Apa lagi yang tersembunyi di sebalik projek terowong?

Sebaran :

JIKA tidak kerana siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), banyak yang tidak diketahui mengenai projek mega terowong dasar laut dan tiga lebuh raya yang dirancang Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Setakat yang diketahui penduduk, projek itu dirancang untuk mengurangkan kesesakan khususnya di bahagian pulau negeri ini.

Sama ada berbaloi untuk membelanjakan lebih RM6 bilion bagi menyelesaikan masalah kesesakan itu, hanya Kerajaan DAP Pulau Pinang yang mempunyai jawapannya.

Sehingga ke hari ini juga, iaitu selepas lebih lima tahun projek itu diuar-uarkan kerajaan negeri, tiada apa-apa perkembangan pun berhubung kedua-dua projek itu.

Peliknya, tanah milik rakyat bernilai jutaan ringgit yang dipindah milik sebagai kos bayaran kajian kebolehlaksanaan projek itu sudah pun terlepas ke tangan pemaju swasta.

Pelbagai projek komersial bertaraf mewah dan elit juga sudah dirancang pemaju di atas tanah tersebut yang sepatutnya dibangunkan bagi memenuhi keperluan rakyat seperti rumah mampu milik.

Tetapi dalam masa sama, projek utama iaitu terowong dasar laut dan tiga lebuh raya sehingga kini masih lagi samar-samar dan kerajaan negeri terus berselindung di sebalik alasan kajian kebolehlaksanaan dan impak alam sekitar (EIA).

Ini menimbulkan persoalan projek mana sebenarnya yang menjadi keutamaan Kerajaan DAP Pulau Pinang?

Adakah projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya yang kononnya bagi mengurangkan kesesakan lalu-lintas?

Atau projek di atas tanah milik rakyat yang diserahkan kepada pemaju sebagai kos kajian yang kini sedang dirancang dengan pembangunan mewah?

Apa yang dibimbangi penduduk ketika ini adalah projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya itu hanya diwujudkan bagi merasionalkan perjanjian tukar milik tanah rakyat kepada pemaju semata-mata.

Dengan sekian banyak alasan dan kontroversi serta percanggahan penjelasan oleh kerajaan negeri termasuk ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), projek terowong dan lebuh raya itu pada akhirnya tidak akan pernah terlaksana.

Jika itu berlaku, penduduk Pulau Pinang menanggung kerugian cukup besar kerana tanah milik mereka sudah pun terlepas kepada pemaju dan mustahil dapat dikembalikan semula kepada mereka. – UTUSAN ONLINE



Sebaran :

Leave a Reply