Kadar levi dan tol di Link Kedua dikurangkan.

Share

PMO MALAYSIA:-

9 Februari 2018

KENYATAAN AKHBAR

1. Sewaktu Retreat pemimpin tahunan Malaysia-Singapura baru-baru ini, kedua-dua Kerajaan telah mengadakan perbincangan mendalam bagi menyelesaikan isu kesesakan yang berlaku di Tambak Johor. Oleh yang demikian, dalam usaha berterusan bagi mengatasi masalah ini, kerajaan telah pun merumuskan beberapa langkah komprehensif.

2. Berkuatkuasa 13 Februari 2018, Kerajaan telah bersetuju untuk mengurangkan kadar levi dan tol di laluan kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) bagi menggalakkan kenderaan menggunakan laluan ini berbanding Tambak Johor. Pengurangan ini membabitkan levi kepada kenderaan komersial yang keluar dan masuk ke Malaysia dan kadar tol di luar waktu puncak bagi semua jenis kenderaan kecuali motosikal.

3. Kerajaan telah bersetuju untuk mengurangkan levi kenderaan komersial di Linkedua kepada RM50 bagi kedua-dua laluan keluar dan masuk ke Malaysia daripada kadar di antara RM100 hingga RM200 pada ketika ini. Selain itu, caj tol di luar waktu puncak bagi linkedua iaitu antara jam 10 pagi hingga 3 petang dan jam 11 malam hingga 5 pagi untuk semua kenderaan kecuali motosikal juga dikurangkan antara 47 peratus hingga 82 peratus mengikut kelas kenderaan.

4. Kadar baharu selepas pengurangan ini adalah seperti berikut: kenderaan persendirian daripada RM7.50 kepada RM4.00, teksi daripada RM5.70 kepada RM3.00, Bas daripada RM9.10 kepada RM4.50 manakala kenderaan komersial bagi kedua-dua kelas 2 dan 3 dikurangkan daripada RM17.10 dan RM34.30 kepada RM4.50 dan RM6.10, sama seperti kadar di Tambak Johor.

5. Langkah ini dijangka dapat mengurangkan kenderaan komersial di Tambak Johor sebanyak 40 peratus.

6. Langkah lain yang sedang diambil oleh kerajaan adalah pembinaan projek Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura. Projek ini akan menghubungi stesen Bukit Chagar di Johor Baru dan Woodlands North, Singapura. Perkhidmatan ini dijangka dapat beroperasi pada 2024 dan membawa 10,000 penumpang dari satu arah dalam masa satu jam. RTS dijangka mengurangkan masa perjalanan antara kedua-dua negara kepada 30 minit berbanding lebih sejam pada masa ini.

7. Kerajaan Malaysia dan Singapura telah pun menyerahkan surat tawaran kepada syarikat yang akan membina dan mengendalikan perkhidmatan RTS.

8. Selain itu, bagi mengurangkan kesesakan juga, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) juga akan meningkatkan kekerapan perkhidmatan ulangalik Shuttle Tebrau daripada 26 perjalanan kepada 31 perjalanan setiap hari. Ini membolehkan KTMB membawa 1,500 penumpang tambahan menyeberangi Tambak Johor yang ketika ini berjumlah 7,783 sehari.

9. Perkhidmatan ini memberi pilihan kepada penumpang yang dapat menjimatkan masa hanya 5 minit perjalanan berbanding di antara 45 minit hingga 2 jam jika menggunakan bas. Ini adalah langkah jangka pendek sebelum Laluan RTS sepanjang empat kilometer siap sepenuhnya.

10. Langkah ini juga dapat memberikan manfaat kepada pengguna harian di mana mereka tidak perlu lagi terpaksa keluar lebih awal dari rumah pada setiap hari bagi mengelakkan kesesakan. Tambahan lagi, ini juga akan meningkatkan industri pelancongan negara dengan bilangan pelancong dijangka akan meningkat dengan pengurangan kesesakan di Tambak Johor.

11. Bagi menambahbaik pengurusan trafik di Tambak Johor, Kerajaan menubuhkan Pasukan Petugas Peringkat Tertinggi yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi mengenal pasti dan membincangkan langkah jangka panjang termasuk hanya mengadakan satu pusat pemeriksaan antara Malaysia dan Singapura.

12. Usaha kita untuk meningkatkan lagi sistem perhubungan dan urusan imigresen di antara kedua-dua Negara adalah manifestasi kesungguhan kedua-dua kerajaan untuk menjalin hubungan dan kerjasama yang akan membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua Negara.

Pejabat Perdana Menteri

9 Februari 2018

1) PMO FACEBOOK

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2046127472069888&id=1060496417299670

2) PMO TWITTER

Leave a Reply