Pemimpin pembangkang lidah bercabang

Pemimpin pembangkang disifatkan sebagai lidah bercabang dalam isu tuduhan membabitkan hubungan strategik antara Malaysia dan China.

Menteri Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sikap segelintir pemimpin pembangkang yang cuba mengelirukan rakyat dengan menuduh kedaulatan negara tergugat ekoran daripada hubungan dua hala berkenaan adalah tidak berasas.


Beliau berkata, malah, pembangkang juga sedar bahawa pelaburan dari negara itu amat penting terutama terhadap negeri-negeri yang ditadbir mereka.




“Pembangkang seperti Menteri Besar Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang juga ke negara China untuk mempromosikan pelaburan dan mereka juga mengeluarkan kenyataan menyokong pelaburan China di Malaysia.


“Kadang-kadang di peringkat atas mereka menyokong tetapi di bawah mereka kempen menghentam. Pemimpin mereka hanya lidah bercabang dan cakap tak serupa bikin,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) MyIBS Sdn. Bhd. dan Persatuan Kontraktor Perumahan Kelantan (PKPK) di sini hari ini.


MoU berkenaan telah ditandatangani antara Timbalan Pengerusi CIDB MyIBS Sdn. Bhd. , Datuk Elias Ismail dan Presiden PKPK, Hasniro Hasbullah


Akhbar semalam melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan tidak akan membenarkan sebarang percubaan merosakkan hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan China dan tindakan pembangkang hanya bertujuan untuk menyemai kebencian rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).


Dalam pada itu, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, Malaysia perlu mengambil kesempatan untuk meningkatkan lagi hubungan yang sedia terjalin sebelum ini memandangkan China adalah kuasa ekonomi kedua terbesar dunia ketika ini.


“Dakwaan pembangkang bahawa hubungan Malaysia dan China akan mengugat kedaulatan negara adalah tidak berasas kerana kita adalah negara merdeka.


“Kita ada Parlimen, ada Dewan Rakyat, ada Dewan Negara, ada Bank Negara, dan institusi-institusi ini akan bertindak untuk mempertahankan kedaulatan negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.