Bila Parti ‘Tokwan Ulung’ Beri Amaran Pada Ahlinya…

‘Takut’ dan ‘gerun’ sungguh rasa di hati apabila mengetahui tentang ketegasan parti ‘cap bunga’ yang akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana ahlinya yang melanggar disiplin parti itu. ‘Garang’nya dapat dirasai hingga ke tulang sum-sum!

Antara perkara yang dianggap melanggar disiplin parti adalah mengadakan sidang media tanpa kelulusan parti, membuat laporan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan paling ‘menakutkan’ ialah meluah rasa tidak puas hati melalui media sosial, khususnya Facebook.

Melihat kepada amaran parti ‘cap bunga’ itu, penulis terimbau kembali tentang apa yang pernah berlaku dan dilakukan oleh puak-puak ‘bunga’ itu, terutama kepimpinannya ketika bersama UMNO sebelum ini. Masihkah mereka ingat?

Ketika ‘tokwan ulung’ berkuasa dulu, pernah berlaku insiden di mana terdapat beberapa ahli UMNO yang membuat di mahkamah mendakwa terdapat manipulasi dalam pemilihan parti dan tindakan itu telah melanggar peraturan yang ditetapkan RoS.

Kes berkenaan dimenangi oleh ahli-ahli yang mengadu itu, menyebabkan UMNO diharamkan dan seterusnya ‘tokwan ulung’ terpaksa menubuhkan ‘UMNO baru’. Nak tahu apa nasib ahli-ahli yang mengadu itu? Walaupun menang kes, mereka difahamkan telah ‘disekat’ dari menyertai ‘UMNO baru’.

Maka kerana itulah mereka yang menentang ‘tokwan’ ketika itu terpaksa menubuhkan parti Semangat 46 walaupun dalam diri mereka amat sayangkan perjuangan UMNO. Tapi bila berdepan dengan ‘autokrasi’ dan bukan demokrasi, mereka terpaksa ‘menggetap bibir’.

Dalam tempoh setahun dua ini juga, kita menyaksikan mereka-mereka yang ‘kecewa’ akibat ‘kehilangan jawatan’ dan mahu ‘naik pangkat secara ekspres’ melanggar disiplin parti. Kononnya meluahkan rasa tidak puas hati kerana 1MDB? Macamlah orang tak tahu apa yang tersirat di sebaliknya…

Ramai yang tahu tentang sikap mereka sebelum mereka dipecat. Ramai yang tahu betapa ‘bodoh sombong’ dan ‘angkuh’nya mereka terhadap UMNO dan kepimpinan parti hanya kerana pertalian darah dan rapatnya mereka dengan ‘tokwan ulung’.

Yang perintah negeri itu angkuh benar hingga tidak mahu jumpa kerajaan pusat untuk mendapatkan peruntukan untuk kerajaan negeri hingga jalan raya banyak yang tidak diselenggara dan berlubang di sana-sini. Berlagaknya dia hingga Perdana Menteri pula yang merendah diri pergi berjumpa dengannya di sana?

Yang seorang lagi pula, mungkin kerana fikir dirinya tiada lagi harapan untuk duduk di kerusi Perdana Menteri atas faktor ‘usia’, maka walaupun sudah berada di kerusi nombor dua, dia rela meletakkan diri sebagai ‘penderhaka’ dan melanggar disiplin parti.

Tentang ‘tokwan’ tidak perlulah diungkit sangat sejarahnya. Sejak dari muda lagi dia memang begitu. Orang lain semua tidak betul, dia seorang saja yang betul-betul belaka. Bukan setakat hantar surat layang, lebih daripada itu pun dia pernah buat…

Bila mereka ini dipecat daripada UMNO, mereka konon bertanya apakah salah mereka. Bila ditegaskan tentang perangai buruk mereka melanggar disiplin, mereka tidak mengaku? Dicanang kononnya UMNO berlaku zalim terhadap mereka.

Mereka dakwa UMNO sudah tidak ada demokrasi kerana mengenepikan hak kebebasan bersuara. Mereka kata UMNO tidak boleh ditegur sedikit pun, manakala yang membela parti itu daripada serangan mereka dianggap telah diberi ‘dedak’ dan sebagainya.

Bukan setakat menabur onar propaganda di dalam parti, malah mereka anjurkan sidang sidang media, membuat laporan kepada pihak berkuasa dan bersekongkol dengan pembangkang. Setakat menjaja cereka mitos dalam Facebook itu sudah menjadi amalan harian mereka…

Dan kini, barulah mereka tahu ‘langit itu tinggi atau rendah’. Apa yang mereka lakukan dulu, kini kembali ‘bertepek’ di dahi masing-masing. Bak kata budak netizen yang bahasa Inggerisnya lintang pukang, ‘what you give, you get back’. Ketawa besar penulis dibuatnya!

Sejak dia memerintah dulu pun memang itulah coraknya. Siapa melawan, maka habis dicantas hingga ke akar umbi. Untuk elak diri dipersalahkan, dia tuding jari pada orang lain. Dia bagai ‘maksum-maksum’ belaka, orang lain semuanya ‘berdosa’.

Jadi kepada puak-puak ‘bunga’, penulis ucapkan tahniah dan rasakan sendiri penangan ‘kuku besi’. Kamu fikir dia ‘mendengar’, ‘peduli’ dan perjuangkan ‘rakyat’? Cepat-cepatlah sedar sebelum dia permainkan kamu seumur hidup. Ramai yang sudah tersedar, kamu bila lagi?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.