Bangga jadi rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR 31 Dis. – Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, kebanggaan menjadi rakyat Malaysia tertanam dalam konsep Negaraku.

Beliau berkata, patriotisme ialah merasa bangga akan negara anda dan bersatu di bawah 1Malaysia yang menghubungkan jurang kaum dan agama.

SALLEH SAID KERUAK

Katanya, ketibaan 2018 bermakna sudah lebih 60 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan selepas negara baharu itu lahir pada 31 Ogos 1957 yang penubuhannya diasaskan atas semangat kesederhanaan, persefahaman dan toleransi.

“Formula yang digubal di antara British dan Parti Perikatan terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC mengambil kira kepelbagaian kaum dan agama yang membentuk negara ini yang memerlukan banyak usaha untuk menjadikannya berdaya maju.

“Kepelbagaian ini dipertingkat dengan penubuhan Malaysia pada 16 Sept 1963 apabila kekayaan multietnik di negara ini bertambah menerusi penyertaan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan,” katanya menerusi blog sskeruak.blogspot.my hari ini

Salleh juga menyeru rakyat Malaysia agar memberitahu pihak yang mahu menjejaskan masa depan negara ini bahawa mereka mahukan keamanan, bukan kekacauan pada 2018

Beliau berkata, sejak kebelakangan ini, keamanan di negara ini diancam oleh mereka yang memainkan isu bangsa dan agama.

“Pada 2018, kita akan menyaksikan Pi­lihan Raya Umum Ke-14 diadakan dan kita perlu ingat kerajaan yang stabil merupakan syarat wajib dalam memilih kerajaan. Ada antara mereka yang tidak peduli jika mereka korbankan negara ini demi kuasa dan orang sedemikian harus ditolak,” katanya.

Walaupun keamanan dan ketenangan negara digugat dari semasa ke semasa, paling buruk pada 1969, beliau berkata Malaysia muncul sebagai destinasi pilihan pelabur asing disebabkan kestabilan politiknya.

“Daripada tragedi Mei 1969, muncul Barisan Nasional menggantikan Parti Perikatan dan negara bukan sahaja kembali kepada keadaan asal tetapi turut menikmati kemajuan ekonomi pada tahun-tahun selepas itu,” katanya. – BERNAMA

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.