Skandal tanah Ijok, Azmin terus didesak.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diminta berhenti daripada cuba memutarbelitkan isu atau menuding jari kepada pihak lain dengan segera menjawab isu pokok di sebalik skandal tanah bernilai RM1.18 bilion di Ijok.

Pegawai Khas kepada bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Faekah Husin berkata, isu utama yang wajib dijawab Mohamed Azmin ialah kenapa tanah itu ‘dipulangkan’ semula kepada dua syarikat ter­babit yang terbukti ada masalah.

“Isu pokok (yang perlu dijawab oleh Mohamed Azmin), kenapa pulangkan tanah yang dirampas oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada pemaju yang curang kepada peneroka dan pembeli daripada rakyat Selangor,” soal Faekah menerusi Twitter.

Khamis lalu, Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menuntut Mohamed Azmin memberi penjelasan me­ngapa beliau tergesa-gesa membenarkan penjualan tanah di Ijok itu dibuat sedangkan proses di Mahkamah Persekutuan belum selesai.

Kebenaran diberikan Mohamed Azmin kepada syarikat Mujur Zaman Sdn. Bhd. (Mujur Zaman) dan LBCN Development Sdn. Bhd. (LBCN) itu jelas Abdul Rahman mencetuskan persoalan kerana keputusan di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan memihak kepada kerajaan ne­geri.

Walau bagaimanapun dalam kenyataannya, Pejabat Menteri Besar bukan sahaja tidak menjawab kepada persoalan pokok yang dibangkitkan, sebaliknya cuba pula menuding jari kepada BN.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, perbuatan Mohamed Azmin menuding jari kepada pihak lain disifatkan sebagai cubaan untuk menutup kegagalannya memberi penjelasan terperinci mengenai isu berkenaan.

“Alasan diberikan Mohamed Azmin kononnya penjualan tanah tersebut bagi menyelesaikan isu pampasan kira-kira 980 peneroka asal amat lemah selain tidak berlandaskan kepada fakta sebenar mengapa masalah itu berlarutan sejak 18 tahun lalu.

“Ia bukan disebabkan pentadbiran terdahulu tetapi syarikat terbabit gagal menyebabkan Abdul Khalid memutuskan mengambil semula dan Mahkamah Tinggi serta Mahkamah Rayuan menyebelahi kerajaan negeri ketika itu,” katanya.

Pada masa sama, Mat Nadzari turut mempersoalkan kewajaran kerajaan negeri memberi tanah tersebut kepada Mujur Zaman dan LBCN yang kemudiannya menjualnya kepada sebuah syarikat pemaju lain.

“Mengapa Mohamed Azmin tidak membenarkan sahaja anak-anak syarikat kerajaan negeri meneruskan projek di atas tanah berkenaan jika mahu membela peneroka terlibat sekali gus mempertahankan aset milik rakyat Selangor?

“Apa rasionalnya beliau membenarkan tanah itu dijual kepada syarikat lain?,” soalnya.

Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *