MAIN TAKTIK KOTOR

Sebaran :

Oleh: Zulkiflee Bakar

BAGAIKAN berenang di lautan fitnah sambil dihujani peluru tohmahan. Itulah yang boleh penulis simpulkan selepas mendengar cerita Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir sepanjang beliau memimpin Perak sejak 2009 sebagai Menteri Besar.

Walaupun pada mulanya parti-parti pembangkang khususnya DAP merasakan mereka akan mampu menumbangkan Barisan Nasional (BN) di negeri itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) namun impian mereka tidak kesampaian.



Melalui usaha dan kegigihan Zambry, beliau berjaya memastikan panji-panji BN dan UMNO terus tegak berkibar di negeri yang cukup terkenal dengan kisah Pahlawan Melayu, Dato’ Maharajalela itu.


PAKATAN Harapan belum mencapai kata putus pembahagian kerusi kerana segala-galanya ditentukan DAP tetapi berterusan cuba menggunakan taktik kotor untuk menjatuhkan kerajaan. GAMBAR HIASAN/UTUSAN

Ternyata sekali taktik kotor termasuk menghina Zambry oleh pemimpin-pemimpin pembangkang khususnya DAP tidak memberi kesan. Begitu juga de­ngan usaha mereka untuk terus memperalatkan pemimpin Me­layu bagi mencapai matlamat me­nguasai Perak. Semuanya gagal.


Zambry berjaya meranapkan keangkuhan DAP dan melenyapkan kebiadaban mereka dengan memastikan pentadbiran kerajaan negeri terus cemerlang. Pelbagai program dan gerak kerja dilakukan oleh beliau demi untuk memastikan kesejahteraan rakyat Perak secara keseluruhannya.

Berikutan itu dari semasa ke semasa, pendekatan politik yang diamalkan DAP semakin ditolak oleh rakyat, tetapi mereka tidak pernah berputus asa apatah lagi dalam berhadapan PRU-14.

Disebabkan sudah ketandusan modal untuk mempengaruhi rakyat menyebelahi mereka, maka taktik kotor pun terpaksa digunakan. Selain membuat pelbagai fitnah dan tohmahan kepada kerajaan negeri, peribadi Zambry juga ‘diserang’. Matlamat mereka adalah untuk mewujudkan persepsi rakyat terhadap BN Perak.

Taktik kotor itu bukan sahaja berlaku di Perak malah sudah menjadi modus operandi dan operasi standard parti-parti Pakatan Harapan yang turut disertai oleh PKR,PAN dan PPBM.

Sebab itulah mereka cuba membangkitkan pelbagai isu terma­suklah terbaharu, pembinaan kem tentera di Sembrong yang mana salah seorang pemimpin DAP­ ­menuduh ia bertujuan memberi kelebihan politik kepada Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Sedangkan seperti mana yang dinyatakan Hishammuddin dan ditegaskan oleh Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sembrong Onn Hafiz Ghazi, kem berkenaan di peringkat pembinaan dan tidak mungkin siap sebelum PRU-14.Namun begitu sudah menjadi tabiat Pakatan Harapan, mereka hanya bijak melontarkan fitnah dan tohmahan tetapi apabila penjelasan diberikan mereka tidak akan mempedulikannya.

Apa yang penting bagi mereka adalah membentuk persepsi dalam kalangan rakyat untuk memburuk-burukkan BN kerana itu sahaja ‘senjata’ yang mereka ada dalam usaha mencapai misi menawan Putrajaya dan sekali gus memastikan jawatan Perdana Menteri milik mereka.

Pakatan Harapan amat memahami sama ada di peringkat pusat mahupun di negeri, populariti BN dan UMNO semakin meningkat. Di negeri yang dikuasai mereka pula khususnya di Pulau Pinang dan Selangor sedang berhadapan dengan pelbagai kemelut dan krisis melibatkan soal integriti serta kesejahteraan hidup rakyat.

Ketika mereka begitu rancak menuduh BN mempunyai pelbagai kepincangan, di tubuh mereka sendiri terdapat pelbagai ‘penyakit’ dan bagi melindungi ‘penyakit’ itu daripada ketahui rakyat maka pendekatan politik fitnah dan tohmahan dilaksanakan.

Bagaimanapun setakat ini, BN tidak tergugat. Kerajaan Pusat di bawah kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri, terus gigih melaksanakan pelbagai program untuk rakyat dan pada masa sama menunjukkan kelantangan dalam memperjuangkan isu-isu umat Islam sejagat.

Keadaan itu menyebabkan Pakatan Harapan bagaikan ‘cacing kepanasan’. Mereka tidak ada agenda untuk membangunkan rakyat dan memakmurkan negara, apa yang ada dalam kepala otak mereka hanya mahu mencari kuasa dan merebut kuasa.

‘Penyakit’ mahu merebut kuasa tersebut bukan sahaja melibatkan pertembungan mereka dengan BN, malah dalam pakatan itu sendiri, mereka belum dapat memutuskan siapakah yang bakal menjadi Perdana Menteri. Mereka juga sehingga kini belum dapat mencapai kata putus soal pembahagian kerusi kerana segala-galanya akan ditentukan oleh DAP yang merupakan parti dominan dalam pakatan berkenaan.

Atas sebab itulah seperti mana kata Zambry, BN tidak perlu membuang masa melayan kerenah politik Pakatan Harapan. Sebaliknya BN perlu terus melaksanakan agenda membela nasib rakyat dan membangunkan negara. Apabila tiba masanya rakyat pasti akan menilai siapa yang melakukan kebaikan dan siapa pula yang sepanjang masa hanya menabur fitnah.

Sememangnya Pakatan Harapan bukan sahaja tidak ada modal malah dalam sejarah politik negara, inilah pakatan pembangkang yang paling ‘haru biru’, ­cacamarba, penuh kekeliruan dan kekalutan yang pernah wujud di negara ini. Lebih daripada itu, mereka jugalah kelompok politik paling hipokrit pernah ‘terlahir’ dalam persada politik tanah air.

Justeru biarlah mereka te­rus dengan taktik kotor tersebut. Percayalah ia tidak akan ke mana. Sekarang inipun satu demi satu pembohongan dan fitnah mereka sudah terbongkar. Lagipun kalaulah pemimpin mereka berusia 93 tahun masih bercita-cita ingin menjadi Perdana Menteri dan ada pula yang sanggup berpindah kawasan ber­kali-kali dalam pilihan raya, maka kita boleh menilai apa sebenarnya yang mereka mahukan!


Utusan Online


Sebaran :

Leave a Reply