Zaman Jejaskan Diri Sendiri Dengan Menaikkan Kos Gaya Hidup

Share

Penulis akui, ada di kalangan rakyat di negara ini yang merungut tentang kenaikan kos sara hidup. Rata-ratanya adalah golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Yang kaya-raya pula turut ‘mengeluh’, tapi keluhan mereka itu kononnya untuk golongan yang terjejas…

Sehingga hari ini, ada yang masih menyalahkan kerajaan, khususnya penyokong pembangkang. Tempat mereka lepaskan geram adalah di media sosial. Hujah paling popular adalah GST dan harga petrol.

Sebetulnya, sudah berkali-kali hujah GST dan harga petrol dirasionalkan dengan fakta kukuh dan hujah-hujah yang bernas oleh pelbagai pihak. Namun mungkin akal mereka terlalu ‘genius’ untuk menghadam, mereka tetap menggunakan hujah dangkal itu. Jadi, usah dilayan akal ‘mengada-ngada’ tersebut.

Sebenarnya, penulis sendiri pun terkesan dengan kenaikan kos sara hidup. Bukan penulis sahaja yang terkesan, malah keluarga penulis juga begitu. Kami bukanlah dari golongan aristokrat atau bangsawan yang ada-ada.

Kami terkesan dengan kenaikan kos sara hidup sejak dari kami lahir lagi. Setiap 10 tahun, kami cukup terasa dengan kenaikan kos sara hidup. Ketika penulis kecil, dengan pendapatan yang sangat kecil, ibu bapa penulis terjejas teruk gara-gara kenaikan harga barang.

Khabar ibu, harga sekilo gula di zaman abang penulis naik dua kali ganda di zaman penulis. Penulis masih ingat kehidupan di zaman 80’an. Jangankan KFC, makan nasi berlaukkan ayam sebulan sekali pun agak payah. Makan nasi berlaukkan telur, berkuahkan kicap adalah satu kebiasaan.

Hendak bayar yuran sekolah pun penulis terpaksa kutip besi buruk untuk dijual. Penulis juga masih ingat tentang pakaian penulis yang tidak berganti dari tingkatan 1 hingga tingkatan 3. Masuk universiti pun terpaksa meminjam di sana sini…

Bila dikenangkan semua itu, penulis dapati bahawa ia semua adalah berpunca dari kenaikan kos sara hidup yang tidak dapat dielak dan keluarga kami terjejas kerananya. Satu-satunya pilihan yang ada hanyalah berjimat secukupnya dan mengawal gaya hidup.

Tipulah jika kami katakan hidup kami tidak tertekan. Namun kami hanya mampu bersabar, berusaha dan cekalkan hati untuk menempuh kehidupan. Ada di kalangan adik beradik kami yang berjaya dan ada yang sekadar cukup-cukup makan. Itu rencana Allah SWT…

Di zaman ini, memang berlaku kenaikan kos sara hidup. Ia satu perubahan yang normal. Sama seperti dekad-dekad yang sebelumnya. Ada yang terjejas dan ada yang langsung tidak terjejas. Ada yang tenang saja dan ada pula yang merungut 24 jam.

Ia adalah soal sikap individu. Jika dia tahu tentang jaminan dan konsep rezeki Allah, maka dia akan tenang. Jika dia tahu tentang usaha, sabar dan tawakkal, maka dia akan selamba. Jika dia terlatih dengan kesusahan, maka dia akan tabah tidak merungut.

Namun jika dia ‘taat’ pada peningkatan kos gaya hidup sedangkan pendapatannya tidak membolehkan dia berbuat demikian, maka dia akan sengsara. Dia mampu beli Myvi, tapi dibelinya Honda Accord baru. Dia mampu kopi larat, tapi dia minum Starbucks selang dua hari.

Kononnya ‘keperluan’ mengikut gaya hidup terkini? Alasannya ‘dulu lain, sekarang lain’? Benar itu gaya hidup dan lain zaman maka lain trend kehidupannya. Penulis tidak nafikan hujah yang subjektif itu.

Tapi orang dulu tidak merungut walaupun hidup mereka lebih susah. Orang dulu lebih sedikit pendapatannya dan berdepan dengan kenaikan kos sara hidup yang memeritkan. Tapi kami tidak mengeluh, memaki hamun atau menyalahkan sesiapa pun!

Siapa kata pendapatan dulu memungkinkan kami boleh berbelanja dengan selesa? Itu mungkin bagi golongan aristokrat, tapi bagi kami golongan orang biasa ia kenaikan kos sara hidup tidak membolehkan kami makan durian premium, melancong bercuti di hotel 5 bintang, apatah lagi makan KFC setiap minggu!

Seorang kerani kini mampu memakai pakaian berjenama, makan di McDonalds adalah satu kebiasaan, menikmati kopi Starbucks dua kali seminggu, memiliki Myvi, bercuti bersama keluarga dan menginap di hotel setiap tahun. Apakah itu keperluan atau kehendak gaya hidup?

Sedangkan, kerani dulu sebulan sekali pun belum tentu boleh makan KFC, pakaian berjenama jangan mimpilah. Hanya bermotosikal ke tempat kerja dan jika bercuti sekali pun mereka hanya berkelah di lokasi air terjun atau pantai dengan kos yang minimum, untuk bermalam di hotel jauh sekali.

Malah, kami orang dulu masih mampu menyimpan wang setiap bulan walaupun hanya sekadar RM20 hingga RM50 setiap bulan. Kami tidak melaram, kami tidak membeli merapu sesuka hati. Kami sentiasa beringat, ‘sediakan payung sebelum hujan’.

Tapi orang sekarang rata-ratanya ‘biar papa asal bergaya’? Biar ‘swap’ kad kredit sampai habis limit asalkan dapat iPhone, aksesori kereta turbo, tudung fesyen terkini dan berlibur di Bandung? Ada duit simpanan sedikit, maka jejaklah kaki di London atau Korea ala-ala ‘winter sonata’?

Bila habis duit, hutang bertapuk, mulalah mengeluh. Ketika itu mulalah merungut konon tertekan? Mulalah memaki hamun dan menyalahkan orang lain? Mulalah merepek-repek di media sosial? Padahal dia tidak sedar itu salah dirinya sendiri?

Justeru itu, bukanlah penulis berlagak pandai, tapi berpada-padalah bila bercakap soal kenaikan kos sara hidup. Sila suluh diri sendiri sebelum merungut macam budak tak cukup akal. Umur sudah hampir separuh abad, tapi berfikir masih lagi macam budak-budak…

Belajarlah dari kesilapan. Buat bajet sendiri setiap bulan. Belajar menabung setiap bulan. Belajar usaha dan dapatkan rezeki yang berkat. Belajarlah sabar setiap kali dilanda musibah. Berdoa dan mintalah rezeki daripadaNya. Bertawakkal dan bersyukurlah dengan apa yang Dia beri, insha Allah selamat dunia akhirat.

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!