BAYARAN PENGHIBUR LUAR TERTAKLUK KEPADA CUKAI PEGANGAN

BAYARAN PENGHIBUR LUAR TERTAKLUK KEPADA CUKAI PEGANGAN

Seringkali di penghujung tahun banyak syarikat akan akan mengadakan majlis keraian kepada pekerjanya. Sudah tentunya diselitkan dengan penghibur.

Bagi majlis yang besar, penghibur dijemput dari luar negara. Oleh itu takrifan penghibur awam luar negara (bukan pemastautin) ini adalah dianggap seorang penghibur jika aktivitinya berada dalam takrifan penghibur awam.

Penghibur bukan tertakluk kepada penyanyi semata-mata. Beliau juga termasuk penghibur jika menjalankan aktiviti yang berikut persembahan solo atau berkumpulan oleh pelakon, peragawati, penghibur sarkas, pengacara, penari, penghibur, pemuzik, penyanyi, artis lain, atau menjalankan apa-apa profesion, kerjaya atau pekerjaan yang mempunyai sifat yang serupa untuk budaya, pendidikan, hiburan, agama atau apa-apa tujuan lain.

Sebagai contoh, seorang pemain alatan muzik selo termasyhur dari Rusia tiba di Malaysia untuk mengadakan persembahan di dewan Petronas Philharmonic selama 2 daripada 20 pada Januari 2017 dan beliau dibayar fi sebanyak RM1 juta oleh penganjur di Malaysia.

Manakala seorang pengacara terkenal dari Amerika Syarikat (AS) juga ditugaskan bagi acara 2 malam tersebut dan dibayar RM300,000.

Pemain selo Rusia itu dianggap sebagai seorang penghibur awam kerana beliau menggunakan kemahiran muziknya untuk membuat persembahan awam secara langsung.

Pengacara tersebut juga adalah seorang penghibur awam. Fi yang dibayar kepada kedua-dua pemain selo dan pengacara adalah tertakluk kepada cukai pegangan seperti mana yang diperuntukkan dalam seksyen 109A Akta Cukai Pendapatan.

Oleh itu pendapatan seorang penghibur awam bukan pemastautin (selain daripada sebuah syarikat) yang terdiri daripada saraan atau pendapatan lain berkenaan dengan perkhidmatan yang diberikan di Malaysia dikenakan cukai pada kadar 15% daripada amaun kasar.

Justeru, mekanisme cukai pegangan meletakkan tanggungjawab ke atas pembayar untuk mengutip cukai pada punca bagi pihak Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (KPHDN) daripada pendapatan yang diperoleh oleh seorang penghibur awam bukan pemastautin.

Cukai pegangan (sama ada cukai dipotong atau tidak) mesti dibayar kepada KPHDN dalam tempoh sebulan selepas membayar atau mengkreditkan bayaran kepada penghibur awam bukan pemastautin itu.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.