Dr. M, janji ‘hampas’ Pakatan Harapan

TUN Dr. Mahathir Mohamad tidak perlu bersandiwara apabila bercakap soal janji-janji yang dibuat oleh Pakatan Harapan. Sebagai seorang yang pernah berhadapan dengan puak pembangkang selama 22 tahun, bekas Perdana Menteri itu pasti tahu taktik yang digunakan oleh mereka untuk memperdayakan rakyat dalam pilihan raya.

Oleh itu apabila Dr. Mahathir menga­kui ada janji yang mustahil dilaksanakan jika mereka menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) maknanya beliau bersedia untuk bersekongkol dengan PKR, DAP dan PAN memperdayakan rakyat.

Sebelum ini sudah ba­nyak janji ditaburkan oleh pe­mimpin-pemimpin pakatan. Apa yang kerajaan Barisan Nasional (BN) buat, mereka berjanji untuk batalkan. Bukan kerana sesuatu dasar atau tindakan itu tidak betul tetapi semata-mata mahu menggunakan pendekatan po­pulis bagi meraih kuasa.



Walaupun langkah populis mereka itu akhirnya akan mendatangkan masalah kepada rakyat dan negara itu soal kedua, yang penting melalui persekongkolan bersama Dr. Mahathir yang kini berjaya memecahkan lagi orang Melayu melalui penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) mereka mahu memperdayakan rakyat melalui pelbagai janji.

Kalau ikut kepada keghairahan janji yang ditaburkan Pakatan Harapan, lava gunung berapi sedia dikutip untuk dijadikan baja kepada golongan petani, liga bola sepak Inggeris pun mahu dianjurkan di negara ini dan tiada sesenpun cukai akan dipungut daripada rakyat.

Lagipun apa nak risau anak-anak Dr. Mahathir kan kaya-kaya belaka, begitu juga kawan-kawan bekas Perdana Menteri itu yang terdiri daripada tokoh korporat dan bilionair, mereka akan bantu kerajaan Pakatan Harapan dari segi kewangan.

Tetapi semua itu ha­nyalah mimpi. Mana mungkin Dr. Mahathir akan ga­daikan harta anak-anak untuk kese­jahteraan anak orang lain dan mana mungkin tokoh korporat bersedia beri sumbangan kepada satu pakatan yang masing-ma­sing kemaruk kuasa.

Justeru Dr. Mahathir berhentilah menipu rakyat. Jadilah negarawan sebenar dengan me­nerima hakikat bahawa Pakatan Harapan hanya akan menabur janji-janji palsu kepada rakyat.

Mungkin sebahagian rakyat yang sudah taksub kepada beliau atau termakan politik kebencian yang disebarkan oleh Dr.Mahathir akan menyebelahi Pakatan Harapan, tetapi ramai lagi yang sedar bahawa janji-janji pembangkang tidak boleh dipercayai.

Dalam usia yang sema­kin lanjut, Dr. Mahathir tidak payah­lah begitu bersungguh-sungguh me­­lunaskan dendam peribadi terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga sanggup tunduk kepada DAP, berpakat de­ngan PKR dan bersekongkol dengan PAN untuk membentangkan janji palsu kepada rakyat.

Ingatlah dosa pahala sama. Tidak salah untuk Dr. Mahathir terus bernafsu untuk menca­tatkan rekod sebagai individu paling tua menjadi Perdana Menteri di negara ini tetapi jangan terlibat untuk ‘pakat-pakat’ menipu rakyat melalui pembentangan janji dan manifesto yang tidak mungkin ditunaikan. Biarlah janji pakatan sahaja dianggap ‘hampas’, ja­nganlah beliau juga diletakkan kategori yang sama!

Zulkiflee Bakar
Utusan

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.