2018: Tahun ‘Kuburkan’ Parti Serpihan!



Sebaran :

Sebentar lagi, secara rasmi Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Mahfuz Omar bukan lagi menjadi ahli PAS. Dengan itu, maka PAS akan kehilangan satu kerusi Parlimen yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang lalu.

Tidak pasti mengapa Mahfuz memilih detik terakhir 2017 untuk keluar dari PAS. Mungkin padanya, ia akan menjadi ‘klimaks’ kepada pengkhianatannya terhadap parti yang disertainya selama 34 tahun itu. Mungkin dia fikir, PAS akan rasa ‘terpukul’?

Penulis tersengih apabila respon dari pemimpin PAS terutama di Kedah begitu ‘anti-klimaks’. Mereka langsung tidak kisah. Mereka langsung tidak peduli. Malah bagai tiada apa-apa yang signifikan yang berlaku meskipun Mahfuz mengadakan sidang media untuk mengumumkan dirinya keluar parti.



Pada pandangan penulis, tindakan Mahfuz itu bukan saja sudah dijangka awal, malah ramai di kalangan pemimpin, ahli dan penyokong PAS mengalu-alukan dia keluar parti. Malah mungkin ada yang akan mengadakan kenduri kesyukuran di Pokok Sena.

Ia juga secara tidak langsung menunjukkan betapa tidak berharganya Mahfuz di mata PAS apabila dia bertindak khianat kepada perjuangan partinya sendiri. Akibat tiada ruh dan semangat perjuangan PAS yang tulen, maka dia ‘hanyut’ mengejar kuasa politik.

Sebenarnya, begitulah juga pandangan pemimpin, ahli dan semua pejuang UMNO di negara ini terhadap bekas pemimpin atau ahli UMNO yang bertindak kurang ajar mengkhianati perjuangan keramat bangsa selama ini.



Jika dulu kita mengecam Semangat 46 dan PKR, kini samalah juga kita menyelar mereka yang menyertai parti ‘cap bunga’. Apatah lagi ia melibatkan pemimpin yang kita sanjung dulu, maka pasti rasa lebih ‘tertikam’ dengan tindakan khianat mereka itu, bukan?

Kita tidak pernah lupa pada jasa dan pengorbanan mereka, namun yang kita tentang adalah pendirian mereka yang kini mengkhianati serta menghina ruh perjuangan anak bangsa selama berdekad-dekad diperjuangkan. Pengkhianatan itu yang kita kesalkan.

Kerana pengkhianatan insan tersayang itu juga membuatkan luka kita terlalu parah sehingga menyemai tekad dan azam untuk menguburkan ‘cap bunga’ lebih awal pada PRU ke-14 ini dengan menghadiahkan kepada mereka kekalahan yang akan memalukan mereka seumur hidup!



Penulis masih ingat bagaimana hebatnya pengaruh Anwar dulu ketika dia dipecat ‘mentor’nya. Namun ‘Keadilan’ hanya mampu bertahan di Parlimen Permatang Pauh. Cuba kaji berapa banyak kerusi yang mereka ‘hilang deposit’ ketika PRU 1999.

Jadi, menjelang 2018 ini yang dikatakan tahun berlangsung PRU ke-14, maka penulis menyeru kepada seluruh kepimpinan UMNO dan PAS, semua ahli serta penyokongnya supaya bertekad untuk menguburkan parti serpihan masing-masing.

Sesungguhnya tiada tempat bagi pengkhianat perjuangan seperti mereka yang tergamak memecah-belahkan perpaduan Melayu Islam dan sanggup bersekongkol dengan parti yang terkenal dengan chauvinis ultra kiasu yang sudah lama mengidamkan kuasa.



Inilah masanya kita semua bangkit dengan lebih berani untuk menentang kebejatan yang cuba merosakkan anak bangsa dan kepentingan agama Islam di negara ini. Ayuh semua kita pastikan 2018 menjadi tahun sejarah kuburkan ‘cap bunga’ dan PAN…!


Sebaran :


2 thoughts on “2018: Tahun ‘Kuburkan’ Parti Serpihan!

  • Biar kita berdepan dgn Dapig shj…

    Reply

Leave a Reply