Tiada Lagi Tsunami Cina Pada PRU14

Share


Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU-14) yang bakal ‘menjengah’ tidak lama lagi, disifatkan kebanyakan penganalisis politik sebagai pilihan raya paling sengit dan getir yang pernah diadakan di negara ini.

Hal ini pernah diakui sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyifatkan ia sebagai ‘ibu kepada segala pilihan raya’ yang akan menentukan sama ada kerajaan Barisan Nasional (BN) terus mempertahankan Putrajaya.

Tidak dapat lari, sokongan kaum Cina sekali lagi menjadi persoalan sama ada mereka terus mahu melakukan ‘tsunami Cina’ atau kembali kepada BN, khususnya kepada MCA serta Gerakan yang selama ini telah banyak melakukan pembelaan terhadap kaum itu di negara ini.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai yang diajukan pertanyaan tentang perkara itu, melahirkan keyakinan masyarakat Cina kini sudah ‘celik’ untuk menilai yang mana kaca dan yang mana permata untuk dijadikan sebagai sandaran membela nasib mereka.

“Kita telah belajar daripada kesilapan dan sedar dengan kelemahan dalam pilihan raya umum (PRU) lalu. Kehilangan sokongan kaum Cina pada PRU lalu, sedikit sebanyak berpunca daripada masalah dalaman dan luaran MCA sendiri.

“Sebab itu apabila saya mengambil alih kepimpinan pada penghujung 2013, perkara pertama yang saya lakukan ialah transformasi parti hingga peringkat umbi dan perubahan itu penting untuk menarik kembali sokongan rakyat terutamanya pengundi Cina,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Liow berkata hasil transformasi yang dilakukan, perpaduan dalaman MCA kini kembali kukuh dan tiada lagi wujudnya kem-kem tertentu dalam parti itu, yang akhirnya mengembalikan keyakinan masyarakat Cina kepada parti.

Beliau berkata perubahan itu juga penting untuk memastikan MCA kembali menjadi parti yang unggul dalam kalangan masyarakat Cina dan terus dapat bekerjasama dengan parti UMNO dan MIC serta parti komponen lain untuk mentadbir negara.

“Kita nak jelaskan kepada rakyat bahawa MCA bukan hanya sekadar penumpang dalam ‘kapal’ BN dan tidak beri sumbangan kepada negara, sebaliknya parti ini juga mempunyai kekuatan tersendiri yang menyumbang kepada kejayaan BN,” katanya.

Malah, katanya untuk memperkukuhkan lagi parti itu, MCA turut menjalinkan hubungan diplomatik dengan parti yang seangkatan dengannya pada peringkat antarabangsa seperti dari China, Thailand dan Indonesia, sama seperti hubungan UMNO dan parti Golkar di Indonesia.

Liow berkata hubungan politik yang dijalinkan itu, sedikit sebanyak telah membantu negara mengeratkan lagi hubungan diplomatik yang sedia terjalin selama ini, khususnya China.

“Inisiatif MCA dalam menandatangani deklarasi program Belt and Road antara Malaysia dan China telah menarik minat pelabur asing dan membuka peluang perniagaan, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.”

“Dalam hal ini MCA menjadi jambatan penghubung antara Malaysia dan negara tembok besar itu, namun ia bukan bermakna kita menjual kedaulatan negara kepada negara itu seperti yang didakwa oleh pembangkang,” katanya.

Katanya kejayaan menarik lebih ramai pelabur China menanam modal di negara ini telah membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara berkembang pada paras 5.9 peratus tahun lalu, sekali gus merupakan antara pertumbuhan ekonomi tertinggi di dunia.

“Kejayaan demi kejayaan inilah yang menarik balik sokongan masyarakat Cina kepada BN dan hal ini kita pergunakan sebaiknya untuk menjelaskan satu demi satu dasar yang dilaksanakan oleh kerajaan kerana selama ini ramai kurang maklum tentang perkara itu.”

“Kini mereka semakin jelas bahawa kerajaan adalah inklusif dan turut menjaga kepentingan orang Cina, bukan hanya menjaga kepentingan satu kaum sahaja.”

“Penglibatan mereka dalam arus pembangunan negara sahaja menyebabkan rasa ‘self of belonging’ dalam kalangan masyarakat Cina semakin kukuh dan kita mampu membawa lebih banyak pembangunan menyebabkan mereka lebih yakin dengan kerajaan pimpinan perdana menteri,” katanya.

Liow berkata selain itu kerjasama erat dengan Gerakan akan menjadi faktor penting memulihkan kembali kepercayaan masyarakat Cina terhadap BN kerana menerusi hubungan itu, rakyat dapat menilai MCA serius dalam soal perpaduan kaum secara keseluruhannya dan masyarakat Cina khasnya.

“Saya rasa kali ini tiada lagi isu besar yang boleh menyebabkan berlaku ‘tsunami Cina’ seperti dalam PRU13, hasutan pembangkang tentang ketelusan sistem penyampaian kerajaan, rasuah telah diatasi secara berperingkat.”

“Rakyat mulai sedar dan tahu kerajaan mana yang patut mereka pilih untuk terus mentadbir negara nanti,” katanya.

— BERNAMA


4 thoughts on “Tiada Lagi Tsunami Cina Pada PRU14

  • February 28, 2018 at 2:25 pm
    Permalink

    Kalau berlaku lagi tsunami cina tetapi BN kekal berkuasa seluruh kepimpinan MCA kena letak jawatan.

    Reply
  • February 28, 2018 at 5:38 pm
    Permalink

    Alhamdulillah

    Tahap kerjasama BN dan Parti Komunis Cina pada peringkat tertinggi sehingga dijemput berucap di Beijing pada kongres Parti dibawah bendera bintang merah.

    Sokongan Cina akan kembali beralih kepada BN

    Banyak keistimewaan bakal diperolehi. Contoh terbaik ialah Geely-Proton. Baru 49% pegangan sudah mampu tawarkan diskaun kepada suku Hakka.

    Hidup Melayu!!

    Reply
    • March 2, 2018 at 11:31 am
      Permalink

      Alhamdullilah diplomasi malaysia adalah yg terbaik makin banyak pelaburan yg masuk demi rakyat dan negara #RakyatDidahulukan #PencapaianDiUtamakan hahaha yg membunuh rakyat malaysia adalah komunis bintang 3 keturunan DAP bukan china tanah besar. Sebab tu DAP anti kerajaan sekarang dan menghasut untuk sehingga pepecahan dikalangan rakyat. Ops barua Dap melalak sahaja lah #BiarberfaktabukanAuta

      Reply
  • February 28, 2018 at 8:33 pm
    Permalink

    Insha allah…..rasanya taklah semua akan undi Bn tapi tak lah seburuk keputusan 2013

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *