Jika Selangor di bawah BN, tiada kuil yang akan dirobohkan.

Temubual khas bersama Isham Jalil, Pegawai Khas kepada YAB Perdana Menteri oleh Ketua Pengarang Tamil Nesan, K. Padmanathan, Feb 2018.

(Isham Jalil, seorang politikal-ekonomis yang telah dilatih di Harvard dan Wharton telah menulis buku bertajuk “Malaysia Beyond 2020: Ideology and Institutions for Growth” (“Malaysia Selepas 2020: Ideologi dan Institusi untuk Kemajuan”) semasa beliau di Harvard selama beberapa tahun.)

Terdapat banyak isu panas yang melibatkan komuniti India yang perlu dibincang, dan Isham Jalil telah menjawab semua soalan yang diajukan dengan tenang.



Soal-Jawab (S&J) (diringkaskan):

SOALAN (PADMA/TAMIL NESAN): “Baru-baru ini terdapat sebuah kuil di Masai Johor yang dikatakan telah dimusnah oleh kerajaan negeri Johor. Isu berkaitan kuil ini adalah sangat sensitif di kalangan masyarakat India. Apa komen tuan berkaitan hal ini?”

JAWAPAN (ISHAM): “Saya rasa YAB Menteri Besar Johor Dato’ Seri Khalid Nordin telah memberi pencerahan berkenaan perkara ini bahawa perobohon kuil tersebut bukan dilakukan oleh kerajaan negeri tetapi sebaliknya oleh individu tuan punya tanah tersebut.”

“Kerajaan BN kini sangat tidak bersetuju dengan perobohon kuil. Toleransi agama dan rasa saling hormat-menghormati antara kaum adalah sangat penting.”

“Sejak Dato’ Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri pada tahun 2009, banyak penekanan diberikan ke atas kepentingan semangat muhibah dan toleransi antara kaum dan etnik di negara ini.”

“Jumlah yang besar melebihi RM50 juta juga telah diperuntukkan untuk penambahbaikan dan penyelenggaraan kuil-kuil untuk komuniti India yang beragama Hindu.”

“Namun demikian, saya sedih apabila mendengar sebaliknya yang berlaku di negeri Selangor apabila kerajaan Pakatan memerintah sejak tahun 2008 di mana sejumlah dua puluh buah kuil telah dirobohkan oleh kerajaan negeri.”

“Saya ingin tekankan bahawa sekiranya Barisan Nasional menang negeri Selangor pada pilihanraya ke-14 akan datang ini, tiada lagi kuil yang akan dirobohkan.”

SOALAN (PASMA/TAMIL NESAN): “Kenaikan kos sara hidup adalah satu isu yang membimbangkan rakyat. Adakah kerajaan sedar akan hal ini? Terutamanya di Lembah Kelang, harga rumah telah meningkat berlipat kali ganda walaupun harga bahan pembinaan seperti simen, bata dan besi stabil. Apakah tindakan kerajaan untuk menangani masalah ini?”

JAWAPAN (ISHAM): “Kerajaan peka berkenaan isu ini dan serius untuk menanganinya serta telah melaksanakan pelbagai tindakan. Pertama sekali kita perlu mengenalpasti sebab sebenar kenaikan kos sara hidup.”

“Ahli-ahli politik Pakatan sering mengatakan bahawa GST adalah sebab utama kenaikan kos sara hidup. Namun demikian, lonjakan kenaikan kos sara hidup sebenarnya telah berlaku di antara tahun 2008 dan 2011, beberapa tahun sebelum perlaksanaan GST.”

“Hakikatnya, salah satu sebab utama kenaikan kos sara hidup berlaku adalah kerana kenaikan cukai rumah dan perniagaan oleh kerajaan negeri.”

“Pulau Pinang dan Selangor mengalami kenaikan yang tinggi berbanding negeri-negeri lain. Sejak tahun 2008, rakyat di Pulau Pinang dan Selangor telah membayar cukai yang tinggi kepada kerajaan negeri Pakatan terutama cukai-cukai yang berkaitan dengan rumah dan perniagaan.”

“Baru-baru ini kerajaan negeri Selangor mengutip RM2.2 billion cukai daripada rakyat Selangor seperti yang dinyatakan oleh Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Azmin Ali. 77 peratus daripada hasil cukai ini datangnya daripada cukai yang berkaitan dengan rumah dan hartanah.”

“Semasa BN memerintah Selangor, cukai-cukai ini tidak setinggi sekarang, malah jauh lebih rendah. Sejak Pakatan mengambil alih kerajaan negeri di Selangor, mereka telah menaikkan sehingga 400 peratus cukai-cukai yang berkaitan dengan rumah dan hartanah.”

“Perkara yang sama juga berlaku di Pulau Pinang, satu lagi negeri yang ditadbir Pakatan.”

“Cukai pembangunan di Selangor telah meningkat 20 ke 30 peratus yang telah meningkatkan kos projek-projek perumahan dan seterusnya harga rumah-rumah baru.”

“Oleh sebab kenaikan cukai rumah dan perniagaan yang ketara di atas yang dikenakan oleh kerajaan Pakatan, harga dan sewa rumah serta premis-premis perniagaan telah melambung tinggi. Ini menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan serta kos sara hidup yang meningkat dan menekan rakyat di Selangor.

“Walaupun terdapat kenaikan kos sara hidup di negeri-negeri lain, ianya tidaklah seteruk di Selangor dan Pulau Pinang yang sebenarnya boleh dielakkan sekiranya kerajaan negeri lebih bertanggungjawab dan prihatin kepada masalah rakyat.”

“Keadaan di atas telah menyebabkan ramai rakyat Selangor terutamanya orang-orang muda tidak mampu untuk membeli rumah di Selangor, atau mereka terpaksa membayar pinjaman perumahan yang tinggi yang memberi impak negatif kepada pendapatan dan kos sara hidup mereka. Keadaan ini perlu diubah.

“Inilah sebabnya sebelum ini saya nyatakan bahawa sekiranya Barisan Nasional menang negeri Selangor dalam pilihanraya umum yang akan datang ini, kita akan menurunkan cukai rumah untuk harga rumah baru yang lebih rendah, supaya lebih ramai orang muda di Selangor mampu untuk membeli rumah dan meringankan beban kos sara hidup mereka.”

[Bersambung Ahad depan]

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.