Orang Langkawi Tak Lupa Pada ‘Raja Tanah Kedaung’…

Penulis tertarik dengan kenyataan Ahli Parlimen Kuala Kedah yang mewakili PKR, Azman Ismail yang mengatakan rakyat Pulau Langkawi tidak bodoh untuk diperbodohkan. Kenyataan itu benar dan tidak disangkal sama sekali kerana sejak sekian lama penduduknya memberi undi kepada Barisan Nasional (BN).

Namun begitu, apa yang dangkal dalam kenyataan pemimpin PKR itu adalah kononnya rakyat Langkawi tidak akan tertipu dengan janji Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang mengumumkan peruntukan lebih RM1.3 bilion untuk pembangunan di pulau itu.

Penulis ingin menegaskan di sini bahawa apa yang diumumkan Perdana Menteri itu bukan lagi layak dikategorikan sebagai janji, malah ianya lebih menjurus kepada pengumuman pelaksanaan dasar yang telah ditetapkan dalam RMK ke-11.

Jika Ahli Parlimen PKR itu kabur, sila rujuk RMK ke-11 dan akan terpampang projek-projek yang diumumkan Najib di Langkawi baru-baru ini di sana. Jadi, Azman tidak perlulah ‘putar alam’ memutar belitkan fakta sebenar tentang apa yang akan dilaksanakan di Langkawi.

Berhubung kebijaksanaa orang Langkawi memilih wakil rakyat, Azman perlu sedar bahawa PKR sememangnya tidak mendapat tempat di sana. Ingat lagi calon PKR yang kalah teruk kepada calon BN dengan majoriti lebih 11,000 undi pada PRU ke-13?

Itulah bukti orang Langkawi memang bijak memilih wakil parti yang diyakini mampu menjaga kebajikan pulau tersebut dengan baik. Pernahkah PKR menang di Langkawi selama ditubuhkan selama ini? Jika tidak pernah, lebih baik diam saja sebelum ia memalukan diri sendiri…

Seperkara yang penulis ingin ingatkan kepada Azman, projek-projek yang diumumkan Najib di Langkawi itu semuanya adalah berpaksikan kepada penambahbaikan infrastruktur demi kebajikan penduduk di pulau itu. Tidak ada satu pun berunsurkan keuntungan komersil.

Projek-projek yang disebut seperti penambahbaikan hospital Langkawi, melebarkan jalan raya, mengatasi masalah bekalan air dan pembinaan kuaters-kuaters kakitangan awam di pulau tersebut jelas lebih cenderung kepada keselesaan yang melegakan hati penduduk.

Itu barulah betul konsepnya mendahulukan rakyat dan bukan ‘ada udang di sebalik batu’. Itulah istimewanya Najib di mata rakyat. Walaupun berasal dari Pahang, beliau lebih mementingkan kesejahteraan hidup rakyat berbanding warga emas yang lahir di Kedah itu.

Tidak dinafikan warga emas itu membangunkan Langkawi, tapi dengan ‘cara’ yang agak ‘menarik’. Khabarnya orang Langkawi ‘makan hati’ apbila tanah-tanah strategik pelancongan milik rakyat diambil dan diberikan kepada ‘syarikat-syarikat kroni’ untuk didirikan hotel.

Dengan pampasan yang tidak seberapa, mereka ‘dihalau’ ke lokasi baru yang tidak strategik dan terpaksa berpuas hati menjadi ‘kuli makan gaji’ kepada ‘taiku-taikun’ tertentu di sana. Hendak dilawan, tidak mampu. Maka terpaksalah mereka menurut saja irama ‘kuku besi’…

Apa yang tinggal hanyalah kerja-kerja sampingan ‘spillover’ daripada kesan pembangunan mengkayakan kroni dan anak Langkawi terpaksa berpuas hati dengan kerja sebagai pembawa teksi, pengangkat beg pelancong, sewa kereta dan kerja di hotel-hotel ‘taikun’.

Dalam tempoh yang sama, warga emas itu hanya menyediakan kemudahan asas sahaja seperti jalan raya kecil, hospital yang terhad penggunaannya, bekalan air yang tidak mampu menampung pembangunan masa hadapan dan lapangan terbang antarabangsa yang mungkin ‘terkecil di dunia’. Itu saja?

Masih lagi berkenaan ‘tanah’, bagaimanakah dengan bayaran cukai premium tanah yang dibangunkan syarikat-syarikat kroni itu? Apakah syarikat kroni ‘kebal’ dari membayar cukai premium? Bagaimana dengan cukai premium tanah tertangguh yang berjuta-juta itu?

Asalkan syarikat kroni, maka mereka bebas bina apa saja di tanah mana yang mereka suka? Bina atas tanah kerajaan pun tidak mengapa walau tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan? Sampai ‘anak’ nak buat keputusan pun perlu persetujuan ‘bapa’? Sejak bila ‘dia’ jadi ‘raja tanah’ di Langkawi?

Sementara masih hidup, Azman perlu bertanya soalan-soalan cepumas ini kepada ‘raja tanah kedaung’ itu. Terlalu banyak kekusutan yang terpendam di hati orang Langkawi selama ini yang belum terungkai. Mungkin akan terungkai bila ‘dia’ sah bertanding di sana?

Memang benar bagai dikata Azman, orang Langkawi tidak bodoh. Lebih tepat, orang Langkawi sebenarnya tidak bodoh untuk diperbodoh-bodohkan lagi oleh warga emas itu. Sejak sekian lama menanti, inilah masanya untuk mereka meledak ‘bom jangka’.

Mungkin kerana menyedari hakikat itu, khabarnya warga emas itu dikatakan sangsi untuk meneruskan niat bertanding di Langkawi. Jika dia bertanding dan kalah, di mana dia hendak letak muka? Dulu sudah dimalukan di Kubang Pasu, hendak malu pula di Langkawi? Silakan…

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.