Imej Anjing CNY: Umat Islam Tak Jumud Seperti Yang Disangka…

Share

Penulis tersengih-sengih membaca laporan sebuah portal pembangkang yang mungkin cuba mencetus persepsi seolah-olah umat Islam di negara ini berfikiran jumud dan tidak terbuka tentang soal hukum hakam agama berhubung menyentuh anjing.

Portal itu melaporkan tentang kenyataan Timbalan Menteri yang berkata bahawa pemilik pusat membeli belah di negara ini berhak untuk menentukan bentuk hiasan di premis masing-masing sempena Tahun Baru Cina nanti.

Melucukan, portal itu sengaja meletakkan ‘background story’ dengan mengaitkan laporan itu dengan isu-isu terdahulu berkenaan anjing seperti penganjur program “I want to touch a dog” yang digesa meminta maaf dan bertaubat. Ke situ pula yang dikaitkan?

Selain itu, diimbas semula isu Fazura yang dikecam kerana memuat naik gambarnya menyentuh anjing dan isu Auntie Anne’s yang diminta untuk menukar nama produknya daripada ‘Pretzel Dog’ kepada ‘Pretzel Sosej’.

Tapi, mujurlah Timbalan Menteri itu tidak ‘termakan umpan’. Jika tidak, maka mungkin portal itu akan melompat-lompat kegirangan gara-gara ‘jerat mengena’.

Pada pandangan penulis, masyarakat bukan Islam di negara ini majoritinya tahu bahawa anjing adalah najis dan menurut mazhab Shafie, menyentuhnya tanpa sebab munasabah adalah haram hukumnya. Itu adalah jelas pegangan kami.

Islam tidak mengatakan anjing itu hina, tapi kami diharamkan untuk menyentuhnya. Jika menyentuh atas sebab tertentu yang munasabah atau tersentuh anjing, maka kami perlu sucikan diri dengan kaedah sertu.

Namun begitu, hukum itu hanya jatuh kepada anjing secara unsur fizikalnya sahaja. Faham erti fizikal? Bulunya jika dibuat berus lukisan pun kami diharamkan sentuh. Sebarang bentuk fizikal yang membabitkan unsur asal fizikal anjing, termasuk yang diproses secara kimia. Faham?

Manakala untuk imej anjing di dalam gambar atau visual, maka bolehlah kami ‘sentuh’ anjing itu. Tidak perlu sertu pun. Maksudnya, jika penulis sentuh imej anjing di atas kaca televisyen, skrin laptop, majalah, surat khabar baru atau lama, ia tidak haram. Faham?

Jadi, tidak perlulah pengarang atau wartawan portal itu terlalu ‘jumud’ sangat dalam hal ini. Tak perlulah kaitkan dengan program “I want to touch a dog”, Fazura atau mana-mana umat Islam yang menyentuh anjing secara fizikal kerana ia adalah jelas haram bagi kami.

Berbeza sangat antara imej anjing dengan fizikal anjing, bukan?

Oleh itu, tidak timbul pun persoalan sama ada pemilik pusat membeli -belah mahu hias menggunakan imej anjing di premis mereka sempena Tahun Baru Cina nanti. Gantung dan tempeklah sebanyak mana atau sebesar mana pun gambar anjing. Kami tidak jumud macam portal pembangkang itu…

Tahun Baru Cina juga perayaan masyarakat Malaysia yang majmuk, bukan? Kami faham dan hormati unsur budaya kaum Cina, sama seperti kami hormati hak, adat resam dan budaya etnik lain di negara ini. Tak perlulah portal itu ‘melebih-lebih poyo’ pula…

(Visited 10 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!