Langkah Kajang Pun Gagal, Ada Hati Pula Beri ‘Petua’?

Terkekeh-kekeh penulis pagi tadi apabila membaca satu link yang dihantar seorang rakan mengenai ‘petua’ yang diperturunkan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, tentang pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor.

Dia kononnya memberitahu Pakatan Harapan di Selangor supaya berpegang pada cara pembahagian kerusi di peringkat pusat yang menurutnya berpandukan pada satu set prinsip yang ‘disepakati bersama’. Ketika membacanya, penulis terbayang wajah Rafizi, berderai ketawa!

Bukan apa. Penulis masih ingat lagi bagaimana dia mengepalai gerakan ‘Langkah Kajang’ dulu yang bermatlamat supaya Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dapat menikmati kerusi empuk Menteri Besar di negeri tersebut.

Langkah-langkah sumbang itu walaupun dilihat berjaya ‘menerajang’ bekas Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim, namun dia ‘kantoi’ apabila dikatakan Sultan Selangor tidak memperkenan nama Presiden PKR itu dinobatkan menjadi Menteri Besar.

Sebaliknya, tanpa sebarang langkah, PAS yang tidak setuju dengan Langkah Kajang itu menamakan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali untuk menggantikan Khalid, maka barulah Sultan Selangor memperkenan. Maka naiklah Azmin menjadi Menteri Besar Selangor…

Sebulu atau tidak dengan Azmin, khabar angin bertiup kencang mendakwa dia menjadi dalang dalam usaha menjatuhkan Timbalan Presiden PKR itu dari kerusi Menteri Besar dengan mendedahkan ‘skandal’ yang berhabuankan ‘wang dan wanita’.

Mujurlah dikatakan dakwaan tersebut tidak berasas dan hanya salah satu ‘dongeng’ rekaan, maka terselamatlah Azmin. Namun begitu, ketika itu memang hangat diperkatakan tentang permusuhan antara Rafizi dan Timbalan Presiden PKR berkenaan.

Begitulah keadaannya di dalam PKR. Naib Presiden bagaikan tiada segan silu untuk berkurang ajar dan berkonspirasi terhadap Timbalan Naib Presiden. Walau kekal dalam parti yang sama, namun semua dapat melihat apa yang berlaku di antara mereka.

Dan kini, dia cuba mengajar Azmin cara-cara untuk membahagi kerusi di Selangor? Rasanya jika dibanding dengan Azmin, Rafizi layaknya baru ‘setahun jagung’. Tapi nampaknya dia bagai tidak hormat langsung pada Timbalan Presidennya sendiri.

Selalunya, ‘petua’ diberikan oleh mereka yang sudah berusia lanjut dan kaya dengan pengalaman. Apatah lagi petua itu membabitkan strategi politik, maka yang memberi petua itu sepatutnya mahir dengan ilmu-ilmu politik dan mempunyai kejayaan yang hebat dalam bidang berkenaan.

Tapi jika ‘Langkah Kajang’ pun dia tidak mampu jayakan matlamatnya, malah Presidennya sendiri pun dia ‘malukan’ sebegitu rupa, dan kini dia cuba beri lagi ‘petua’ untuk masa depan politik Selangor? Siapa Rafizi untuk berbuat demikian?

Pada pandangan penulis, Rafizi sepatutnya sedar bahawa dia seorang ‘budak’ yang gagal. Sudah berkali-kali dia gagal. Dia hanya berjaya mencipta persepsi buruk dengan tuduhan berunsur fitnah yang kemudian mendakwa dia hanya ‘bergurau’?

Sebelum ini dia sudah pun disabitkan dengan kesalahan memfitnah dan diperintah membayar saman. Mungkin kerana bayaran saman itu dibayar dari wang yang ‘diperah’ dari poket ‘macai-macai’ Pakatan Harapan, maka dia bagai tidak serik.

Dia dijatuhkan hukuman 30 bulan penjara, tapi penulis yakin dia akan membuat rayuan demi rayuan dari pada Mahkamah Sesyen hinggalah ke peringkat tertinggi, Mahkamah Persekutuan. Dia mungkin akan ‘terlepas’, diringankan hukuman atau sebaliknya.

Namun itulah dia Rafizi, seorang ‘budak’ yang sering menjadi bahan ketawa penulis. Lagak wataknya bagai ‘Mahfuz Omar’ versi PKR, cuma rambut saja tidak disikat ke tepi dan suara Mahfuz ‘macho’ sedikit berbanding Rafizi. Selain itu, semuanya mirip.

Penulis sarankan supaya Rafizi renung kembali dengan sikap dan gelagat politiknya. Cubalah jadi cerdik dan matang berpolitik. Paling penting, berpolitiklah dengan cara Islam. Sudahlah bermusuh dengan BN, dengan pemimpin separti pun dia ‘bertikam’? Politik jenis apakah ini?

One thought on “Langkah Kajang Pun Gagal, Ada Hati Pula Beri ‘Petua’?

  • February 15, 2018 at 3:51 PM
    Permalink

    Bila tiada naga, ular lidi mengaku naga pun diterima. Masaalah dengan pakatan yang langsung tak ada harapan ini ialah mereka tiada pemimpin. Sebab itu semua specis reject itu dilantik jadi pemimpin.

    Mereka berharap jika mereka benar2 diberi rezeki oleh Allah untuk meneraju mereka terpaksa menggunakan tenaga kerja yang sedia ada. Mereka tiada kekuatan sendiri.

    Reply

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.