‘Peduli Rakyat’: Kenapa Azmin tak kisah masalah rakyat?

Sebaran :

HARI ini Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tampil buat kali pertama bertemu rakyat Selangor selepas empat hari Menteri Besar itu ke Jepun dan sebelumnya ke Madrid, Sepanyol selama 10 hari.

Sepanjang tempoh itu, banyak isu panas melanda Selangor, baik permasalahan melibatkan peneroka Ladang Hopeful yang kini hilang mata pencarian, mahupun dakwaan skandal peribadi Azmin sendiri.

Tidak kurang juga kegagalan capai kata sepakat dalam pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang dikatakan berpunca daripada Azmin hingga rasa kecewa itu dizahirkan secara terbuka rakan pakatannya.

Sebenarnya tidak salah bagi Azmin ke luar negara meskipun untuk tempoh yang agak lama tetapi di mana keutamaan Menteri Besar itu ketika rakyat Selangor teraniaya, apatah lagi slogan yang dilaungkan ialah ‘Peduli Rakyat’.

Ironinya ketika rakyat khususnya 21 peneroka Ladang Hopeful yang kini menganggur mengharapkan ‘jasa’ Azmin bagi menyelesaikan masalah mereka, tiada sepatah perkataan pun keluar dari mulut Menteri Besar berhubung isu itu hari ini.

Malah, beliau yang juga Timbalan Presiden PKR dilihat tergesa-gesa ketika ditemui pemberita dan langsung tidak mengambil peluang untuk menjelaskan mengenai skandal peribadinya, walaupun dakwaan itu dilihat mencemarkan imejnya.

Soalnya, apakah isu penjualan tanah di Ladang Hopeful yang menyebabkan penerokanya kini merana bakal menjadi seperti kes di Kampung Sungai Yu kerana Azmin seperti biasa, apabila ia tidak menguntungkan politiknya, hanya akan memandang sepi.

Ini kerana, biar pun disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta ditegur Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT), tiada sebarang tindakan daripada kerajaan negeri.

Nampaknya, laungan slogan ‘Peduli Rakyat’ yang sering diuar-uarkan hanya tinggal slogan. – UTUSAN ONLINE


Sebaran :

Leave a Reply