Kerusi Parlimen: DAP untung besar

DAP bakal mendominasi Pakatan Harapan apabila menjadi pihak yang sebenarnya meraih keuntungan daripada keputusan pembahagian kerusi Parlimen yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, walaupun PPBM diberi kerusi terbanyak iaitu 52 kerusi Parlimen untuk bertanding, namun realitinya semua itu adalah di luar kemampuan mereka.

Menurutnya, pembahagian kerusi yang disifatkan terlalu banyak kepada PPBM hanyalah strategi untuk menunjukkan kepada pengundi Me­layu bahawa DAP tidak dominan dalam Pakatan Harapan.

“Jumlah kerusi bertanding dengan kerusi yang menang adalah perkara yang berbeza, ia takkan sama dan kita akan lihat pada keputusan akhir nanti. Pembahagian kerusi itu lebih untungkan DAP ke­rana mereka ada sokongan pengundi tetap, kawasan tradisi dan sudah pun menang kerusi Parlimen yang banyak tetapi parti-parti lain kena bertarung.

“Sekarang PPBM tidak ada kerusi pun kecuali satu di Parlimen Pagoh, itu pun dahulunya menang atas tiket Barisan Nasional (BN) sama seperti PAN yang ada kerusi kerana Pas, jadi mereka ini kemungkinan untuk kalah itu besar yang akhirnya DAP yang jadi dominan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Seminar Ahli Majlis dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Kelantan 2018 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Semalam, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan keputusan gabungan pembangkang yang bersetuju mengagihkan 52 kerusi Parlimen untuk ditandingi PPBM; PKR (51 kerusi); DAP (35 kerusi) dan PAN 27 kerusi dalam PRU-14.

Sementara itu, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, keputusan yang diumumkan juga menggambarkan keadaan kacau bilau dan tidak cerdik pakatan tersebut.

“U-turn, ‘klu-klek’, tidak cerdik. Saya kata semua ayat itu boleh guna belaka sebab mereka ini berjuang sejak 1999 lagi nak jatuhkan Dr. Mahathir. Tiba-tiba dalam masa dua tahun mereka boleh terima dia sebagai Perdana Menteri sementara walaupun kononnya atas kertas sahaja.

“Mereka selama 20 tahun ini berlawan nak jatuhkan Dr. Mahathir kerana isu (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim), tiba-tiba angkat dia sebagai calon. Maknanya ‘hebatlah’ politik Dr. Mahathir,” katanya.

Pada masa sama, Mohd. Amar turut menempelak Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa Pas sedang ‘berkhalwat’ dengan UMNO.

“Itu adalah tuduhan yang kelakar. Orang yang ada kaitan de­ngan UMNO adalah Muhyiddin sendiri, dia bekas UMNO malah dia masuk PPBM bukan kerana keluar UMNO tapi dipecat.

Utusan

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.