 10,000 usahawan Bumiputera sempena Himpunan Usahawan Bumiputera (HUB) di Stadium Axiata Arena Bukit Jalil di sini.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, insentif RM50 juta akan disediakan untuk membantu penyenaraian syarikat PKS di pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP).

“Untuk tujuan itu geran bersamaan (matching grant) sejumlah RM500,000 akan diberikan kepada setiap syarikat yang berjaya disenaraikan dan dimasukkan dalam Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) di bawah SME Corp,” katanya.

Katanya, peruntukan RM40 juta akan disalurkan kepada Program Local to Global Acsend 800 atau LGC 800. Insentif itu akan memanfaatkan 80 syarikat PKS Bumiputera berprestasi tinggi dalam bentuk pinjaman mudah hingga RM500,000 bagi syarikat untuk mentransformasi perniagaan masing-masing.

Dana RM60 juta pula disalurkan untuk Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) untuk mempersiap dan melatih 3,000 belia Bumiputera bagi tahun 2019.

Sebanyak RM50 juta diperuntukkan untuk inisiatif pelaksanaan WIRA eDagang di Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) untuk 10,000 PKS Bumiputera dalam tempoh tiga tahun.

Insentif lain yang diumumkan Perdana Menteri ialah peruntukan RM50 juta bagi program SpeedMeUp di bawah SME Corp yang mana syarikat permulaan Bumiputera akan dibantu dengan geran bersamaan hingga RM250,000 bagi memulakan operasi perniagaan.

Sebanyak RM50 juta akan diperuntukkan di bawah Dana Insentif Pelaburan bagi melonjak pemilikan ekuiti Bumiputera yang terbabit dalam sektor strategik terpilih.

Najib berkata, MARA akan turut melanjutkan Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE) berjumlah RM50 juta untuk manfaat 3,000 kontraktor Bumiputera.

“MARA juga akan memperuntukkan Skim Pembiayaan Mudah Jaya (SPiM) berjumlah RM50 juta kepada usahawan mikro dan kecil,” katanya.

Katanya, insentif lain ialah Galakan Elaun Peningkatan Eksport bagi PKS yang dilanjutkan untuk tempoh dua tahun hingga 2020.

Perdana Menteri turut mengumumkan insentif berbentuk bukan kewangan iaitu pemerkasaan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dengan diberi mandat untuk menjadi penyelaras tunggal bagi semua dasar dan program berkaitan Bumiputera di setiap peringkat kementerian, agensi, koridor dan syarikat berkaitan kerajaan.

Selain 11 insentif itu, Najib turut mengumumkan penubuhan Persatuan Bumiputera SME Malaysia (BumiSME) sebagai platform untuk menyatukan semua PKS daripada pelbagai latar belakang dan industri.

Katanya Pengerusi SME Corp, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid, dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa sementara persatuan berkenaan dan dana awalan berjumlah RM10 juta akan disalurkan kepada BumiSME menerusi SME Corp.

“Dengan dana ini, saya mengamanahkan persatuan BumiSME untuk menganjurkan Pesta Mega Tahunan Ekspo dan Jualan PKS Bumiputera Negara,” katanya.

Katanya, ekspo itu akan menghimpunkan usahawan dari seluruh negara untuk mempamer dan menjual produk serta perkhidmatan mereka secara besar-besaran sama ada secara B2B (perniagaan kepada perniagaan) atau B2C (perniagaan kepada pengguna).

Berita Harian

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.