Teguran bukan tentang pilihan raya – Mahdzir Khalid

Teguran dan nasihat yang diberikan oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid semasa ucapan Perutusan Tahun Baharu 2018 yang lalu tidak menyentuh secara khusus mahupun umum tentang siapa yang hendak dipilih dalam pilihan raya.


Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, teguran tersebut diberikan secara umum kepada penjawat awam yang berkhidmat di KPM, Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Pendidikan Daerah termasuk pengetua, guru besar dan guru-guru supaya tidak melibatkan diri dalam politik secara berlebihan.


“Menteri Pendidikan dalam ucapan tersebut menasihatkan semua pihak yang terlibat agar mengelakkan diri daripada berpolitik sehingga ke tahap yang boleh menjejaskan kredibiliti dan integriti sebagai penjawat awam serta melibatkan tahap kebencian dan fitnah terhadap kepimpinan negara serta kerajaan.


“Malahan, nasihat dan teguran tersebut bertepatan dengan arahan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam surat siaran bertarikh 6 April 2009, iaitu Larangan Penglibatan Dalam Politik Ke Atas Pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi Dan Pegawai Kumpulan Pengurusan Dan Profesional,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Nasihat dan teguran tersebut telah disalah erti dan dipermainkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga tular dan mewujudkan keresahan dalam kalangan warga pendidikan, sehingga ada yang menganggap Mahdzir mengugut untuk menamatkan perkhidmatan warga pendidikan yang menyokong pihak pembangkang dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14). – UTUSAN ONLINE

2 thoughts on “Teguran bukan tentang pilihan raya – Mahdzir Khalid

  • January 22, 2018 at 10:21
    Permalink

    Biasalah..kalau dah benci..benda yang betul pun memang payah untuk ditelan.

    Reply

Leave a Reply