Pemimpin PPBM khianat ahli sendiri

Notis statutori yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menjadi bukti kemungkaran kepemimpinan parti berkenaan dalam mengkhianati hak ahli-ahlinya.

Bekas Ketua Pemuda PPBM Klang, Mohd. Kairol Faizal Mohd. Nordin berkata, kepemimpinan PPBM akhirnya akan menerima padah akibat keangkuhan sendiri apabila parti tersebut bakal dibubarkan sekiranya gagal mengemukakan tuntutan yang dikemukakan ROS.

Beliau berkata, PPBM telah terbukti melanggar perlembagaan parti, mengamalkan sikap kronisme dalam pentadbiran dan melakukan penganiayaan terhadap ahli serta pemimpin yang tidak sehaluan.

“Alhamdulillah, usaha keras kami selama ini bagi membongkar penipuan PPBM akan membawa kepada keputusan positif dengan terbubarnya parti itu sekiranya gagal mengemukakan tuntutan tersebut.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada ROS kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan telus dan bertindak terhadap aduan-aduan yang telah dikemukakan oleh ahli PPBM sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Ketua Pengarah ROS, Surayati Ibrahim memberitahu pihaknya telah mengemukakan satu notis mengikut Seksyen 14 (2) Pertubuhan 1966 kepada PPBM berkuat kuasa pada 28 Februari lalu.

Notis tersebut yang telah diserahkan kepada Setiausaha Agung PPBM, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh, mengkehendaki parti tersebut menjawab serta menyerahkan semua maklumat dan juga dokumen kepada pihak ROS.

Mengulas lanjut, Kairol Faizal berkata, pengeluaran notis tersebut juga jelas menunjukkan agensi tersebut telah berlaku jujur dan amanah selaras dengan bidang kuasanya.

“Selama ini PPBM sering menyalahkan ROS kerana dikatakan berat sebelah dan menerima campur tangan politik parti pemerintah.

“Ironinya, PPBM sendiri yang membelakangi perlembagaannya sendiri apabila menubuhkan sayap haram Armada yang tidak selaras dengan perlembagaan dan gagal mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang tidak mengikut peraturan di dalam perlembagaan parti,” ujar beliau. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply