Rafizi bukan mangsa, tidak perlu disanjung

Tindakan Mohd. Rafizi Ramli melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA) tidak sepatutnya dibela sama sekali walaupun atas alasan mendedahkan kesalahan orang lain kerana perbuatan Naib Pre­siden PKR itu merupakan suatu jenayah yang serius.

Menjelaskan perkara itu, peguam kanan, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah berkata, dalam hal membabitkan kerahsiaan maklumat perbankan, semua pihak termasuk pemimpin pembangkang yang sengaja cuba memainkan sentimen Mohd. Rafizi menjadi mangsa perlu sedar bahawa tiada istilah ‘matlamat menghalalkan cara’ buat mereka.

Katanya, ini kerana BAFIA bukan sahaja tidak membela mana-mana pihak atau individu yang mendedahkan maklumat terkawal untuk apa tujuan sekali pun, bahkan kerahsiaan segala maklumat perbankan adalah bersifat mutlak yang perlu disanjungi dan dihormati.

“Dalam BAFIA, tiada pengecualian diberikan kepada mana-mana pihak sama ada individu, bank mahu pun Bank Negara Malaysia (BNM) kerana ia me­rupakan prinsip mewujudkan konsep perbankan yang dipercayai.

“Kalau tidak dilindungi di bawah BAFIA, sesiapa pun tidak akan mempercayai sistem perbankan negara ini sekali gus menjejaskan ekonomi Malaysia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan terhadap Mohd. Rafizi selepas mendapati beliau bersalah mendedahkan maklumat perbankan di bawah BAFIA, enam tahun lalu.

Dalam masa sama, Muhammad Shafee berpandangan, Mohd. Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan itu sengaja i­ngin memperdayakan orang ramai bagi meraih populariti demi kelangsungan karier politiknya.

Kata beliau, sebagai pemimpin yang mempunyai latar belakang seorang akauntan, sepatutnya Mohd. Rafizi lebih arif dan menyedari perbuatannya mendedahkan maklumat perbankan itu adalah jenayah yang serius.

Di samping itu, Muhammad Shafee menegaskan, semua pihak harus menerima keputusan Mahkamah Sesyen me­lalui Hakim Zamri Bakar semalam tidak mempunyai sebarang agenda tersembunyi atau arahan daripada mana-mana pihak termasuk kerajaan.

Jelasnya, mana-mana pihak juga tidak sepatutnya mempertikaikan kenapa baharu sekarang Mahkamah Sesyen membuat keputusan itu kerana ia adalah angkara Mohd. Rafizi sendiri yang sering menangguhkan proses perbicaraan kes sehingga bertahun-tahun.

“Kalau orang lain yang berle­ngah-lengah seperti Mohd. Rafizi ini, sudah tentu kena marah de­ngan mahkamah sebab buang masa banyak pihak. Tapi, akhirnya perbuatan beliau itu memakan diri sendiri kerana beliau tidak layak bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Peguam-peguam Muda Kebangsaan, Majlis Peguam, Syed Muhammad Adeeb Barakbah Syed Muhammad Azman Barakbah berkata, keputusan terhadap Mohd. Rafizi dibuat mengikut peruntukan undang-undang serta bukti yang dikemukakan.

Kata beliau, mana-mana pihak tidak seharusnya membuat spekulasi terhadap keputusan terbabit kerana ia boleh dikira memfitnah institusi yang membicarakan segala kes jenayah dan sivil.

“Pertikaian hanya boleh dilakukan menerusi Mahkamah Rayuan sekiranya bukti itu menunjukkan keraguan, tetapi bukan menguar-uarkan kepada masyarakat umum seperti yang dilakukan beberapa pihak hari ini,” katanya.

Utusan

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.