Bezanya pemimpin BN dengan DAP

Pemimpin Barisan Nasional (BN) sentiasa berpegang teguh kepada prinsip dan semangat patriotik Malaysia, tidak seperti pemimpin DAP yang memperalatkan sentimen perkauman cauvinis Cina khususnya sebagai perjuangan mereka.

Jurucakap MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, BN mengamalkan permuafakatan, kesepakatan dan perpaduan dalam pengagihan kerusi kepada parti komponen BN untuk pilihan raya dan bukanlah seperti parti Pakatan yang ibarat Tidur sebantal, tetapi mimpi lain-lain.

“Berbeza dengan sikap pemimpin DAP sejak sekian lama yang memang gemar melaga-lagakan kaum Cina dengan Melayu dan sentiasa serta kalau boleh akan mengheret MCA untuk bergelumang dengan politik murahan serta kancah perkauman mereka itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.



Lian Ker mengulas tuduhan Lim Guan Eng bahawa pemimpin MCA tidak layak mewakili kaum Cina kerana tidak berani bertanding di kawasan majoriti pengundi kaum itu adalah salah dari segi konsep dan semangat amalan demokrasi.

Lian Ker turut membidas DAP kerana berselindung dan bertopengkan pelbagai kaum tetapi di sebaliknya adalah perkauman dan hakikatnya mereka mengamalkan politik perkauman yang totok.

“MCA sedar dan menerima hakikat bahawa kepentingan pembinaan negara lebih penting daripada politik sempit yang membawa kehancuran,” kata beliau.

Kekuatan pemimpin parti itu, katanya, adalah kerana mereka sentiasa konsisten dengan prinsip dan berkhidmat kepada masyarakat dengan ikhlas, bukannya melompat dari satu kawasan ke kawasan lain semata-mata untuk menang pada pilihan raya.

“Lim Kit Siang dan pemimpin DAP yang lain pula sentiasa mengubah pendirian dan prinsip perjuangan mereka. DAP akan mengambil kesempatan daripada perpecahan politik UMNO dan apa juga isu perkauman untuk mencapai kemenangan pada pilihan raya semata-mata ,” katanya.

Berjuang di atas prinsip dan perjuangan BN yang merangkumi kepentingan semua kaum , jadi tidak hairanlah pemimpin MCA, jelas beliau, bertanding di kerusi yang secara keseluruhan mengandungi pengundi pelbagai kaum dengan sedikit majoriti pengundi Melayu yang mencerminkan komposisi kependudukan negara kita.

DAP seharusnya, ujar beliau, malu kerana tidak mengotakan apa yang digembar-gemburkan sebagai parti pelbagai kaum, sebaliknya memilih untuk hanya bertanding di kawasan yang majoriti pengundi kaum Cina. Tambahan pemilihan kepimpinan DAP selalunya tidak inklusif di mana calon Melayu mereka akan kalah setiap masa. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.