Melampau tapi saya 
maafkan dia – Abdul Hadi

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memulangkan paku buah kerasnya terhadap serangan Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan menyifatkan be­kas Perdana Menteri itu sudah melampau apabila melabel beliau sebagai peng­khianat hanya di­sebabkan me­ngadakan kerjasama dengan UMNO.

Namun, meskipun mengakui tohmahan yang dilemparkan Dr. Mahathir itu adalah berat, Abdul Hadi tetap memaafkan bekas Perdana Menteri itu serta mengharapkannya insaf atas perbuatannya.

“Dia orang tua dah. Biar dia insaf sendirilah. Memang dia sudah melampau. Tapi biar dia fikir dan duduk ‘sorang-sorang’, dia kena baca banyak buku. Tapi jangan pula baca buku perubatan saja, buku (agama) Islam pun kena baca.

“Saya biarkan dia insaf dan mudah-mudahan dia insaf. Antara saya dengan dia, saya maafkan. (Tetapi) antara dia dengan Tuhan, dia kena taubat,” katanya.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menyatakan perkara itu ketika ditemui selepas me­nyempurnakan majlis Pelancaran Markas Besar PRU-14 N20 Pengkalan Berangan dekat sini malam tadi.

Yang turut hadir Timbalan Pesuruhjaya I Pas Terengganu, Dr. Alias Razak; Timbalan Pesuruhjaya II, Yahaya Ali dan Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.

Beliau mengulas serangan terbaharu Dr. Mahathir semalam yang melabelkan Abdul Hadi sebagai pengkhianat ke­rana bekerjasama dengan UMNO.

Dalam sidang akhbar di Putrajaya itu, bekas Perdana Menteri itu juga menuduh Abdul Hadi hanya memperalatkan Islam ke­rana pernah mendakwa kerajaan sebagai kafir dan perlu ditentang.

Abdul Hadi seterusnya tidak menafikan bekas pemimpin nombor satu negara itu sudah sema­kin terdesak dengan sanggup melakukan perkara yang akhir­nya mengundang padah kepada diri sendiri.

“Dia memang terdesak, sudah rapat ke dinding dan dia dah tak boleh pergi dah. Maka kalau dia rempuh dinding itu dan tidak pasal-pasal pecah kepala sendiri. Jadi, janganlah pecahkan kepala sendiri,” ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Nege­ri (ADUN) Rhu Rendang itu tidak mahu mengulas lanjut berhu­bung isu Amanat Hadi yang kini dibangkitkan kembali oleh Dr. Mahathir.

“Saya dah tulis buku dan buku dicetak beberapa kali. Jadi, saya tak mahu ulang balik, rujuk buku itu sudah cukup,” tambahnya.

Mengulas mengenai Datuk Mahfuz Omar keluar daripada Pas, Abdul Hadi berkata, Ahli Parlimen Pokok Sena itu sebenarnya sudah lama ‘meninggalkan Pas’.

“Dia dah lama keluar (tinggalkan Pas). Ibarat orang mati lama dah tapi baru tanam,” ujarnya.

Utusan

2 thoughts on “Melampau tapi saya 
maafkan dia – Abdul Hadi

  • January 5, 2018 at 11:38 PM
    Permalink

    “Mengulas mengenai Datuk Mahfuz Omar keluar daripada Pas, Abdul Hadi berkata, Ahli Parlimen Pokok Sena itu sebenarnya sudah lama ‘meninggalkan Pas’.

    “Dia dah lama keluar (tinggalkan Pas). Ibarat orang mati lama dah tapi baru tanam,” ujarnya.”

    mati sudah lama tapi baru tanam maksudnya sebelum dapat ditanam macam bangkai terbiar mahfuz omar…power betul analogy hadi awang

    Reply

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.