Model Ekonomi Malaysia Ditiru Kerana Ianya Berada Di Landasan Yang Betul

Di Iran sekarang, rakyat turun ke jalan untuk berdemonstrasi buat hari kelima. Sudah 13 orang terbunuh, ratusan yang lain ditahan dan media sosial terus disekat. Di Iran, kadar pengangurannya adalah 12.6%, atau 10.2 juta orang rakyatnya tiada pekerjaan. Demonstrasi jalanan mudah tercetus bila poket kosong dan perut lapar.

Datanglah apa juga isu, bila ekonomi sesebuah negara tidak diuruskan dengan baik, maka rakyat akan mula marah pada pemerintah. Itu juga yang berlaku di Mesir pada 2011, bila kadar pengangguran ketika “Arab Spring” menjatuhkan Mubarak pada ketika itu adalah 20% atau 16 juta rakyat Mesir tiada pekerjaan pada masa itu.

Itu krisis yang berlaku dari Timur Tengah. Di Arab Saudi pula semalam, kerajaannya menaikkan harga minyak di antara 80 hingga 126 peratus hari ini. RON95 dijual pada harga 2.04 riyal (RM2.21) seliter, berbanding 0.90 riyal (RM0.98) sebelum ini. Biarpun naik sampai 126 peratus, harga minyak di Arab Saudi masih lagi tersenarai antara harga minyak yang ke-15 termurah di dunia.

Arab Saudi mengambil pengajaran dari Venezuela, apa gunanya minyak terlalu murah hingga RM0.04 seliter tetapi keadaan ekonominya  tidak berkembang. Kadar pertumbuhan  ekonomi di Venezuela adalah negatif dua belas peratus. Kadar pengangguran di Venezuela pula tinggi iaitu 7.3% atau 2.4 juta rakyatnya menganggur.

Tabung Kewangan Antarabangsa telah unjurkan ekonomi Arab Saudi berkembang pada kadar 0.1 hingga 0.4 peratus sahaja akibat kejatuhan harga minyak dunia. Oleh itu, Arab Saudi pula mencari pendekatan lain dan melihat alternatif ekonomi yang dilakukan oleh Malaysia bila berdepan kekurangan hasil dari industri minyak.

Model ekonomi Malaysia yang cuba diteladani oleh Arab Saudi. Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa telah beri semakan menaik terhadap ekonomi Malaysia.

Tiga kali ‘rating” Malaysia dinaikkan dan pendekatan ekonomi Malaysia diberi pujian oleh institusi antarabangsa yang lain. Bermakna, pendekatan ekonomi Malaysia adalah di landasan yang betul dan ianya mahu diteladani oleh negara lain.

Arab Saudi meniru cara GST dan BR1M daripada Malaysia. UAE pula ikut cara Arab Saudi, sudah memperkenalkan GST mulai Januari 2018. UAE anggarkan akan mendapat hasil sejumlah AS43.3 billion menerusi GST.

Arab Saudi dan UAE bergantung 90% hasilnya kepada minyak, dengan adanya GST maka kebergantungan terhadap hasil minyak dapat diminimakan. Beberapa negara lain juga akan mula perkenalkan GST iaitu Bahrain, Kuwait, Oman dan Qatar.

Ada dengar berita di negara negara yang perkenalkan ini rakyat turun ke jalan berdemonstrasi? Turun ke jalanan membantah dan meminta agar GST dihapuskan? Tidak ada, kerana apa yang dibuat kerajaan di negara itu adalah untuk menjamin pertumbuhan ekonomi terus berlaku dan rakyat terus dapat peluang pekerjaan.

Apa guna ada minyak murah seperti Venezuela, tetapi rakyatnya tidak ada pekerjaan? Itulah juga yang berlaku di Iran dan Mesir, orang turun ke jalan bila tiada pekerjaaan. Orang sanggup bakar diri sendiri seperti di Tunisia bila peluang kerja tiada. Tidak sama keadaan ekonomi negara yang bergolak ini dengan Malaysia.

Oleh kerana itulah, cubaan membuat demonstrasi di Sogo pada malam tahun baru baru baru ini disambut sepi oleh rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia lebih suka melayan percikan bunga api dan bersama keluarga di malam tahun baru. Sanggup bersesak dalam ‘jammed’ demi berhibur bersama keluarga.

Hanya pembangkang di Malaysia yang suka mengada ngadakan cerita karut tentang ekonomi Malaysia. Dulu sudah beberapa kali mereka kata ekonomi Malaysia hendak bankrup dan Malaysia jadi negara gagal, tetapi tidak menjadi juga tekaan mereka. Kali ini, mereka cuba takutkan rakyat pula dengan membuat cerita kononnya Malaysia akan tergadai kerana projek ECRL.

Mengaitkan projek ECRL dengan pelaburan Hambantota di Sri Lanka. Perbandingan yang jauh meleset sama sekali. Jauh berbeza ekonomi Malaysia dengan Sri Lanka.

Kerajaan Sri Lanka terjerumus dalam perangkap hutang kerana mereka mempunyai nisbah hutang berbanding KDNK setinggi 86.9%. Jauh berbeza, hutang Malaysia hanya 50.7% sahaja. Lebih buruk lagi, 43% daripada hutang Sri Lanka  didenominasikan dalam mata wang asing berbanding hanya 2.5% untuk Malaysia.

97.5% hutang kerajaan Malaysia berada dalam Ringgit dan kerajaan mengawal Ringgit. Malaysia tidak akan menghadapi masalah yang sama seperti Sri Lanka.Rizab Sri Lanka juga rendah pada AS$5.12bilion pada Mac 2017 berbanding rizab sebanyak AS$102.2 bilion yang dimiliki oleh Malaysia.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kos projek ECRL sebanyak RM55 bilion itu tidak terlalu tinggi jika mengambil kira bayaran secara ansuran selama 20 tahun dan mengambil kira saiz ekonomi Malaysia ialah RM1.3 trilion sekarang.

Kalau ekonomi Malaysia jadi semacam Sri Lanka, buat apa negara negara seperti Arab Saudi dan India hendak meniru sistem ekonomi yang ada di Malaysia? Sudah tentu mereka tidak mahu ikut. Kalau ekonomi Malaysia teruk, buat apa Arab Saudi melabur RM31 billion, India tandatangan RM158 billion MOU, China melabur RM144 billion dengan negara kita?

Buat apa pula susah susah pembangkang hendak rampas Putrajaya kalau negara ini sudah tiada apa apa dan bankrup, Buat apa susah susah seorang yang sudah berusia 93 tahun hendak jadi Perdana Menteri lagi kalau negara ini sudah tiada apa apa lagi. Bermaksud, semua tuduhan pembangkang terhadap ekonomi negara adalah bersifat persepsi dan propaganda semata mata.

Di Malaysia, semua demonstrasi yang pembangkang buat sepanjang 2017 gagal sama sekali. Semua ceramah yang pembangkang buat pun tidak ramai yang datang.

Pembangkang di Timur Tengah pun tidak mahu tiru demonstrasi yang dibuat pembangkang di Malaysia. Sebaliknya, kerajaan di negara negara Arab mahu tiru model ekonomi kerajaan Malaysia kerana ianya terbukti berada pada landasan yang betul.

Tulisan :
Beruang Biru
BB721, Selasa
2 Januari 2018

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.