Cerpen Pilihan: ’02’ Tulen Vs ’02’ Celup…



Sebaran :

Atan anak kelahiran Kedah. Benar dia dilahirkan di negeri itu. Kad pengenalannya ’02’. Namun selepas bapanya dapat kerja di ibu negara, dia berpindah ke Kuala Lumpur, bermastautin dan membesar di kota metropolitan itu.

Walaupun bapanya kaya raya, namun Atan dapat masuk MRSM di luar Kedah walaupun ia sebenarnya dibina untuk membantu pelajar Melayu dari golongan miskin dan sederhana mendapatkan peluang pendidikan yang lebih baik melalui bantuan Mara.

Setelah itu, Atan melanjutkan pelajarannya ke negara matahari terbit. Khabarnya dia lama di sana. Walaupun sudah tamat belajar di universiti, katanya hampir 10 tahun dia tidak pulang ke ibu negara, apatah lagi negeri kelahirannya…



Mungkin sudah bosan berpoya-poya di luar negara, maka pulanglah Atan ke Malaysia. Bapanya yang dulunya Menteri ketika itu berkuasa sebagai Perdana Menteri. Maka mudahlah segala urusannya untuk mengkayakan diri sendiri.

Ahmad juga anak Kedah. Kad pengenalannya juga ’02’. Dari kecil hinggalah dewasa, dia lebih senang berada di negeri itu. Dia lebih gemar bergelumang selut, menyulam jerami, mandi sungai, menyerkap ikan dan makan laksa di Pekan Rabu.

Dia bersekolah di Kedah. Selepas tamat belajar, dia menjadi pemimpin belia kampung dan begitu disenangi masyarakat. Tunjuk saja mana-mana rumah, dia boleh beritahu siapa tuan rumahnya, siapa anggota keluarganya, apa pekerjaannya dan bagaimana tahap kehidupan mereka.



Dari kecil hinggalah kini, Ahmad tidak betah jika berada di luar Kedah. Jika terpaksa ke negeri lain untuk urusan tertentu, cepat-cepat dia selesaikan urusan dan kembali ke negeri jelapang padi itu. Mungkin tawa bersama rakan, pulut tanak, ikan pekasam, kopi O dan rokok daun begitu menggamit dirinya.

Masa berganti masa, Ahmad sudah lama memimpin masyarakat. Dia diangkat orang ramai sebagai pemimpin atas khidmat dan jasa baktinya selama puluhan tahun kepada mereka. Selaku anak jati Kedah, Ahmad begitu menjiwai dan tahu apa yang orang Kedah mahu.

Tidak seperti Ahmad, Atan bergaya hidup mewah dan serba metro di kota metropolitan. Dengan gaya orang muda, berbaju kemeja ketat, bercuti di luar negara dan anak isteri berambut perang bukan suatu yang asing baginya. Bagai selebriti hidupnya…



Sementelah bapanya seorang Perdana Menteri, maka bertambah ‘subur’ kekayaan diri dan abang kakanya. Malah sanak saudaranya juga kaya raya. Tiba-tiba, bapanya bersara dan Atan mengambil keputusan untuk mengganti bapanya dalam dunia politik.

Mungkin dalam fikirannya sudah meletak tekad mahu jadi seperti bapanya jadi Perdana Menteri. Maka sebagai anak bekas Perdana Menteri, maka dia fikir orang akan membuka ruang, memberi laluan mudah untuk dia naik ke puncak dengan bergaya.

Namun jangkaannya meleset. Khabarnya, bapanya mahu dia ‘dilatih’ terlebih dahulu dan dia ‘dihantar pulang’ ke Kedah. Keadaan itu buat Atan tersepit. Anak isterinya tak mahu hidup berkampungkan Kedah dan lebih selesa tinggal di rumah mewah berkolam renang di kota besar…



Mahu tidak mahu, dia terpaksa pulang ke negeri kelahirannya. Kekok atau tidak berkain pelikat, memakai lebai atau selipar jepun, dia terpaksa juga meredah ‘batas ban’ di pida-pida. Agak menjengkelkan, namun Atan terpaksa demi survival politik.

Ahmad pula selaku ketua yang setia pada parti, redha menerima walau sedikit ‘letih’. Bukan apa, semua kerja Ahmad yang buat seorang, tiba-tiba dia balik di minit-minit akhir ‘ambil nama’. Namun begitu, Ahmad ikhlas menyambut Atan pulang…

Sejak menang, Atan terpaksa berada di Kedah. Rutin hidupnya kini berubah. Setiap minggu dia berulang-alik dari ibu negara ke Kedah. Hujung minggu ‘lesap’. Jika di Kedah, masanya lebih banyak di pejabat dan rumah ibu bapanya, tidak di kawasan yang dia wakili.



Sekali-sekala, dia terpaksa masuk kampung hadir ke program. Bertatih-tatih dia cuba jadi ‘orang Kedah’, namun kekoknya tetap ada. Slanga Kedahnya bagai dibuat-buat. Pantang musim cuti, ke luar negaralah dia bersama keluarga.

Lain pula halnya dengan Ahmad. Dia diminta bertugas di peringkat pusat. Namun seperti biasa, dia tidak betah di sana. Terlalu sibuk dengan tugas di ibu negara membuat dia terlalu rindukan Kedah. Namun cuma sekali-sekala saja dia dapat balik kampung…

Keadaan itu membuat Atan bosan. Hidup dalam kepura-puraan membuat dia memberontak. Idamnya mahu menjadi Perdana Menteri, bukan Menteri Besar. Lalu dia cari alasan dan kesempatan cuba meniru watak baru. ‘Jebat derhaka’ menjadi pilihannya.



Dia mula ‘buat perangai’. Sopan susila Melayunya hilang sama sekali. Depan rakyat pihak semut pun tak mati, belakang rakyat hanya Allah saja yang tahu. Melihat keadaan itu, dia sengaja cari pasal dan langgar disiplin parti. Ditunjuknya perangai buruknya, diperguna nama rakyat…

Akhirnya Atan terpaksa dijatuhkan. ‘Barang rosak’, terpaksa diganti. Dengan kuasa Allah, anak jati Kedah yang bernama Ahmad diangkat menerajui negeri. Makin bertambah panaslah hati Atan melihat keadaan itu, membara dendamnya mencerca Ahmad…

Peliknya, Atan pula cuba mengajar Ahmad bagaimana hendak bangunkan Kedah. Atan sebelum ini mahu jadikan Kedah bagai Tokyo, London atau New York. Dirancangnya projek-projek mega walaupun dia tahu Kedah antara negeri termiskin.



Atan sebelum itu tahu Kedah tidak ada dana dan mengharapkan bantuan Kerajaan Pusat. Namun dia sombong, konon tidak mahu mengemis. Padahal, orang bukan suruh dia mengemis pun, cuma minta dia berbudi bahasa meminta pertolongan ‘extra’ dari Pusat.

Tapi mungkin kerana status ‘aristokrat’, konon ‘anak negarawan ulung paling berjasa dalam cakrawala’, dia buat musuh dengan orang yang sepatutnya dia minta bantuan. Dek kerana ‘bodoh sombong’nya dalam dunia politik, rakyat Kedah yang jadi mangsa…

Ahmad yang sudah sebati jiwanya dengan orang Kedah sememangnya amat tahu apa yang diperlukan di negeri itu. Kedah tidak memerlukan KLCC, bangunan pencakar langit atau projek mega yang memerlukan belanja besar.

Ahmad tahu, rakyat Kedah lebih selesa dengan budaya ‘sempoi’ bersahaja. Orang Kedah mahu kebajikan mereka terjaga, mahu disapa, mahu masalah mereka diatasi, mahu pembangunan secara sederhana dan bermoral.

Orang Kedah tidak mahu suami berjubah di Kedah, tapi isteri berseluar pendek di luar negara. Orang Kedah lebih selesa anak gadis bertudung litup daripada anak gadis berpakaian ‘koyak rabak’ di sana-sini. Budaya di Kedah tidak metro, tapi penuh adab dan sopan…

Orang Kedah mahu orang Kedah yang menerajui negeri. Bukan hanya kad pengenalan saja ’02’, tapi jiwanya juga perlu ’02’. Loghatnya mesti pekat Kedah, tidak pelat. Orang Kedah mahu yang ada pengalaman bergelumang selut, bukan bermain ‘dolphin’ di luar negara.

Terkini, dikhabarkan Atan mahu jawatannya kembali di Kedah. Dengan parti baru, dia sebar dakyah politik karut-marut, menanam kebencian dalam hati orang Kedah. Langkahnya silap lagi. Orang Kedah lebih suka menanam padi, bukan menanam benci!

Lebih kurang begitulah sketsa yang mempamerkan perbezaan tentang kad pengenalan ’02’. Seorang ’02’ yang tulen, seorang lagi ’02’ yang ‘celup’. Ingatkan bila Atan mahu jadi orang Kedah, maka dia pindah duduk di negeri itu. Namun tidak, jiwanya tetap di New York. Dia hanya mahukan Kedah untuk kuasa, bukan untuk jadi ‘orang Kedah’ yang tulen…


Sebaran :


2 thoughts on “Cerpen Pilihan: ’02’ Tulen Vs ’02’ Celup…

  • kepada atan…
    kepala kau & kepala bapak kau macam nak kena luku

    Reply

Leave a Reply