Dua Parti Itu Tidak Setanding PAS…

Sebaran :

Sejak PAS diceraikan DAP dari Pakatan Rakyat, kita melihat ramai ahli dan penyokong PAS yang lega. Seolah-olah leher PAS baru saja terlepas dari belenggu ‘tuan’ yang memperkudakan parti itu sejak sekian lama.

Ketika PAS mengambil keputusan untuk bersama DAP pada sebelumnya dulu, ramai ahli dan penyokongnya yang ‘berpeluh dahi’, menggaru kepala yang tidak gatal. Entah mengapa, susah hati benar bila ‘sekatil’ dengan parti yang terkenal dengan ‘chauvinis ultra kiasu’ itu.

Kini, PAS sudah ‘bebas’. Malah apabil terbentuk PAN dan keluarnya beberapa pemimpin ‘harum manis’ dari parti itu dianggap sebagai satu rahmat yang membersihkan PAS dari saki baki ‘kekotoran’ yang ditinggalkan DAP dan PKR di dalam parti tersebut.

Kini PAS mengepalai Gagasan Sejahtera. Lehernya tidak lagi terikat dengan ‘rantai’, tidak lagi ‘bisu’, tidak lagi terpaksa tulikan telinga digelar ‘hamba DAP’. Tidak pasti untuk berapa lama, namun PAS khabarnya telah kembali mencari keredhaan Allah selepas dilekakan dengan politik, kuasa dan jawatan.

Namun kekosongan yang ditinggalkan PAS itu kini diisi oleh PAN, parti serpihannya. Parti ‘cap bunga’ yang juga parti serpihan UMNO juga ‘tumpang sekaki’. Nampaknya DAP boleh tersenyum lebih lebar. Terlepas satu, tapi dua yang datang menyerahkan leher…

Meskipun PAS berkali-kali menegaskan partinya mengepalai Gagasan Sejahtera dan tidak bersatu politik dengan UMNO, namun DAP, ‘cap bunga’, PAN dan PKR tetap meneruskan propaganda kononnya PAS kini bersama UMNO dan BN. Mereka tahu ia tidak benar, namun propaganda itu tetap diteruskan.

UMNO dan PAS juga senada menegaskan kepada rakyat bahawa kedua parti itu hanya bersatu tentang isu-isu yang melibatkan kepentingan agama Islam, bangsa Melayu dan negara, tapi tiada kerjasama politik, tapi Pakatan Harapan tetap teruskan propagandanya.

Pada pandangan penulis, wujud elemen cukup jelas yang menunjukkan Pakatan Harapan seolah-olah tidak senang jika PAS dan UMNO matang dalam bekerjasama tentang isu berkaitan Islam, orang Melayu dan negara. Mereka bagai cemburu…

Bila Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak menerima baik cadangan PAS untuk draf undang-undang jenayah yang dimurnikan menjadi RUU bagi memartabatkan sistem perundangan syariah di negara kita yang membawa kepada pindaan RUU 355, mereka ‘mengelupur’.

Bila Perdana Menteri dan Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang bersatu dan berdiri sepentas melafazkan sokongan kepada etnik Rohingya yang dizalimi rejim junta Myanmar, macam-macam tohmahan negatif dilemparkan.

Perdana Menteri dan Presiden PAS khabarnya bakal sepentas lagi. Kali ini, dua Presiden bagi dua parti Melayu Muslim terbesar negara itu akan menyuarakan pendirian tentang isu kebiadapan Israel dan Palestin. Entah apa pula yang akan ‘puak’ itu propagandakan nanti…

Penulis melihat, walaupun DAP kini mempunyai dua ‘abdi’ untuk diperkudakan pada PRU 14 nanti, hakikatnya dua parti yang menyerahkan ‘leher’ itu tidak segagah PAS. Ahli dan penyokong pun tidak ramai, baru belajar ‘bertatih lagaknya. AGM pun 12 orang saja?

Khabarnya satu parti itu mungkin diharamkan kerana melanggar perlembagaan sendiri. Jika gagal memenuhi syarat yang ditetapkan RoS, maka ia akan diharamkan. Satu parti lagi begitu ketara tidak mendapat sambutan. Mungkin kerana ia dikepalai oleh orang yang suka merapu tidak ketahuan hala…

Jujurnya, penulis lebih senang dengan keadaan ini. Tidak perlu PAS dan UMNO bersatu politik, namun kedua pemimpin tertinggi kedua parti itu menyedari tentang kebersatuan yang lebih unggul dicapai melalui tali ikatan ukhuwah yang melangkaui batasan politik.

Politik hanyalah satu platform daripada sistem demokrasi. Namun ikatan persaudaraan sesama Islam dan mengimarahkan agama Allah itu adalah satu usaha yang murni dan lebih ‘aula’ berbanding terus mengabdikan diri mengejar kuasa politik.

Pakatan Harapan tidak perlu khuatir, penulis PAS dan UMNO tidak akan bersatu politik pada PRU 14 nanti. UMNO dan PAS hampir pasti bertembung. PAS akan cuba tewaskan BN dan begitu juga sebaliknya pada pilihan raya nanti. Usah risau.

Tapi tidak tahulah pada masa-masa yang akan datang. Jika ditakdirkan Allah PAS bersama dengan BN yang ditunjangi UMNO suatu hari nanti, kita tidak mampu menolak ‘jodoh’, bukan? Siapa sangka Mahathir bertemu jodoh dengan Kit Siang, bukan?

Pakatan Harapan fikir majoriti rakyat bersama mereka? Mereka boleh pusing Malaysia menjaja cerita tipu dan keluar negara memburuk-burukan negara sendiri. Tapi jangan fikir rakyat percaya. Mahkamah minta bukti RM90 juta pun tidak mampu beri, bagaimana nak meyakinkan rakyat?

Lagipun, rakyat sendiri sudah muak dengan huru-hara dan kemelut dalaman Pakatan Harapan yang kini bukan lagi rahsia. Konon tiada masalah? Nak lantik calon Perdana Menteri pun pening kepala, itu belum lagi masuk cerita berebut nak jadi calon pilihan raya. Hancur!

Rakyat di negara ini tidak bodoh. Mungkin ada yang agak kecewa dan sedikit tertekan ekoran terpengaruh sedikit dengan pembohongan Pakatan Harapan di media sosial, tapi mereka tidaklah bodoh untuk serahkan negara kepada Pakatan Harapan. Jadi, usah perasan…

Sehingga kini, biarpun pahit, Pakatan Harapan perlu menerima hakikat bahawa majoriti rakyat di negara ini hanya yakin pada UMNO dan BN untuk terus mengemudi negara, dan PAS merupakan sebuah parti yang telah berubah sikap menjadi ‘matang’.


Sebaran :

Leave a Reply