KENYATAAN RASMI: Dialog Barisan Nasional Bersama Communist Party of China 

KENYATAAN RASMI

DIALOG BARISAN NASIONAL BERSAMA COMMUNIST PARTY OF CHINA

1) Beberapa hari lalu, telah tersebar beberapa keping gambar di internet dan media mengenai perjumpaan tertutup tidak rasmi antara Barisan Nasional (BN) dan Communist Party of China (CPC) yang diadakan di Hotel Istana pada 7 Disember yang lalu.

2) Barisan Nasional telah diwakili oleh Setiausaha Kerja BN, Datuk Seri Abu Khamis bersama pemimpin parti komponen BN yang lain manakala delegasi CPC pula diketuai oleh Ketua Biro Terjemahan CPC iaitu Profesor Dr. Jia Gaojian.

3) CPC merupakan salah sebuah parti politik dari negara luar yang telah dijemput bagi menghadiri majlis perasmian dan Ucapan Dasar Presiden UMNO bersempena PAU2017. Secara keseluruhannya, sebanyak 20 buah parti dari 16 buah negara telah dijemput bagi menghadiri PAU2017.

4) Sesi perjumpaan ini diadakan bertujuan bagi bertukar pandangan antara dua parti pemerintah bagi negara masing-masing. Beberapa perkara telah disentuh antaranya tentang Blueprint 30 tahun CPC, program Transformasi Nasional 2050 (TN50) bagi mencapai kedudukan 20 negara terbaik dunia, pelaksanaan inisiatif One Belt One Road (OBOR) serta keunikan BN sebagai parti politik multi-racial yang telah berjaya membentuk Malaysia semenjak kemerdekaan. Soal ideologi tidak langsung disentuh malah kedua-dua belah pihak menghormati asas pembentukan parti masing-masing.

5) Sebagai rekod, hubungan baik antara BN dan CPC telah terbentuk semenjak tahun 1974 iaitu ketika zaman pentadbiran Tun Abdul Razak. Manakala pada 23 September 1994 ketika era pentadbiran Tun Dr. Mahathir, Setiausaha Agung BN ketika itu, Tan Sri Mohamad Rahmat telah mengadakan lawatan bertemu Setiausaha Agung CPC ketika itu, Jiang Zemin. Malah CPC juga merupakan parti politik yang setiap tahun dijemput untuk hadir ke PAU sebelum era pentadbiran Dato’ Sri Mohd Najib lagi.

6) Jemputan kepada parti politik negara luar ke PAU bukanlah perkara baru sebaliknya telah dibuat saban tahun. Jemputan kepada parti politik luar ketika PAU2017 adalah atas kapasiti mereka sebagai parti pemerintah bagi negara masing-masing kecuali bagi negara Indonesia (5 buah parti), Palestine (2 buah parti), Thailand, Filipina dan Parlimen Eropah.

7) Dialog antara BN atau mana-mana parti komponen BN dengan parti politik dari negara luar bukanlah perkara asing sepanjang PAU berlangsung. Selain daripada dialog antara BN dan CPC, dialog serta pertemuan secara tertutup dengan parti-parti lain juga telah beberapa kali dijalankan ketika PAU2017 ataupun ketika PAU pada tahun-tahun sebelum ini.

BARISAN NASIONAL, DAHULUKAN RAKYAT

TENGKU ADNAN BIN TENGKU MANSOR

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.