Siasat isu tanah Ijok

Bekas Menteri Besar Sela­ngor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempersoalkan tin­dakan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam menyelesaikan isu skandal tanah di mukim Ijok.

Malah, Abdul Kha­lid mahu pihak berkuasa menyiasat tindakan Kerajaan PKR Selangor dalam menyelesaikan isu terbabit yang disifatkan bukan amalan yang baik dan tidak mencerminkan tatacara perniagaan sebenar dalam me­ngendalikan aset-aset rakyat.

Menurutnya, wujud pelbagai persoalan dalam proses penyelesaian skandal berkenaan antaranya beliau dan peguam caranya tidak pernah diajak hadir mengikuti sesi perbincangan walaupun mereka merupakan antara pihak dalam kes berkenaan.



“Semasa saya menjadi Mente­ri Besar Selangor, tanah itu te­lah dirampas oleh kerajaan negeri dan dibawa ke mahkamah sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan oleh pemaju.

“Ketika kes berjalan pula, terdapat percubaan oleh pihak-pihak tertentu untuk membuat tawaran kepada saya sebagai Menteri Besar untuk menyelesaikan perkara ini.

“Namun, saya tekad untuk membela keputusan yang bertujuan memulihkan projek terbengkalai itu kerana telah menyusahkan ribuan keluar­ga peneroka dan pembeli rumah walaupun terdapat pihak berkepentingan seperti ejen-ejen tanah serta institusi kewangan yang tidak mahu projek ini dipulihkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata, Kerajaan PKR Sela­ngor seharusnya tidak bersetuju dengan penyelesaian tersebut yang jelas telah memberi kesan negatif.

“Pada masa ini penyelesaian dibuat mewujudkan persepsi yang mencurigakan sekali gus mencemarkan nama baik dan reputasi kerajaan negeri.

“Oleh demikian, saya berharap pihak berkuasa akan menyiasat dengan lebih mendalam perkara ini terutamanya individu yang terlibat dalam penyelesaian tersebut agar kebenaran dapat didedahkan,” ujarnya.

Semalam, Penga­rah Komunikasi Stra­tegik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dah­lan menuntut Mohamed Azmin memberi penjelasan mengenai tindakan tergesa-gesa Ahli Parlimen Gombak itu membenarkan dua syarikat swasta menjual tanah di mukim Ijok bernilai RM1.181 bilion kepada sebuah syarikat lain sebelum proses pe­ringkat Mahkamah Persekutuan selesai dijalankan.

November lalu, dua pertubuhan bukan kerajaan iaitu Generation2u United Club dan Persatuan Pemuda Kampung Lindungan 565 membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meminta siasatan dijalankan jika terdapat unsur rasuah dalam isu tanah di mukim Ijok yang diberikan oleh kerajaan negeri Selangor kepada dua syarikat.

Tanah seluas 880 hektar itu dibeli oleh dua syarikat, LBCN Development Sdn. Bhd. dan Mujur Zaman Sdn. Bhd. pada 1998 namun telah dirampas kerajaan negeri pada 2008 mengikut Kanun Tanah Negara berikutan pelanggaran syarat dan terma perjanjian.

Utusan

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.