PPR antara kejayaan terbesar kerajaan – Najib

Share


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menyifatkan Program Perumahan Rakyat (PPR) ​​​​​​antara kejayaan terbesar kerajaan sekali gus membuktikan Kerajaan Persekutuan sentiasa menunaikan janji bagi menyediakan keperluan untuk rakyat.

Beliau berkata kerajaan sehingga kini telah berjaya menyiapkan 83,759 unit rumah melalui 120 projek PPR untuk golongan yang memerlukan.

“Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM6 bilion supaya rakyat dapat memiliki rumah PPR dengan harga RM35,000 (seunit) di Semenanjung manakala RM42,000 di Sabah dan Sarawak.

“Sebanyak RM80,000 sehingga RM120,000 subsidi telah disalurkan kerajaan untuk setiap unit PPR,” katanya dalam catatan di blognya NajibRazak.com berkenaan PPR.

Najib berkata semua projek unit perumahan itu walaupun dijual dengan harga yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran, namun kualitinya menyamai rumah yang dibina oleh pemaju swasta.

Tambah perdana menteri terdapat banyak projek PPR yang permohonannya bakal dibuka seperti PPR Kepong, PPR Mukim Naga di Kubang Pasu, Kedah, PPR Kota Bharu, Kelantan, PPR Kampung Tok Suboh di Pulau Pinang sementara PPR Machang di Kelantan sudah dibuka untuk permohonan.

“Kerajaan Persekutuan sentiasa menunaikan janji untuk menyediakan keperluan untuk rakyat. Berbeza dengan Kerajaan Pakatan Harapan di Selangor dan Pulau Pinang, mereka gagal untuk menyediakan rumah mampu milik di bawah kerajaan negeri,” katanya

Di Selangor, katanya, sembilan projek Selangorku dibatalkan manakala di Pulau Pinang walaupun selepas sembilan tahun, kerajaan negeri masih gagal menyerahkan kunci rumah mampu milik kepada rakyat.

Najib berkata kerajaan menggalakkan rakyat agar memohon untuk mendapatkan rumah mampu milik kerana memahami yang perumahan mampu milik juga adalah hak rakyat.

Sementara itu, sebanyak 2,000 unit rumah PPR akan dibina di Kedah tahun ini membabitkan kos RM450 juta, kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar.

Rumah tersebut akan dibina di tiga lokasi iaitu 1,000 unit di Langkawi, 500 unit di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bakar Bata di Alor Setar dan 500 unit lagi di Baling, katanya.

“Kita akan mulakan kerja pembinaan dalam tempoh terdekat ini setelah lokasi sebenar dikenal pasti,” katanya kepada pemberita selepas melawat Rancangan Perumahan Awam (RPA) Flat Seri Gemilang di Alor Setar hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Dalam pada itu, Noh berkata pihaknya turut bersetuju agar RPA berkenaan dijual kepada penyewa melalui skim sewa beli dengan kelulusan kerajaan negeri bagi memudahkan penyewa memiliki rumah sendiri pada harga yang rendah.

Ketika ini penyewa di flat berkenaan perlu membayar sewa RM70 sebulan.

Semalam PPR Harmoni di Sungai Petani menjadi rumah transit pertama yang dibina di bawah projek PPR ditawarkan kepada penyewa melalui skim sewa beli pada harga MR35,000 seunit.

Noh berkata ia antara lain berikutan beberapa PPR terbiar tanpa penyelenggaraan dan pengurusan sempurna kerana tiadanya perasaan memiliki terhadap rumah yang diduduki dengan mengganggapnya sebagai rumah sewa semata-mata.

– Bernama


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *