Bila ‘Anak Manja’ Melawat Ekspo Muafakat Kedah…

Tengahari tadi, khabar dari utara semenanjung negara memberitahu tentang kelibat seorang lelaki yang ‘hilang’ jawatan Menteri Besar tiba-tiba muncul di tengah tapak Ekspo Muafakat Kedah yang sedang hangat berlangsung di sana.

Namun begitu, tidak ramai yang teruja dengan kehadiran ‘lelaki gagal’ itu meskipun dia cuba menarik perhatian ribuan pengunjung di ekspo berkenaan. Seperti biasa, dia dikelilingi ‘pengiring-pengiring’nya, bermuka ‘tebal’ cuba meraih populariti di tengah hiruk pikuk orang Kedah.

Pelbagai reaksi dikatakan timbul daripada kemunculan ‘anak manja’ itu. Ada yang mencebik bibir, ada yang menyampah, ada yang mendakwa dia tidak malu cuba raih populariti ‘percuma’, malah ada yang terpaksa ‘senyum terpaksa’ walau di hati menyampah…



Mendengar perkhabaran tersebut, penulis tidak hairan dengan kehadiran ‘anak manja’ itu di ekspo terbesar anjuran Kerajaan Negeri pimpinan Dato’ Seri Ahmad Bashah itu. Pada pandangan penulis, dia memang begitu perangainya, suka mengambil kesempatan.

Namun begitu, penulis tetap positif dengan kemunculan ‘makhluk asing’ itu. Dia berhak hadir kerana ekspo itu terbuka untuk semua sama ada kepada ‘anak manja’, Ahli Parlimen Pokok Sena, atau sekutu-sekutu mereka dari DAP dan PAN. Orang PAS pun ramai yang tumpang berniaga mencari rezeki di situ khabarnya?

Apa yang lebih penting, ‘anak manja’ itu perlu buka mata dan celik seluas-luasnya. Dia perlu lihat sendiri bagaimana Ahmad Bashah dalam ‘lena’ beliau, namun telah banyak membantu rakyat tempatan dan membangunkan Kerajaan Negeri.

Walaupun dalam tempoh lebih kurang dua tahun, banyak yang telah dicapai dan dijayakan Menteri Besar Kedah yang selalu menjadi bahan hinaan ‘anak manja’ dalam siri-siri ceramah ‘tidak laku’nya. Bermula dari sektor pertanian yang menjadi keutamaan di negeri itu, hinggalah sektor pelaburan yang lebih banyak masuk berbanding zaman dia memerintah dulu.

‘Anak manja’ itu memegang kuasa selama hampir tiga tahun, lebih lama daripada Ahmad Bashah. Namun dalam tempoh itu, dia hanya tahu merancang, merancang dan merancang. Projek-projek yang dirancangnya pula semuanya ‘mega-mega’ belaka.

Padahal dia sedar bahawa Kedah merupakan antara negeri miskin yang amat memerlukan bantuan daripada Kerajaan Pusat untuk membangun. Daripada hasil pertanian, tidak banyak yang dapat diraih untuk perbelanjaan pembangunan negeri.

Apabila tidak punya dana yang cukup untuk membiayai projek bernilai berbilion-bilion itu, maka sepatutnya dia perlu menjalin hubungan baik dan erat dengan Kerajaan Pusat, khususnya Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak yang memilihnya sebagai Menteri Besar.

Namun mungkin disebabkan ‘perasan hebat aristokrat’, dia terlalu angkuh untuk merendah diri meminta pertolongan daripada Kerajaan Pusat. Sebaliknya, dia lebih berminat untuk bersikap kurang ajar memaksa Kerajaan Pusat memberinya wang untuk membiayai projek-projek tersebut. Banyak cantik muka!

Walaupun berdepan dengan keangkuhan ‘anak manja’, Kerajaan Pusat tetap prihatin mahu membantu dan menawarkan dana sebahagian daripada peruntukan yang dia mahukan. Tapi malang, khabarnya dia terlalu bongkak dan berkeras mahu pembiayaan penuh? Boleh jalanlah!

Menurut sumber daripada negeri itu, ramai Exco yang merayu ‘anak manja’ itu supaya merendah diri dan bertemu dengan Perdana Menteri, tapi khabarnya dia tetap berkeras tidak mahu dengar nasihat. Konon tidak mahu tunduk kepada Perdana Menteri?

Kerana sikap ego yang menebal, pembangunan di negeri itu terbantut? Mungkin kerana berasal daripada keluarga kaya-raya, ‘anak manja’ itu fikir dia tidak sanggup mengorbankan ego dan merendah diri demi rakyat? Dia sanggup gadai kepentingan rakyat gara-gara status ‘aristokrat’?

Jadi, dengan hadirnya dia di Ekspo Muafakat Kedah itu penulis berharap sangat-sangatlah supaya ‘anak manja’ itu belajar betul-betul daripada Ahmad Bashah tentang tatacara sebenar untuk mengemudi negeri Kedah sebagai Menteri Besar.

Bukan apa. Sebenarnya bukan mudah untuk menjadi seorang Menteri Besar di sesebuah negeri. Untuk menjadi Menteri Besar Kedah, dia perlu betul-betul jadi ‘orang Kedah’ dan faham perangai serta budaya tempatan. Kalau jadi Menteri Besar, tapi rumahnya di Kuala Lumpur, bagaimana nak jadi Menteri Besar Kedah, kan?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.