Tawar Siaran Langsung EPL, Pembangkang Sebenarnya Iktiraf Pentadbiran Najib Razak

Kontradik, begitulah yang sering berlaku kepada Pakatan Harapan. Betul kata Perdana Menteri sewaktu pembentangan Bajet 2018 Oktober lalu, “The only thing consistent with the opposition is that they are inconsistent”.

Sedang mereka sering mendakwa rakyat negara ini di dalam kesengsaraan akibat kononnya dari pembaziran wang negara dan ekonomi yang tidak menentu, tiba-tiba mereka pula yang menawarkan sesuatu yang bersifat kehendak, dan bukannya keperluan. Bukankah mereka sering menuduh negara akan bankrap? Mengapa pula mereka memilih untuk menawarkan siaran langsung English Premier League, yang sudah tentu memakan nilai bidaan berbillion ringgit hak siarannya?

Apakah itu wajar, berbanding membelanjakan wang kerajaan untuk keperluan rakyat? Di mana konsistensi pembangkang sebenarnya?

Apa yang kita lihat adalah sikap populis pembangkang, yang cuba untuk meraih undi rakyat. Ia tidak salah, tetapi ingin kita bertanya tentang konsistensi mereka ke atas tuduhan-tuduhan kononnya negara akan muflis. Bukankah nilai berbillion ringgit itu lebih baik di salurkan ke atas perkara-perkara yang bersifat keperluan?

Tindakan Pakatan Harapan ini sebenarnya hanya untuk membakar sentimen dan bermain dengan perasaan semata. Memang enak di halwa telinga dan di hati, apabila membicarakan soal ketirisan, soal mansuhkan GST, soal hak perumahan rakyat. Hakikatnya, tiada satu pun rancangan atau Bajet yang mampu mengimbangi apa yang mereka katakan sendiri. Hanya sekadar retorik, dan cuba membakar perasaan rakyat. Mereka tahu, itu sahaja cara untuk memberi kesan kepada pengundi, iaitu melalui sentimen.

Begitu juga dengan idea EPL ini, tiada langsung sifat tanggungjawab dalam apa yang tuduh tentang negara sebelum ini. Atau, apakah mereka sebenarnya secara diam-diam bersetuju bahawa pentadbiran Najib Razak sudah cukup sempurna, dan memenuhi aspirasi dan keperluan rakyat sehinggakan pembangkang tiada idea lain untuk dijual?

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.