Mengimbangi akal, nafsu dengan syariat

Kes jenayah dan salah laku kebelakangan ini membimbangkan. Televisyen dan akhbar mendedahkan kegiatan jenayah, penyalahgunaan dadah, isu integriti, salah guna kuasa, membocor maklumat sulit, penderaan kanak-kanak dan sebagainya berlaku. Adakah manusia kini hidup tanpa undang-undang atau jenayah sudah menjadi lumrah? Atau tanpa disedari, adakah kita sememangnya mendedahkan diri kepada bahaya jenayah?

Usaha dan penguatkuasaan mengatasi masalah ini seakan-akan tidak diendahkan masyarakat. Sekiranya tidak dibendung, ia boleh menjadi barah dalam masyarakat. Menjadi satu keperluan agar pembentukan personaliti yang baik menjadi keutamaan setiap individu untuk mencapainya.

Asasnya, Allah SWT menjadikan manusia yang paling istimewa sebagai ahsani taqwim iaitu sebaik-baik kejadian. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya Kami (Allah) menjadikan manusia dengan seindah-indah kejadian. (Surah al-Tin:4).

Untuk melengkapkan kesempurnaan kejadian manusia, Allah SWT menganugerahkan manusia dengan akal dan nafsu. Akal unsur utama yang membezakan manusia dengan makhluk lain. Akal ialah potensi besar yang dimiliki manusia. Dengan akal manusia bukan sahaja menerima ilmu, malah mengolah dan mengembangkan ilmu.

Unsur nafsu, perasaan dan keinginan ialah perkara yang wujud dalam diri manusia yang menjadikan manusia berperasaan dan beremosi. Namun, jika manusia hanya memikir, menumpukan serta memerah keringat berusaha hanya untuk memenuhi keperluan fizikal sahaja, ia berada pada tahap yang rendah dan tidak jauh beza dengan makhluk lain.

Gagal urus akal

Inilah kegagalan mengurus akal dan nafsu yang menyebabkan manusia menjadi makhluk yang paling hina. Unsur ini perlu dibimbing oleh akal sihat yang mampu memandu ke arah kebaikan.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Kami jadikan di dalam neraka jahanam itu daripada jin dan manusia. Mereka mempunyai hati, tetapi tidak mahu memahami ayat-ayat Allah, mempunyai mata, tetapi tidak mahu melihat bukti keesaan Allah dan mempunyai telinga, tetapi tidak mahu mendengar ajaran dan nasihat. Mereka itu seperti binatang ternak bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai.” (Surah al-A’raf :179).

Allah SWT menurunkan agama melalui Nabi dan Rasul-Nya membimbing manusia. Walaupun diakui manusia mempunyai akal, namun ada kelemahannya dan tidak sentiasa benar. Ia perlu kepada bimbingan agama yang benar.

Sejak daripada pengutusan Nabi Adam AS, manusia dibimbing oleh Allah SWT melalui agama, sehingga kepada Nabi yang terakhir, Nabi Muhammad SAW. Agama ialah garis panduan yang memandu manusia ke arah kebaikan. Pegangan agama mampu mengubah watak manusia yang positif.

Sunah merakamkan personaliti hebat Rasulullah SAW sebagai negarawan dan pemimpin dihormati. Setiap individu seharusnya bijak dalam melayani nafsu dan kerenah tidak baik dalam kehidupan.

Hindari perkara dilarang agama

Individu Muslim tidak perlu melakukan perkara yang bercanggah dengan perintah agama, walaupun sebenarnya keinginan nafsu amat disukainya. Seorang pegawai awam, mahupun swasta jika ditawarkan rasuah, tidak sepatutnya menerima bahkan melaporkan kepada pihak yang bertanggungjawab. Jika ingin diikutkan perasaan dan nafsu, sudah tentu ia diterima tanpa mengira dosa dan pahala kerana inilah cara mudah mendapat wang daripada usaha orang lain.

Membocor maklumat sulit pula membabitkan penjualan maklumat sesebuah organisasi. Menjadi satu ketakutan jika maklumat data peribadi, mahupun akaun begitu mudah didedahkan kepada pihak lain, malah apabila pendedahan berlaku, tidak mustahil berlaku penipuan mahupun manipulasi pihak yang tidak bertanggungjawab. Dikhuatiri maklumat yang cukup terperinci dicerobohi dan pihak organisasi gagal menjaga kerahsiaan, lalu bocor kepada pihak yang berniat jahat.

Masalah jenayah pula berleluasa hari ini kerana keinginan untuk mengecapi kekayaan dengan cara mudah seperti melalui penghasilan dan pengedaran dadah. Penjenayah menjadikan anak muda terjebak dalam pergaulan liar dan membawa kepada penyalahgunaan dadah yang menjadi pelanggan memberikan sumber pendapatan membolehkan pengedar dadah hidup mewah hasil kerja jenayah.

Manusia perlu menguruskan nikmat akal dan nafsu dengan cara yang betul ke arah kebaikan. Akal dan nafsu sentiasa akan berlawanan antara satu sama lain. Akal semata-mata tidak menjamin sebarang kebaikan, jika tidak dipandu oleh syariat Allah SWT.

Akal berkeupayaan penuh dalam menguasai nafsu melalui pemikiran serta penilaian yang baik, manakala jika sebaliknya berlaku, akal menjadi pengikut kepada nafsu yang menginginkan kerosakan. Sebagai makhluk istimewa, manusia diberikan kebebasan dan ikhtiar memilih melakukan sesuatu yang terbaik atau sebaliknya.

Menjadi tanggungjawab untuk membuat pilihan yang baik dan bertindak dengan tindakan yang sewajarnya serta perlu bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat. Allah SWT berfirman bermaksud: “Sesungguhnya tidak ada balasan bagi seseorang melainkan dari apa yang diusahakannya. (Surah al-Najm : 39).

Setiap pilihan yang dibuat tidak hanya mempengaruhi kehidupan di dunia, malah juga kehidupannya di akhirat. Mereka yang melakukan amalan baik atau buruk ketika hidup di dunia akan dibalas tanpa ada pengecualian di akhirat nanti. Sesiapa yang dapat menghindarkan diri daripada balasan api neraka, merekalah manusia yang berjaya.

Inilah pendekatan wasatiyyah. Tuntutan akal dan nafsu diimbangi oleh syariat. Dunia menjadi tempat yang paling selamat, sekiranya setiap orang melakukan kebaikan (amal makruf) dan menjauhi keburukan (nahi mungkar).

Negara mendambakan warganegara yang baik, keluarga memerlukan ibu bapa dan penjaga yang prihatin, kepemimpinan memerlukan ahli politik yang berakhlak mulia, majikan memerlukan pekerja yang berintegriti, institusi pendidikan memerlukan pelajar, pengajar dan pentadbir yang berhemah tinggi dan sebagainya. Semoga Malaysia maju dengan pembangunan pesat dan keteguhan jati diri serta personaliti baik rakyatnya.

Tan Sri Dr Abdullah Muhammad Zin
Penulis adalah Penasihat Agama kepada Perdana Menteri
Berita Harian

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.