Bila ‘Tangan Ghaib’ Kembali Mencatur Bidak…

Penulis terbaca kenyataan dari salah seorang pengasas parti ‘cap bunga’ yang sebelum ini berjawatan Setiausaha Kerja (SUK) parti tersebut. Dia mendedahkan suatu yang tidak asing berlaku di zaman ‘warga emas’ itu memerintah, iaitu ‘tangan ghaib’.

Dari pendedahannya itu, dia mengatakan bahawa pada asalnya ketika dia dipertanggungjawabkan untuk mendaftar parti ‘cap bunga’, si anak hanya berjawatan Bendahari saja. Maka dokumen itulah yang dibawa kepada RoS.

Peliknya, bila tiba di tangan pegawai RoS, dia dikejutkan bahawa rupa-rupanya dia membawa ‘dua senarai’. Satu tertulis jawatan si anak sebagai Bendahari dan satu lagi Naib Presiden. Macam mana boleh jadi begitu? Kerja ‘tangan ghaib’?

Dan kini, khabarnya dalam satu mesyuarat luar biasa yang difahamkan tidak diiktiraf RoS, si anak sekali lagi naik pangkat ke jawatan Timbalan Presiden. Biar betul? Hebat sungguh kerja ‘tangan ghaib’ hingga dua kali naik pangkat si anak manja?

Sebagai SUK, maka sudah tentulah bekas pengasas parti ‘cap bunga’ itu mahir dengan dokumentasi, peraturan dan prosedur yang perlu dipatuhi. Kerjanya memang menguruskan urusan rasmi parti, maka sudah tentulah dia tahu ceritanya, bukan?

Penulis kurang pasti siapakah gerangan yang dimaksudkan mantan SUK parti ‘cap bunga’ itu sebagai ‘tangan ghaib’. Namun seingat penulis, ungkapan itu begitu popular disebut di era pentadbiran seorang bekas Perdana Menteri yang paling lama memerintah negara ini.

Namun melihat kepada struktur organisasi kepimpinan parti ‘cap bunga’ yang terkini, penulis tidak hairan jika si anak dinaikkan pangkat sebanyak dua kali. Pada penulis, itu sudah cukup baik naik dua kali. Jika naik tiga kali, bagaimana?

‘Permainan’ politik ‘tangan ghaib’ yang cukup berpengalaman itu memang licik. Dia boleh buat ‘silap mata’ bila-bila masa saja yang dia suka. Namun begitu, ‘tangan ghaib’ itu perlu pastikan ‘ikan’ yang digoreng itu tidak ‘hangit’ hingga mencetus persoalan.

Dalam erti kata lain, sebenarnya ‘tangan ghaib’ itu boleh naikkan pangkat si anak ke jawatan Presiden jika dia mahu. Namun untuk mengelak agendanya dapat dihidu dan tidak terlalu menonjol, maka dia hadkan kepada jawatan nombor 2 tertinggi parti selepas Presiden.

Memandangkan dominasi kini menjadi 2 – 1, maka secara tidak langsung akan menjelaskan kedudukan Presiden yang ‘diapit’ ketat. Jika Presiden ‘buat hal’, cuba sesuatu yang tidak disukai ‘tangan ghaib’, maka siaplah. Bersedialah ‘dihimpit’ hingga ‘lemas terkulai’…

Seni politik ‘tangan ghaib’ memang terkenal licik. Segeliga pemimpin seperti Tengku Razaliegh, Tun Musa Hitam dan Dato’ Seri Anwar pun boleh ‘dikilas cantas’ dan ‘terpasung’, inikan pula seorang pemimpin yang boleh ‘diperkakaskan’. Tersilap langkah, ‘habis’ dia dikerjakan…

Politik ‘tangan ghaib’ lain macam. Dia boleh menangis depan kita minta pertolongan, tapi esok dia boleh ‘matikan’ kita sekelip mata tanpa mengingati budi pertolongan yang pernah kita hulurkan. Itu antara ‘sengat’ terhebat ‘tangan ghaib’.

Bayangkanlah jika seorang pemimpin seperti Dato’ Seri Najib Tun Razak yang menjadi punca kemenangan ‘tangan ghaib’ menewaskan Ku Li pun dia mahu ‘matikan’, inikan pula ‘macai-macai’ yang dia boleh caturkan sesuka hati mengikut kepentingannya.

Menghairankan, yang menjadi bidak catur pun suka diri mereka dicatur ‘tangan ghaib’? Kononnya ‘perjuangan’? Perjuangan jenis apa jika sanggup ketepikan kepentingan agama, bangsa dan negara, kemudian buat ‘u-turn’ menjilat ludah sendiri dan bersekongkol dengan DAP, Anwar dan Mat Sabu?

Sudah-sudahlah jadi ‘bidak catur’. Sampai bila mahu dicatur ‘tangan ghaib’? Bukan apa, penulis risau juga jika ‘bidak-bidak catur’ itu juga akan dicatur ‘tangan ghaib’ dari parti chauvinis ultra kiasu. Jika rela, teruskan sajalah.

Cuma harapnya tidak menyesal di kemudian hari….

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.