Beza UMNO Zaman ‘Negarawan’ Dengan Zaman Najib

Islam itu agama yang sempurna. Islam itu adalah sebuah agama yang lengkap diturunkan Allah SWT melalui Rasulullah SAW untuk disampaikan dan disebarkan ke seluruh sekelian alam lebih 1,400 tahun yang lampau. Semua orang tahu tentang itu.

Bila disebut “sempurna”, maka semua perkara tentang kehidupan ini ada di dalamnya. Bab hal ehwal agama, akhlak, perundangan, sains, sosial, hinggalah ke perkara yang dianggap remeh dalam kehidupan ini, termasuk politik atau siyasah.

Namun begitu, bila dulu seorang ‘negarawan ulung’ yang mungkin cenderung berfahaman liberal mengatakan ‘agama suku, politik suku’, yang membawa erti pemisahan antara agama dan politik, maka ramai golongan ulama yang tidak setuju.

Namun apalah daya agamawan tersebut untuk berdepan dengan cengkaman ‘kuku besi’. Hanya golongan ulama dalam PAS sahaja yang menegur ketika itu. Mungkin kerana ‘disulam’ dengan ‘kokokan’ politik, maka kaedah teguran kurang berhikmah itu tidak membawa sebarang kesan.

Akibatnya, maka kita dapat lihat bagaimana sistem politik ‘kuku besi’ itu begitu dominan mengatasi batas-batas agama. Pendek kata, kaedah yang diguna pakai ‘negarawan ulung’ itu lebih cenderung berkiblatkan Machiavelli yang menggariskan “matlamat menghalalkan cara’.

Maka mungkin kerana itu kini ramai yang keliru sama ada seorang bekas Timbalan Perdana Menteri itu meliwat dan berzina, atau ‘negarawan ulung’ itu seorang pendusta. Mungkin kerana itu juga pembangunan di negara ini dilihat kurang sekata dengan pembangunan budaya, akhlak dan sosio-ekonominya.

Mungkin juga kerana itu maka DEB gagal memastikan pegangan ekonomi Melayu lebih daripada 30 peratus. Bagaimana hendak jadi lebih 30 peratus jika kek ekonomi itu dimonopoli anak-anak, kaum kerabat, saudara mara dan kroni tertentu?

Mungkin kerana itu juga perundangan syariah di negara ini dilihat lemah dan tidak dipeduli di zaman dia memerintah. Ia hanya diberi perhatian dan cuba diperkasakan di zaman Dato’ Seri Najib Tun Razak yang membawa pendekatan yang lebih baik.

Membandingkan corak pendekatan pentadbiran di negara ini antara di zaman ‘negarawan maksum’ dengan zaman Najib, penulis yakin bahawa PAS lebih layak untuk menilainya ekoran parti itu cukup terkesan selama 22 tahun di bawah pentadbiran ‘drakonian’.

Bukanlah DAP atau PKR tidak layak menilai perbedaan antara dua zaman itu. Namun DAP dilihat tidak memperjuangkan pengimarahan Islam di negara ini berbanding PAS. Manakala PKR pula boleh dianggap masih ‘setahun jagung’ dari sudut senioriti politik di negara ini.

Kenapa Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Mahfodz Mohamed berpandangan bahawa pendekatan UMNO di zaman ‘negarawan ulung’ itu ‘lebih teruk’? Kenyataan itu jika dilihat secara mantik akan menunjukkan pendekatan di zaman Najib adalah lebih baik.

Hakikatnya, PAS nampak perbezaan pendekatan yang ketara antara dua zaman itu. Contohnya, jika dulu tiga kali PAS kemukakan draf hudud kepada ‘negarawan’, semuanya ditolak mentah-mentah.

Berbanding sekarang, Najib terima baik, malah sediakan platform untuk meneliti, mengkaji, menambahbaik dan cuba menyesuaikannya secara teknikal supaya dapat dilaksanakan di negara ini. Perbezaan itu memang jelas, bukan?

Najib juga menggunakan pendekatan berkonsepkan Islam dari sudut bermuamalah dengan umat Islam di negara ini, termasuk PAS. Islam menggariskan umatnya supaya berkasih sayang antara saudara segama dan berlaku adil kepada golongan bukan Islam. Maka itulah yang Najib sedang lakukan selama ini.

Misalnya, pendekatan Najib terhadap PAS berbanding pendekatan ‘negarawan ulung’ terhadap parti itu juga berbeza. Jika dulu PAS dihina semahu-mahunya dengan pelbagai analogi termasuk kontroversi ‘gillete’ dan ‘rejam dengan batu’, Najib tidak berbuat demikian.

Malah Najib kini dilihat mesra menjemput pimpinan PAS untuk berdiri sepentas dalam pelbagai isu terutama soal membabitkan kepentingan Islam dan bangsa Melayu. Siapa tidak kenal bekas Timbalan Presiden PAS, Ust Nasharuddin Mat Isa yang dulu ‘dicantas’ Mat Sabu, kini begitu akrab dengan Najib dan aktif mengimarahkan Islam di negara ini.

Siapa sangka, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang yang dulu begitu keras dan tegas tentangannya terhadap UMNO, namun kini boleh berdiri sepentas, bersuara senada dengan Presiden UMNO. Najib mungkin bukan ‘negarawan ulung’, namun pendekatannya terbukti lebih baik.

Pada pandangan penulis, mungkin itulah yang dicemburui dan gagal difahami oleh ‘negarawan ulung’. Dan mungkin kerana itulah juga DAP dan ‘macai-macai’nya begitu bersungguh-sungguh menggunakan strategi ‘reverse psychology’ untuk memisahkan kasih sayang antara UMNO dan PAS itu.

Sepatutnya mereka tidak perlu gusar. UMNO dan PAS dari sudut politik sememangnya akan kekal ‘bermusuh’. Namun dari sudut agama, bangsa dan negara, UMNO dan PAS sememangnya bersaudara. Kami bersatu atas perintah Allah SWT dan Rasulnya, bukan kerana ‘negarawan’…

Konsepnya hampir sama juga dengan apa yang berlaku di kalangan masyarakat Cina. DAP mungkin merupakan ‘musuh politik’ bagi MCA dan Gerakan. Namun dari sudut ekonomi, mungkin DAP, MCA dan Gerakan ‘bersatu’ di dalam dewan perniagaan Cina, bukan?

Jadi, usah terkejut dengan apa yang berlaku di antara UMNO dan PAS. UMNO tetap UMNO, dan PAS tetap PAS. Kami tetap meletakkan Islam di atas, manakala politik itu sebahagian dari Islam. Kami mungkin ‘musuh politik’, tapi kami tetap saudara seagama. Titik!

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.