Siasatan terowong dasar laut akan buktikan siapa sebenar main ‘sarkas’

Share

Penjelasan berbeza oleh wakil Keraja­an DAP Pulau Pinang dan Ke­tua Menteri, Lim Guan Eng berhubung kontroversi projek terowong da­sar laut menunjukkan mereka ki­ni berada dalam keadaan ter­desak.

Ketua Pemuda UMNO ne­geri, Rafizal Abd. Rahim berkata, Guan Eng seharusnya menjawab persoalan yang dibangkitkan Barisan Nasional (BN), bukan mempersendakan perkara itu.

Secara sinis Rafizal berkata, beliau memahami Guan Eng kini berada dalam keadaan tertekan termasuk isu pemilikan banglo­nya yang akan dibicarakan di mahkamah pada Mac ini.


“Ketua Menteri terperangkap dengan wayang ciptaan beliau sendiri, jadi jawapan paling mudah adalah mempersendakan pihak lain sedangkan keutamaan seharusnya menjawab isu dibangkitkan,” katanya kepada pemberi­ta di sini hari ini.

Rafizal mengulas kenyataan Guan Eng semalam yang mendakwa kononnya BN menjadikan isu terowong sebagai `sarkas politik’ sekali gus tidak mahu melayan perkara yang dibangkitkan itu.

Mengulas lanjut Rafizal berkata, beliau dan rakyat negeri ini berharap siasatan yang sedang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memberi jawapan tepat berhubung isu itu.


“Siasatan (penyelewengan projek terowong dasar laut) sedang berjalan lancar, jadi kita akan lihat nanti siapa badut sebenarnya dan siapa pula yang bermain sarkas,” katanya.

Sementara itu Ketua Pemuda BN negeri, Hng Chee Wey berkata, kenyataan berbeza yang diberikan Kerajaan DAP Pulau Pinang tentang projek berkenaan semakin mengelirukan rakyat negeri ini.

Lebih menghairankan kata beliau, kenyataan itu dibuat menerusi platform yang sepatutnya diyakini seperti laman web Ke­tua Menteri, kerajaan negeri dan jawapan yang diberikan oleh wakil kerajaan ne­geri dalam sidang Dewan Unda­ngan Negeri (DUN).


Utusan

Leave a Reply