‘Anak Manja’ Kata Dia Paling Berjasa Di Kedah?

Share


Terkekeh-kekeh penulis ketawa sinis mendengar kenyataan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini. Respon balas yang sangat mengusik jiwa dan begitu memedihkan hingga ke ulu hati jika ‘anak manja’ itu mendengarnya.

Semalam, ‘anak manja’ yang mahukan ‘jawatan besar’ secara ‘ekspres’ itu tanpa rasa malu, tiba-tiba mengatakan konon sebahagian besar kejayaan Kerajaan Negeri Kedah yang dipamerkan di Ekspo Muafakat Kedah di Alor Setar adalah hasil usaha dirinya.

Mendabik dada seperti kebiasaan golongan ‘aristokrat’ yang lain, ‘anak manja’ itu mendakwa segala yang terpamer itu konon dia yang rancang ketika menjadi Menteri Besar pada 2013 dan mengambil masa tiga hingga empat tahun untuk dilaksana.

Nampaknya ‘penyakit’ yang dihidapi bapanya mungkin kini telah berjangkit pada dirinya. Jika sebelum ini bapanya mengatakan dia yang menjayakan segalanya di negara ini, kini ‘anak manja’nya pula ‘masuk bakul angkat sendiri’ konon dirinya faktor segala kejayaan dan kemakmuran di negeri Kedah.

Penulis tertanya-tanya, ‘anak manja’ ini sedar diri atau tidak? Berapa gelen air ketum yang dia langgah? Dalam tempoh tidak sampai tiga tahun memerintah Kedah, tiba-tiba mengaku konon paling berjasa di negeri itu? Mabuk ketumkah dia?

Rasanya dia tidak meneliti segala kandungan di tapak ekspo berkenaan barangkali. Mungkin cuma hadir untuk menumpang populariti, tapi dia nampaknya tidak peduli dengan segala kejayaan yang dipamer di 19 kluster di sana.

Sebenarnya, Ekspo Muafakat Kedah mempamerkan secara keseluruhan kejayaan Kerajaan BN mentadbir Negeri Kedah. Bermula daripada era Menteri Besar yang pertama, Haji Mohamad Sheriff Osman hinggalah ke era Ahmad Bashah.

Dalam erti kata lain, kandungan keseluruhan di ekspo yang berlangsung selama 8 hari itu memaparkan segala kejayaan yang dibawa oleh Kerajaan BN dan pemimpin terdahulu dan kini, serta perancangan strategik untuk masa depan. Ekspo itu begitu holistik sekali!

Tiada siapa pun di kalangan Menteri Besar yang mendabik dada konon dialah yang paling berjasa membawa kejayaan di negeri itu. Bekas-bekas Menteri Besar seperti Tan Sri Osman Aroff dan Dato’ Seri Syed Razak yang masih hidup pun tidak pernah mengaku begitu.

Ahmad Bashah dalam kenyataan balas terhadap sikap ‘anak manja poyo’ itu juga hari ini menegaskan beliau sendiri tidak berani mengaku segala kemakmuran dan pembangunan di Kedah itu adalah merupakan hasil kejayaan dirinya.

Malah Menteri Besar Kedah yang berpengalaman berpenggal-penggal sebagai Exco Kerajaan Negeri itu juga langsung tidak mengaku semua yang dipamerkan merupakan kejayaannya secara ‘solo’. Tapi ‘anak manja’ pula boleh mengaku itu semua hasil kerjanya? Tak tahu malu sungguh!

Terusan Wan Mat Saman itu ‘anak manja’ yang korek, kah? Gunung Jerai yang tersergam indah itu ‘anak manja’ yang majukan? Stadium Darulaman itu ‘anak manja’ yang bina’? Kulim Hi-Tech Park itu ‘anak manja’ yang buat juga? Sangat memalukan sikapnya, bukan?

Apakah ‘anak manja’ itu juga yang membina kampus Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) di Kuala Ketil? Bagaimana dengan Kompleks Aman Central? ‘Anak manja’ atau arwah Tan Sri Azizan Razak yang bina?

Kalau sudah jenis muka tak malu, maka mengaku sajalah semua kejayaan yang dibina oleh Menteri-Menteri Besar Kedah terdahulu. Baru saja jadi Menteri Besar tidak sampai tiga tahun, konon itu sebahagian besar hasil kejayaannya?

Tidakkah dia sedar bahawa segala kejayaan dan kemakmuran di negeri Kedah itu sebahagian besarnya adalah hasil kejayaan Kerajaan Barisan Nasional (BN). Bukan parti ‘cap bunga’, bukan PKR, bukan PAN, malah bukan hasil kerja DAP yang dia ‘dakap erat’ sekarang!

Tanpa BN, bapanya sendiri pun tak mungkin jadi Perdana Menteri sampai 22 tahun. Tanpa BN, bapanya nak bina KLCC, KLIA dan Proton pun tidak mampu. Boleh bapanya bina Putrajaya jika dia keluar UMNO dan sertai DAP pada pertengahan 1990’an dulu?

Tolonglah sedar diri. Jadi Menteri Besar pun hanya kerana tuah nama bapa, tiba-tiba mahu mengaku dia yang paling berjasa di Kedah? Apa jasanya di Kedah ketika jadi Timbalan Menteri MITI dulu? Balik Kedah pun empat bulan sebelum PRU 13, tiba-tiba dia pula yang paling berjasa membawa kejayaan di negeri Jelapang Padi itu?

Sekiranya ‘anak manja’ itu melancong bersama keluarga di luar negara, penulis harap dia akan cuba cari cermin paling besar di sana. Beli dan bawa pulang ke rumahnya. ‘Suluh’ dan cerminlah diri sepuas-puasnya depan cermin besar itu. Jika tidak ‘nampak’ lagi, sah dia ‘buta kayu’, kan?


One thought on “‘Anak Manja’ Kata Dia Paling Berjasa Di Kedah?

  • March 1, 2018 at 10:34 am
    Permalink

    Dah teruk anak manja ni. Semua benda dia ni buat rupanya sejak dari dia masih bersekolah. Bukan mudah jadi pembangkang ni sebenarnya. Silap percaturan kata-kata nampak sangat bodohnya.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *