Penyokong Bola Sepak Yang Tidak Sedar Dijadikan Mainan Politik

Share
Khabarnya di utara semenanjung sana terdapat segelintir penyokong bola sepak sebuah negeri yang masih lagi tidak sedar diri mereka telah dan sedang diperbodoh-bodohkan oleh pemimpin dari sebuah parti politik yang berkepentingan.
Mereka mendakwa tidak mahu sebarang elemen politik di dalam persatuan yang mengendalikan bola sepak di negeri itu. Lalu mereka memberikan sorakan negatif terhadap Presiden persatuan tersebut setiap kali beliau hadir ke stadium.

Dikatakan bahawa tindakan memberi sorakan negatif itu telah lama berlaku sejak Menteri Besar itu dilantik sebagai Presiden persatuan tersebut. Malah peristiwa yang sama juga berlaku pada satu perlawanan final piala berprestij di negara ini.

Mereka berhujah, kononnya tidak sukakan Menteri Besar itu menjadi Presiden persatuan bola sepak berkenaan kerana mengambil alih jawatan tersebut secara ‘kotor’ dengan menjatuhkan Menteri Besar yang sebelumnya. Itu alasan terkuat yang mereka berikan.

Penulis tersenyum memikirkan soal ini…

Pertamanya, segelintir penyokong itu mendakwa tidak mahu unsur politik di dalam persatuan bola sepak. Tapi mereka sendiri tidak sedar bahawa mereka sendiri sedang dipolitik dan mempolitikkan keadaan.

Ketika berlaku peralihan kuasa pertukaran Menteri Besar di negeri tersebut, siapakah gerangan yang masuk ke dalam stadium dalam satu perlawanan persahabatan, berucap di padang dengan ucapan yang berbaur politik dan menyemai sentimen kebencian di hadapan penonton?

Kenapa bekas Menteri Besar itu tergamak membawa politik ke dalam stadium negeri itu sedangkan sepatutnya sukan bola sepak perlu bebas dari sebarang unsur politik yang memecah belahkan? Bukankah sukan itu antara tujuannya adalah untuk menyatukan?

Jadi, secara tidak langsung, bekas Menteri Besar itu jelas adalah pihak yang bertanggungjawab mencemarkan sukan bola sepak negeri itu dengan sentimen politik, bukan? Siapa sebenarnya yang bermain ‘kotor’ sekarang?

Mungkin benar berlaku kontroversi peraliha kuasa di negeri itu yang melibatkan Menteri Besar. Namun untuk pengetahuan segelintir penyokong bola sepak di negeri itu, ianya berlaku mengikut undang-undang, prosedur yang sah dan adil.

Apabila seorang Menteri Besar gagal melaksanakan tanggungjawab terhadap parti politik yang melantik beliau, berlagak macam ‘legend’ tapi ‘tin kosong’, ‘besar kepala’ dan berbuat sesuka hatinya mengikut ‘ala-ala diktator’, maka sudah tentu dia akan hilang sokongan politik.

Setelah dia sebagai ketua hilang kawalan dan sokongan politik, maka sudah tentulah kedudukannya bagai ‘telur dihujung tanduk’. Ia adalah kerana sistem politik kepartian itulah yang melantiknya sebagai ketua dan Menteri Besar.

Tapi dia tidak jatuh begitu saja. Peralihan kuasa itu mengikut prosedur yang sah dan adil. Malah jemaah pemangku sultan ketika itu telah menyiasat, mengadili dan membuat keputusan jelas bahawa dia perlu meletak jawatan setelah majoriti Adun hilang kepercayaan terhadapnya.

Sekiranya dia tidak berbuat demikian, maka ia secara tidak langsung akan menjejaskan kestabilan kerajaan negeri dan politik semasa di mana dia mungkin akan tersingkir melalui undi tidak percaya secara rasmi di sidang dewan.

Lagipun, wibawa titah daripada jemaah pemangku sultan sendiri tidak mungkin dapat disanggah derhaka oleh bekas Menteri Besar itu. Jika dia berbuat demikian, makin sulit keadaan beliau untuk mentadbir negeri dan mungkin kekecohan yang lain pula akan tercetus.

Itulah kisah sebenarnya. Kegagalan dia berpolitik dan caranya yang ‘tidak semenggah’ itu telah menyebabkan dia terpaksa ‘menyingkirkan diri sendiri’. Tidak timbul soal lain yang menjadi penyebab dia perlu meletak jawatan selain isu politik dan pentadbiran ‘syok sendiri’.

Jadi, tidak timbul juga soal Menteri Besar sekarang mengambil alih jawatan tersebut dari bekas Menteri Besar secara ‘kotor’. Lantaran jemaah pemangku sultan dan Almarhum Sultan juga terlibat dalam proses peralihan kuasa itu, apakah segelintir penyokong bola sepak itu mahu mengaitkan baginda terlibat sebagai ‘politik kotor’? Tidak!

Jika tidak silap penulis, termaktub di dalam perlembagaan persatuan itu bahawa individu yang menjadi Menteri Besar juga perlu memegang jawatan Presiden bagi persatuan tersebut.

Ia difahamkan adalah bertujuan untuk mempermudahkan persatuan bola sepak itu mendapatkan sumbangan dan tajaan dari syarikat-syarikat GLC dan swasta. Dengan kedudukan Menteri Besar sebagai Presiden, ia dapat memberi pengaruh dan keyakinan bagi tujuan tersebut.

Sejak negeri itu bertukar Menteri Besar, khabarnya sudah tiga kali pasukan negeri itu ke final piala berprestij. Naib Juara dua kali dan sekali merangkul kejuaraan. Piala-piala lain juga turut dijuarai pasukan negeri itu katanya.

Selain itu, dikhabarkan juga bahawa Presiden persatuan itu cukup mementingkan kebajikan pemain. Gajinya tidak pernah tertunggak, malah bonus-bonus juga turut dilunaskan bagai dijanji. Cuma mungkin kesilapan teknikal saja yang membataskan pasukan itu beraksi di AFC…

Sehingga kini, Menteri Besar itu cukup profesional dalam melaksanakan tugas-tugasnya. Selaku Menteri Besar, tak kira orang PAS, PKR mahupun DAP turut menerima kebajikan dari Kerajaan Negeri. Selaku Pengerusi UMNO Negeri, setiap UMNO Bahagian juga diberi layanan adil dan saksama.

Justeru itu, berlapang dadalah semua. Usah campur adukkan sukan dengan politik. Bila ke padang, beliau menjadi Presiden persatuan bola sepak, dan bila di luar stadium, beliau adalah Menteri Besar. Bila di pejabat UMNO, maka dialah Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri, bukan?

Bekas Menteri Besar itu? Biarlah dia dengan ‘labu-labunya’. Yang penting, sedarlah dari melakukan tindakan yang tidak rasional dan dianggap biadab. Nanti kalau penaja lari, siapa yang susah? Sudah cukup baik penaja bantu bawa jurulatih import ‘idaman’. Belajarlah sama berterima kasih…

Leave a Reply