Mohd. Shafie anggap Rela hanya untuk jaga kenduri

Share

Hanya layak menjaga kelancaran trafik ketika majlis keraian.

Demikian pandangan yang ditegaskan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang sebelum ini didesak meminta maaf atas kenyataannya mempersoal kredibiliti anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang ditugaskan membantu pasukan keselamatan di sempadan negara.

Mohd. Shafie berkata, pasukan beruniform itu tidak mempunyai kredibiliti untuk membantu pihak berkuasa menjaga kedaulatan negara daripada diceroboh kerana tiada kepakaran.


Sehubungan itu katanya, tiada permohonan maaf akan dibuat terhadap pasukan itu meskipun mereka berkhidmat untuk negara dan sanggup mempertaruhkan nyawa mempertahankan tanahair daripada diceroboh.

“Saya nampak, peranan mereka hanya menjaga trafik dan mengambil bahagian dalam majlis keraian seperti kenduri rakyat.

“Pasukan ini juga tidak mempunyai kepakaran, latihan dan kelengkapan khususnya senjata api untuk ditempatkan sebagai anggota yang mempertahankan keselamatan negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.


Tahun lalu, Mesyuarat Lembaga Penasihat Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) bersetuju menugaskan anggota Rela sebagai pasukan sokongan kepada pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah ( Esscom) di Esszone yang terdedah kepada ancaman jenayah rentas sempadan.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan setiap anggota yang ditugaskan akan terlebih dahulu menerima latihan bersesuaian untuk memastikan mereka mampu memikul amanah yang diberikan.

Bagaimanapun, ketika menyampaikan ceramah politik di Tuaran minggu lalu, Mohd. Shafie mempersoal keputusan berkenaan dengan menganggap anggota Rela tidak mampu melaksanakan tanggungjawab berkenaan. – UTUSAN ONLINE


Leave a Reply