Malaysia sedia hadapi perubahan pendidikan tinggi

Malaysia kini bersedia menghadapi perubahan dalam bidang pendidikan di peringkat pengajian tinggi sekali gus mengambil langkah-langkah berkesan bagi menangani isu kritikal kebolehpasaran graduan pada masa akan datang.

Perkara itu dilontarkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ismail Abdul Aziz yang meyakini bahawa reka bentuk semula pendidikan tinggi mampu mengatasi masalah jangkaan 65 peratus pekerjaan pada masa kini yang akan hilang dalam tempoh 2015 hingga 2020 berikutan pertindihan pekerjaan dan automasi.

Katanya, reka bentuk pendidikan tinggi akan mempersiapkan pelajar dengan pelbagai kemahiran dalam mencipta pekerjaan selain menghadapi cabaran kebolehpasaran.

“Dunia akan terus berubah di samping bidang automasi akan semakin berdaya saing. Oleh itu, pelajar dan graduan masa kini perlu cepat belajar seiring dengan perubahan yang berlaku.

“Kerajaan juga kini mengambil langkah-langkah dengan mereka semula bentuk pendidikan tinggi seperti melaksanakan program Purata Nilai Gred Keseluruhan Berintegrasi (ICGPA) di mana Malaysia merupakan negara pertama yang melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada Dialog Pendidikan dan Majlis Pelancaran Going Global 2018: Redesigning Education di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan CIMB, Datuk Hamidah Naziadin; Ketua Pegawai Operasi, Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp), Shareen Shariza Abdul Ghani dan Dekan Asia School of Business di Kuala Lumpur, Prof. Charles Fine. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.