Anak Karpal Singh pertikai pemilihan Mahathir sebagai calon PM.

Seperti tiada calon lain

Langkah Pakatan Harapan yang diketuai DAP menamakan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri sementara terus dipertikaikan penyokong gabungan pakatan pembangkang itu.

Hari ini, anak perempuan kepada mendiang pemimpin kanan DAP, Karpal Singh, Sangeet Kaur Deo mempersoalkan kewajaran Pakatan Harapan mengumumkan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri jika gabungan pakatan pembangkang menang dalam Pi­lihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sangeet Kaur berkata, langkah menjadikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri seolah-olah menunjukkan bahawa pakatan pembangkang ketandusan calon lain untuk menjawat jawatan tersebut selain kekurangan strategi gabungan itu pada masa depan.

Menurutnya, tumpuan seharusnya diberikan pada soal dasar dan prinsip malah pemimpin juga perlu diasuh untuk memastikan kesinambungan ke­pimpinan.

“Dia (Dr. Mahathir) akan menjadi Perdana Menteri sekali lagi dan memperkenalkan semula kelahiran Mahathirisme.

“Walaupun ia mungkin satu tindakan terdesak seperti gabu­ngan kita dengan Pas satu ketika dahulu, adakah kita terbuka untuk bekerja dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak satu hari nanti sekiranya keadaan terdesak,” katanya dalam kenya­taan seperti yang dilaporkan portal Free Malaysia Today hari ini.

Konvensyen Pakatan Harapan yang diketuai DAP semalam meng­umumkan Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri sementara manakala Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail pula calon Timbalan Perdana Menteri sekiranya pembangkang menang dalam pilihan raya kelak.

Sangeet Kaur berkata, hujah ba­hawa kerjasama dengan Dr. Mahathir hanya untuk memastikan perubahan berlaku di negara ini tidak lagi boleh diguna pakai.

Selain itu, katanya, permohonan maaf Dr. Mahathir mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan kesalahan lain yang dilakukan semasa menjadi Perdana Menteri juga tidak dilakukan de­ngan sepenuh hati.

“Ini bukan mengenai pengampunan, ia adalah soal akauntabi­liti kerana orang yang mempu­nyai kedudukan serta kuasa harus bertanggungjawab terhadap ke­dudukan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Sangeet Kaur turut mempersoalkan sikap pe­mimpin pakatan pembangkang yang seolah-olah berdiam diri seperti menerima permohonan maaf Dr. Mahathir itu.

Utusan

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.