Transformasi infra rakyat menjalar ke luar Lembah Klang

Bertuah hidup rakyat Malaysia sekarang berbanding de­ngan kehidupan lebih empat dekad lalu. Kalau di Kuala Lumpur dahulu, pengangkutan yang dibangga-banggakan ialah bas mini, bas Srijaya, Foh Hup, Tong Fong, Len Seng, Selangor Bus, KL-Klang Bus dan SKS. Zaman itu pengangkutan utama untuk bawa warga kota pulang ke kampung halaman semasa musim perayaan ialah bas ekspres dan kereta api.

Sekarang beberapa nama syarikat pengangkutan bas tersebut ha­nya tinggal kenangan. Banyak yang diganti dan digabungkan dengan syarikat konsortium tetapi akhirnya gagal memberi kese­le­saan kepada pengguna.

Sejak tahun 2010 Kerajaan Persekutuan Malaysia terus bekerja keras untuk memberikan keselesaan kepada rakyat dengan sistem pengangkutan berkelas dunia.

Pelbagai projek untuk mentransformasi pengangkutan awam terus dilaksanakan demi menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Hal ini diyakinkan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan peruntukan kerajaan untuk transformasi pengangkutan awam darat tidak terjejas walaupun dalam keadaan ekonomi global yang mencabar ketika ini.

Kerajaan telah merancang pengubahsuaian dan transformasi perkhidmatan pengangkutan awam sebagai satu daripada fokus utama negara dengan melakukan pelbagai penambahbaikan terhadap kemudahan pengangkutan kereta api moden, bas, dan teksi.

Syukur, infrastruktur pengangkutan Malaysia berada pada kedudukan ke-11 daripada 138 negara dalam Laporan World Economic Forum Global Competitive Index 2016-2017, satu pengiktirafan mutu infrastruktur pengangkutan Malaysia.

Najib pernah berkata semua pembinaan infrastruktur ini sebagai lambang permulaan perjalanan baharu kepada negara yang menjadi game changer dan penanda aras kepada semua perancangan pada masa hadapan.

Semua projek tersebut berpaksikan rakyat, dan bukan sekadar sebuah pengangkutan awam. Kerajaan memandang ke hadapan dan melakukan kajian mendalam dari segi kehidupan rakyat, mengambil kira jaringan rangkaian, kepadatan penduduk, aliran trafik, keperluan pengguna dan sebagainya.

Malah lebih daripada itu, kerajaan juga memberi penekanan khusus terhadap kesalinghubungan batuan pertama dan terakhir.

Kerajaan sekarang dilihat terpak­sa mewarisi legasi pucuk pim­pinan terdahulu yang me­rancang projek pengang­kutan awam bandar moden tetapi tidak memikirkan kesannya kepada rakyat dan jangka panjang.

Misalnya, rakyat digalak-kan menaiki tren KTM di se­suatu kawasan, tetapi dari su­dut pandangan rakyat, ke­mu­dahan itu ada masalah mi­sal­nya kesukaran untuk me­reka bergerak dari rumah ke stesen berkenaan.

Kini berdasarkan Laporan Eko­nomi 2017/2018, kera­jaan memperkenal dan melak­sa­nakan pelbagai inisiatif untuk menambah baik pengangkutan awam termasuk beberapa per-khidmatan rel baharu serta memperluas dan menaik taraf rangkaian sedia ada.

Perkhidmatan rel bandar

Ini termasuk Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) iaitu perkhid­matan rel bandar yang dikendalikan Keretapi Tanah Melayu Bhd. Perkhidmatan ETS pertama dari Kuala Lumpur ke Ipoh mula beroperasi pada 12 Ogos 2010 dan laluan berkenaan dipanjangkan dari Padang Besar ke Gemas pada 10 Oktober 2015 dengan jarak 755 kilometer serta mempunyai 44 stesen.

Selain itu, pembinaan Transit Aliran Massa (MRT) dengan laluan pertama MRT, Sungai Buloh-Kajang (SBK) mempunyai jarak 51 kilometer (km) dengan 31 stesen termasuk tujuh stesen bawah tanah, juga menjimatkan jarak perjalanan dengan masa kira-kira 84 minit.

Fasa pertama laluan SBK dari Sungai Buloh ke Semantan beroperasi pada 16 Disember 2016, diikuti fasa kedua dari Semantan ke Kajang pada 17 Julai 2017.

Laluan MRT Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) yang dalam pembinaan bakal menjadi komponen penting sistem pengangkutan awam Lembah Klang, dan dijangka mula beroperasi pada suku kedua 2022.

Selain laluan Transit Aliran Ringan sedia ada, LRT Laluan 3 (LRT3) dijangka siap pada Februari 2021 yang akan menghubungkan Bandar Utama dengan Klang dalam tempoh 58 minit.

Selain itu, Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) juga bakal menjadi mod pengangkutan awam rel paling laju dari Kuala Lumpur ke Singapura dengan jarak 335 km dengan tempoh 90 minit masa perjalanan, dan dijangka beroperasi menjelang akhir 2026.

Rangkaian saling berhubungan rel bandar yang giat dibangunkan menunjukkan kesungguhan dan komitmen kerajaan ke arah mengubah industri pengangkutan awam darat.

Selain itu, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) dipanjangkan lagi menerusi pembinaan fasa kedua sepanjang 185 kilometer (km), termasuk menaikkan nilai hartanah di bandar persinggahan.

Di Sabah dan Sarawak, Lebuhraya Pan Borneo sedang dibina bagi meningkatkan aktiviti ekonomi di sana. Sebagai infra rakyat, sudah pasti ia memberikan manfaat yang sangat besar kepada rakyat di Sabah dan Sarawak.

Sistem pengangkutan rel moden bukan untuk penduduk Pantai Barat sahaja, kini bakal dipanjangkan kepada rakyat sebelah Pantai Timur. Dengan wujudnya Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) ia menambah baik jaringan rel ke Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Impak yang diberikan kepada Wilayah Ekonomi Pantai Timur cukup besar dengan kadar pertumbuhan ekonomi bertambah kepada 1.15 peratus.

Projek pembangunan itu akan membuatkan produk dari Pantai Timur lebih kompetitif memandangkan kos pengangkutan yang lebih murah, sekali gus menjana pendapatan industri dan perniagaan yang terletak di sepanjang laluan rel terbabit.

Projek ECRL sepanjang 620 kilometer dari terminal pengangkutan bersepadu (ITT) Gombak, Selangor ke Tumpat, Kelantan bakal mewujudkan pertumbuhan ekonomi baharu di 24 stesennya, sekali gus membantu meningkatkan sosio-ekonomi penduduk tempatan.

Kawasan yang bakal mempunyai stesen ECRL seperti Bentong dan Cherating di Pahang; Chukai, Dungun dan Kuala Telemong di Terengganu; serta Tok Bali, Wakaf Bharu dan Tumpat di Kelantan akan menjadi tumpuan pembangunan pesat, sekali gus meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar serta merancakkan pertumbuhan ekonomi di Pantai Timur.

ECRL akan menjadi satu lembaran baru kepada sektor pengangkutan awam dan kargo ke Pantai Timur dan melengkapi Pelabuhan Kuantan yang akan menjadi pelabuhan laut dalam selepas kerja naik tarafnya selesai.

Apa pun bagi orang Pantai Timur, perjalanan dari Gombak ke Wakaf Bharu nampaknya semakin singkat dengan mengambil masa empat jam sahaja berbanding 12 jam menaiki bas.

Projek ECRL ini akan menjadi kenyataan pada tahun 2021 atau 2022. Ini bermakna mereka boleh pulang ke kampung pada musim perayaan dengan keadaan selesa tanpa menempuh kesesakan berjam-jam lamanya. Inilah nikmat pembangunan Kerajaan Persekutuan kepada rakyat.

Azman Anuar
Utusan

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.