BN sudah penuhi 97.6 peratus janji PRU13 – PM

Datuk Seri Najib Razak berkata, Barisan Nasional (BN) menepati hampir semua janji dibuatnya kepada seluruh rakyat, apabila sudah mengotakan 97.6 peratus daripada kandungan manifesto yang dibentangkan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Perdana Menteri berkata, antara janji ditepati BN termasuk menaikkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) daripada RM500 kepada RM1,200 secara berperingkat, yang sudah dinikmati mereka berkelayakan sejak tahun lalu.

Beliau berkata, Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Ahmad Zaki Ansore memantau janji yang disenaraikan dalam manifesto BN dan 97.6 peratus daripadanya berjaya ditunaikan setakat ini.



“Saya bukan jenis memberi janji perkara yang tidak boleh tunaikan. Saya tidak akan buat kenyataan yang pihak kita (BN) akan kaji semula janji, macam orang itu yang kata hendak kaji semula 60 daripada janjinya,” katanya berucap merasmikan BR1M peringkat kebangsaan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Pengerusi pakatan harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad, mengakui pakatan pembangkang yang diketuainya tidak mampu memenuhi semua janji ditabur pemimpin mereka, jika memenangi PRU-14 dan menubuh kerajaan kelak.

Dr Mahathir berkata, berikutan itu, PH akan menilai semula kira-kira 60 janji berkenaan, sebelum disenaraikan dalam manifesto yang bakal dikemukakan kepada pengundi menjelang PRU-14.

Beliau mendakwa, kepemimpinan tertinggi pembangkang tidak terikat kepada kenyataan dan janji dibuat pemimpin tertentu jika mendapati ia di luar kemampuan kewangan.

Antara janji dibuat pemimpin pakatan itu termasuk menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), menurun kadar serta menghapuskan tol secara berperingkat, menurunkan caj pengangkutan awam dan pengampunan diraja untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim, seterusnya melantiknya sebagai Perdana Menteri selepas Dr Mahathir.

Selain itu, siaran Liga Perdana Inggeris (EPL) percuma, mengisytiharkan aset semua menteri dan pegawai kanan kerajaan, mengehadkan tempoh memegang jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal saja, menstabilkan harga petrol, mengurangkan jumlah Menteri Persekutuan serta Menteri Kewangan diasingkan daripada jawatan Perdana Menteri.

Pakatan itu turut berjanji mengkaji semula kontrak kerajaan dengan syarikat asing, pendidikan percuma kanak-kanak keluarga berpendapatan rendah, memulihkan FELDA dan mengubah sukatan mata pelajaran Sejarah Sabah.

Sementara itu, Najib berkata, kerajaan menyediakan peruntukan RM564 juta bagi melaksanakan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Bandar Pekan untuk mengatasi masalah banjir di daerah ini yang berlarutan sejak tahun 1920-an.

Beliau berkata, pelaksanaan projek itu akan memberi manfaat kepada kira-kira 83,000 penduduk.

“Tidak perlu saya cerita pasal ‘river levee’ (benteng sungai) atau ban kerana apa yang penting melalui projek RTB ini, kita dapat mengatasi masalah banjir yang sering melanda daerah Pekan.

“Jangan ada kata, apabila kerajaan umum projek seperti ini, kata kita bagi dedak… kita kerajaan yang adil, semua (negeri) dapat peruntukan untuk projek tebatan banjir.

“Bukan Pahang saja dapat, Kelantan yang diperintah parti pembangkang pun dapat (peruntukan) kira-kira RM800 juta untuk projek sama (tebatan banjir) bagi mengatasi masalah dihadapi penduduk di sana,” katanya berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek RTB Bandar Pekan Fasa II, di Kampung Pulau Keladi, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir Hamim Samuri.

Pelaksanaan RTB itu merangkumi tiga fasa iaitu Fasa I di sekitar Bandar Diraja Pekan seluas 2,600 hektar; Fasa II di kawasan masjid, hospital dan Perumahan Pelangkah (1,500 hektar) dan Fasa III membabitkan kawasan seluas 2,100 hektar di kawasan Sungai Miang serta Durian Sebatang.

Projek RTB Fasa I bermula hujung 2014, dijangka siap Mei depan, manakala Fasa II pula membabitkan kos RM108.6 juta akan siap menjelang Mei tahun 2020.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.