Langkah paling bijak Mukhriz lawat Ekspo Muafakat Kedah

Share

HANGAT cuaca di Kedah ketika ini, lebih hangat satu acara bersejarah yang kini berlangsung dengan jayanya di pekarangan Stadium Darulaman, Ekspo Muafakat Kedah.

Khabarnya, ekspo yang dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semalam, sudah dikunjungi seramai 44,000 pengunjung sehingga acara penutup malam tadi.

Sememangnya acara tersebut meraih tumpuan kerana pelbagai segmen yang disediakan meliputi pelbagai aspek tentang Kedah dan sesuai juga untuk semua lapisan pengunjung termasuk anak-anak kecil beriadah.

Acara yang bersambung hari ini terus menjadi perhatian warga Kedah yang tidak mahu ketinggalan menyaksikan dan turut serta dengan pelbagai aktiviti dianjurkan.

Begitu juga dalam banyak-banyak pengunjung, kehadiran tetamu kehormat (VIP) yang satu ini meraih perhatian iaitu bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tengah hari tadi.

Ketepikan sahaja tujuan tersirat beliau ke ekspo berkenaan kerana bukan satu yang keterlaluan untuk mengandaikan bahawa beliau sememangnya perlu mengunjungi ekspo berkenaan.

Itu penting bagi beliau untuk mendapat pengetahuan serba sedikit tentang apa yang sudah diusahakan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dalam tempoh kurang dua tahun ini.

Siapa sangkakan? Daripada pemikiran Ahmad Bashah iaitu pemimpin yang sering ditohmah dengan pelbagai gelaran itu mampu melahirkan satu acara yang cukup istimewa.

Tentu sahaja semuanya adalah kerana kebijaksanaan Ahmad Bashah yang menggerakkan strategi muafakatnya sejak menerajui pentadbiran kerajaan negeri.

Dengan jangkaan kehadiran hampir setengah juta pengunjung, 20 kluster khusus dipamerkan, 119 agensi dan jabatan mengambil bahagian, 15 acara utama dan 119 acara sampingan disajikan sepanjang ekspo ini berlangsung.

Acara-acara yang diadakan sepanjang lapan hari ini antaranya memberi input kepada semua pengunjung dari pelbagai peringkat umur untuk meneroka ilmu dari segi pembangunan teknologi, pertanian, pembangunan ekonomi, sosial serta dapat beriadah melalui acara sampingan yang diadakan.

Paling penting ia adalah rangkuman pencapaian dan kejayaan Kedah di bawah kemudi kerajaan Barisan Nasional.

Oleh itu, apa yang diharapkan selepas Mukhriz, lebih banyak lagi pemimpin pembangkang melawat ekspo berkenaan selepas ini.

Semua jangan terlepas peluang saksikan acara bersejarah ini.-UTUSAN ONLINE

Leave a Reply