Kerajaan Selangor jangan politikkan pelaksaan ECRL

Share

Kerajaan Selangor pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa tidak mensabotaj apatah lagi mempolitikkan usaha Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan pembangunan negara dan rakyat menerusi pembangunan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Gesaan itu dibuat anggota Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi susulan kenyataan syarikat pemilik projek berkenaan, Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) semalam bahawa setakat ini, hanya kerajaan Selangor yang masih belum memberi kelulusan tanah untuk pelaksanaan projek mega tersebut.

Budiman berkata, negeri-negeri lain yang terlibat dalam jajaran projek itu iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang telahpun memberi kelulusan tanah masing-masing kepada MRL sekali gus membolehkan kerja-kerja pembinaan ECRL dimulakan sejak November lepas.

“Saya tidak pasti apakah alasan kerajaan Selangor masih belum memberikan kelulusan tanah kepada MRL untuk melaksanakan jajaran ECRL di negeri ini membabitkan jarak kira-kira 80 kilometer (km) bermula dari Gombak ke Pelabuhan Klang.

“Sepatutnya kerajaan negeri perlu memberi perhatian penuh dan menyegerakan proses kelulusan tanah terhadap projek berkepentingan nasional ini, bukannya melambat-lambatkannya atau cuba menjadikannya sebagai isu politik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pembinaan ECRL sepanjang 688 kilometer akan menghubungkan ne geri-negeri pantai timur dengan fasa pertama melibatkan laluan landasan kereta api elektrik me lalui Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor dengan jajaran sepanjang 531.6 km dan jajaran sisihan sepanjang 68.7 km.

Budiman yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang pada masa sama mahu kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya tidak ‘menyempitkan’ pandangan mereka sehingga gagal melihat manfaat besar yang bakal diperolehi hasil pembinaan laluan sepanjang 688 kilometer dengan kos RM55 bilion itu.

Ini kerana, beliau berkata ECRL yang diilhami Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu bukan sahaja bertujuan menyediakan kemudahan infrastruktur negara dan menaik taraf pengangkutan awam di luar bandar, sebaliknya projek itu mampu memangkin serta menyamaratakan taraf ekonomi antara wilayah Pantai Timur dan Pantai Barat.

Semalam, Ketua Pembinaan MRL Noor Azlan Salleh dilaporkan berkata, sehingga kini kerajaan Selangor masih belum meluluskan tanah kepada syarikat itu untuk melaksanakan projek ECRL di negeri berkenaan meskipun permohonan telah dibuat pihaknya sebelum ini.

Kelewatan kelulusan tanah itu berkemungkinan akan memberikan implikasi besar terhadap pelaksanaan projek itu yang menghubungkan Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan Pelabuhan Klang serta dijangka siap pada 2024.

– BERNAMA

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!