Mahathir gagal imbangi pembangunan negara.

Share

Dr. Mahathir Mohamad ketika mentadbir negara ini gagal melihat kepentingan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dalam mengimbangi pembangunan wilayah-wilayah di negara ini.

Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ini mempunyai iltizam dan visi dalam mengimbangi pembangunan tersebut bukan sahaja antara Pantai Barat dengan Pantai Timur malah di Sabah dan Sarawak.

“Kita semua tahu keutamaan pentadbiran Dr. Mahathir sebelum ini adalah salah. Saya boleh beritahu anda bahawa pihak perunding yang membuat anggaran kos bagi ECRL pada zaman beliau jauh lebih rendah iaitu di bawah RM30 bilion.

“Tetapi beliau tidak berbuat apa-apa kerana fikir waktu itu tidak penting untuk Pantai Timur dibangunkan dan dihubungkan dengan satu rangkaian kereta api yang efisien,” katanya.

Abdul Rahman berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Penyerahan Peralatan Pusat Pemindahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada Daerah Kota Belud, Sabah di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin baru-baru ini yang mempersoalkan kewajaran ECRL dibiayai dengan pinjaman daripada Export-Import Bank of China (EXIM) dan menyifatkan sebagai bukan pelaburan untuk negara.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman yang juga Pengarah Strategik Komunikasi Barisan Nasional (BN) berkata, pentadbiran Najib telah memperuntukkan dana yang begitu banyak untuk pembangunan infrastruktur.

Kata beliau, pembangunan infrastruktur yang merupakan satu pelaburan kritikal demi pemba­ngunan masa depan sesebuah negara itu ditumpukan oleh Najib bagi memberi peluang ekonomi adil kepada wilayah yang selama ini ketinggalan.

“Kita tahulah Perdana Menteri mana yang mempunyai visi, dasar dan berlaku adil kepada negeri-negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak, tidak lain tidak bukan ialah Najib.

“Anda boleh membuat kesimpulan sendiri sama ada pentadbiran 22 tahun Dr. Mahathir membuat yang baik dan membawa keadilan kepada negeri-negeri tersebut,” katanya.

Utusan

Leave a Reply