Cerita ‘Jurutera Lulusan Luar Negara’ Berniaga Nasi Lemak, Pandu Uber?

Share

Baru-baru ini nama penjual nasi lemak dan pemandu uber agak hangat diperkatakan. Puncanya adalah bila seorang warga emas mendakwa kononnya ada jurutera graduan luar negara terpaksa menyara hidup dengan menjual nasi lemak dan memandu uber.

Mungkin benar ada di kalangan graduan di negara ini yang mempunyai kerja, namun berniaga nasi lemak atau memandu uber secara sambilan. Namun untuk mengatakan jurutera graduan luar negara berniaga nasi lemak atau memandu uber, penulis rasa kenyataan itu tidak lebih dari ‘exaggerative statement’ sahaja…

Di zaman ini, negara kita memang memiliki ramai graduan sama ada lulusan diploma atau ijazah, sama ada kolej atau universiti, awam atau swasta. Di zaman warga emas dulu mungkin 30 orang saja di Kedah, tapi tahukah dia ada berapa ratus ribu graduan di negeri itu pada zaman ini?

Jadi, peluang pekerjaan yang bergaji tinggi mungkin agak terhad, manakala jawatan sedia ada untuk graduan pun hanya sederhana sahaja. Bagi memenuhi keperluan, itu tiada masalah. Namun untuk memenuhi kehendak orang zaman sekarang, maka perlulah usaha dapatkan pendapatan lebih sedikit, bukan? Itu normal.

Oleh itu, tidak hairanlah jika ada yang jual nasi lemak atau memandu uber secara sambilan. Lebihan pendapatan itu mungkin boleh digunakan untuk melancong bercuti bersama keluarga, lebih selesa membeli-belah atau mungkin beli gajet yang lebih berkualiti.

Salahkah jika graduan-graduan itu memilih untuk berniaga nasi lemak? Jika nasi lemaknya laris dan pendapatannya lebih RM3,000 sebulan, kenapa tidak? Itu lebih banyak dari gaji permulaan graduan yang dalam lingkungan RM1,800 ke RM2,000 sebulan, bukan? Lagipun, bukannya jual nasi lemak sehari suntuk pun…

Hina sangatkah jual nasi lemak atau memandu uber? Warga emas itu tidak tahukah di zamannya dulu, sambil belajar di sekolah dan universiti pun ramai pelajar yang terpaksa jual nasi lemak untuk menyara pendidikan? Jika perbuatan itu dia anggap ‘hina’, dia tidak malukah dengan keadaan di zamannya itu?

Berhubung ‘jurutera’ yang mana telah menghabiskan belanja yang banyak ketika dia menuntut di luar negara, penulis sangat musykil dengan ‘fakta’ itu. Itu ‘fakta’ atau ‘auta’? Pelik sangat bunyinya. Lainlah jika jurutera itu belajar tidak habis, gagal atau ada rekod jenayah, maka susahlah sedikit untuk dapat kerja.

Yang perlukan belanja besar ketika belajar kejuruteraan biasanya hanyalah melibatkan penuntut di universiti luar negara. Belajar kejuruteraan di universiti awam dalam negara ini belanjanya tidak banyak beza dengan kursus lain. Tidak mahal sangat pun sebab kerajaan beri subsidi lumayan!

Lainlah jika graduan kejuruteraan luar negara itu memang berbakat istimewa mampu membuat nasi lemak yang sangat sedap, sangat minat berniaga ‘food and baverage’, ada modal dan kreatif, maka dia memilih untuk membuka kedai nasi lemak yang eksklusif sama ada di dalam atau di luar negara. Itupun jika ibu bapanya kaya raya dan tidak ditaja. Jika dia ditaja, maka dia perlu selesaikan perjanjian dengan penaja dulu, bukan?

Namun untuk mengatakan seorang jurutera lulusan Universiti Standford di Amerika Syarikat dan balik ke Malaysia tidak dapat kerja serta kemudian terpaksa berniaga nasi lemak di tepi jalan atau memandu uber untuk menyara hidup, itu agak tidak logik.

Selalunya mereka yang belajar di luar negara, mereka diberi biasiswa atau ditaja pihak tertentu dengan perjanjian tertentu. Kebiasaannya selepas graduasi, mereka ‘diikat’ untuk bekerja dengan kerajaan atau penaja dengan gaji yang agak lumayan.

Perlukah mereka bawa uber atau berniaga nasi lemak lagi jika bergaji RM8,000 hingga RM10,000 sebulan? Lainlah jika cara hidup mereka serba mewah, berkereta Bentley, rumahnya bagai mahligai dan tiap-tiap bulan ‘shopping’ di London. Cara hidup begitu beri gaji RM50,000 sebulan pun tidak cukup!

Pada pandangan penulis, warga emas itu perlu ubah bentuk pemikirannya mengikut zaman. Kita kini mungkin berada di fasa peralihan di mana mendapatkan pendidikan tinggi bukan lagi bermotif untuk mendapat pekerjaan yang terbaik dan bergaji tinggi.

Kita di zaman ini, mungkin sedang ke arah mendapatkan pendidikan tinggi untuk mendapatkan ilmu pengetahuan, manakala mendapat pekerjaan bergaji tinggi hanyalah ‘bonus’ bagi mereka yang berilmu dan tahu menggunakan ilmu yang dipelajarinya.

Kita biasa melihat bagaimana graduan lulusan universiti yang hadir temuduga, namun ditolak kerana gagal menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Tidak dinafikan, memang ramai graduan yang begitu. Maka di zaman ini, kualiti modal insan yang berilmu menjadi keutamaan majikan, bukan hanya sekeping ijazah semata-mata.

Nyatalah zaman sudah berubah, namun minda warga emas itu fikir kita masih lagi ditakuk zaman dia berkuasa dulu. Atau, mungkin juga mindanya semakin mundur ke belakang. Maklumlah, usia yang terlalu lanjut memungkinkan corak fikirannya kembali ke zaman kanak-kanak, bukan?

Jadi penulis menyarankan supaya dia batalkan saja hasrat untuk kembali berkuasa. Dia perlu sedar diri bahawa mungkin pemikirannya di usia emas ini sudah ‘expired’ dan tidak relevan lagi. Kami kenang ‘jasa’nya dulu walau dalam derita. Tapi untuk dia kembali jadi Perdana Menteri semula, ‘terima kasih’ sajalah…

2 thoughts on “Cerita ‘Jurutera Lulusan Luar Negara’ Berniaga Nasi Lemak, Pandu Uber?

  • January 25, 2018 at 17:41
    Permalink

    Ramai betul graduan meniaga tepi jalan sekarang

    Disaran gantung ijazah sebagi daya tarikan pembeli untuk beli juadah

    Reply

Leave a Reply