Pulau Pinang Tangguh bina tiga lebuh raya sejak 2014 dipersoal

Kerajaan DAP Pulau Pinang dipersoal mengapa sehingga kini belum memulakan kerja-kerja pembinaan tiga lebuh raya yang dirancang di negeri ini yang sepatutnya sudah bermula pada 2014.

Pengerusi Jawatankuasa Strategik UMNO Kepala Batas, Azizi Safar berkata, penangguhan beberapa kali projek itu menimbulkan tanda-tanya kerana kajian reka bentuk terperinci sudah siap selain pembayaran sebanyak RM208 juta juga sudah dibuat.

Katanya, persoalan timbul sama ada konsortium projek tersebut berdepan masalah me­lantik kontraktor pelaksana setelah Beijing Urban Construction Group (BUCG) menarik diri dan tidak lagi menjadi rakan kongsi dalam konsortium tersebut.



“Rakan kongsi utama Konsortium Zenith Construction Sdn. Bhd. sekarang adalah hanya sebuah syarikat pembuatan pakaian yang tiada pengalaman atau rekod dalam projek pembinaan berskala besar.

“Adakah ini menjadi punca mengapa projek tiga lebuh raya yang perancangannya termasuk dalam projek terowong dasar laut itu tertangguh begitu lama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Azizi turut mempersoalkan sama ada Kerajaan DAP Pulau Pinang melaksana dan menyelesaikan pengambilan balik tanah-tanah yang terlibat dengan cadangan jajaran jalan-jalan berkenaan.

Ujarnya, jika proses itu belum dilaksanakan atau diselesaikan, kerja-kerja pembinaan jalan-jalan tersebut tidak dapat dimulakan sekali gus menimbulkan persoalan sama ada kerajaan negeri benar-benar serius untuk melaksanakan projek tersebut atau sebaliknya.

Selain itu, beliau turut menarik perhatian berhubung anggaran jumlah kos pengambilan balik tanah untuk pakej tiga jalan utama tersebut dan terowong dasar laut yang didakwa berjumlah RM546.31 juta.

“Jika kerajaan negeri memberi milik tanah atau melakukan ‘payment in kind’ untuk kerja-kerja kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci kepada konsortium, apakah cara sama digunakan untuk membiayai kos pengambilan balik tanah-tanah tersebut?” tanya beliau.

Apa yang membimbangkan, tambah beliau, jika cadangan projek tiga jalan utama itu dibatalkan Kerajaan DAP Negeri Pulau Pinang tetap perlu membuat pembayaran kepada konsortium untuk kerja-kerja kajian kebolehlaksanaan dan reka bentuk terperinci.

Utusan

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.