Siapa Calon PM Pakatan Harapan Yang Sebenar? · MYKMU.NET

Siapa Calon PM Pakatan Harapan Yang Sebenar?

Share

Ramai yang bercakap mengenai DAP yang akan menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. Antara yang disebut bakal menjadi Perdana Menteri adalah Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.

Ada yang menolak pandangan yang mengatakan DAP akan jadi Perdana Menteri. Katanya ia hanya semata-mata propaganda UMNO untuk menakut-nakutkan orang Melayu di negara ini. Kata mereka, DAP tidak mungkin diterima jadi Perdana Menteri.

Pada pandangan penulis, Perlembagaan Persekutuan sejak dari zaman merdeka lagi memang membenarkan individu bukan Islam untuk menjawat jawatan nombor satu negara itu. Tun Dr Mahathir Mohamad pun pernah mengaku tentang hakikat itu pada 2013 dulu.

Benar. Dalam Perlembagaan Malaysia memang tidak melarang individu bukan Melayu Islam untuk menjadi Perdana Menteri. Pakar-pakar perlembangaan, termasuk Dr Aziz Bari yang kini menyertai DAP juga mengakui hakikat itu. Itu satu fakta jelas, tidak kabur.

Namun begitu, Pakatan Harapan tahu bahawa jika mereka menamakan Kit Siang mahupun Guan Eng sebagai calon Perdana Menteri, maka mereka akan hilang sokongan orang Melayu atas pagar, apatah lagi penyokong PAS dan UMNO.

Maka kerana itulah pemimpin Pakatan Harapan menafikan dakwaan itu dan tidak melantik Kit Siang sama taraf dengan Mahathir meskipun kedua mereka itu dilihat “sama taraf”. Tapi hanya Mahathir saja dianggap sebagai ‘ikon’, sebaliknya Kit Siang tidak.

Depan rakyat Malaysia, maka disebut nama Mahathir dan bukan DAP yang akan menjadi Perdana Menteri. Ini kerana nama Mahathir lebih diterima berbanding Kit Siang yang hanya dapat diterima majoriti orang Cina.

Namun realitinya, apakah benar Mahathir akan kembali menjadi Perdana Menteri pasa usia 93 tahun? Pada pandangan penulis, ramai yang akan ketawakan Malaysia jika Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri pada usia tersebut.

Menuju masa depan yang lebih mencabar, tiba-tiba mahu dilantik seorang ‘ortodoks’ yang suka buat ‘u-turn’, yang disyaki menghidap ‘alzhiemer’ kronik, ‘bertuhankan’ politik, ‘maha-zalim’, ‘maha-firaun’ yang tahap kesihatannya amat diragui?

Penulis berpandangan bahawa Mahathir sebagai calon Perdana Menteri adalah tidak logik dek akal. Sama ada dari sudut fizikal atau mental, dia memang langsung tidak wajar. Hanya yang emosi dan tidak rasional saja yang dapat menerimanya.

Kit Siang juga tidak realistik sebagai calon Perdana Menteri. Mungkin dia hebat memanipulasi minda orang Cina, namun tidak majoriti orang Malaysia. Mahathir sendiri yang berpuluh tahun menjahanamkan reputasi Kit Siang, bukan?

Jadi, jika Mahathir buat ‘u-turn’ sekali pun sekarang dan memuja-muji Kit Siang setinggi langit, atau menyifatkan ‘De Facto’ DAP itu sebagai ‘dewa’ sekalipun, majoriti orang Malaysia tidak akan dapat terima. Itu realitinya.

Jika bukan Mahathir dan Kit Siang, siapa lagi? Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak mungkin dapat menjadi calon Perdana Menteri pada PRU ke-14 nanti kerana ‘edah’ hukuman jenayahnya hanya akan berakhir selepas beberapa tahun dari tarikh dia dibebaskan dari hukuman nanti.

Maka kita boleh lihat senarai nama lain seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir, Lim Guan Eng, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Mohamad Sabu, dan isteri Anwar, Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Pada hemat penulis, agak mustahil untuk Wan Azizah dicalon menjadi Perdana Menteri Pakatan Harapan. Bukan hanya atas faktor gender yang menyukarkan dirinya, malah dia dilihat tidak lebih dari pemimpin ‘boneka’ dan memiliki gaya kepimpinan yang sangat lemah.

Umumnya kita tahu walaupun dia Presiden PKR, namun jika tidak kerana Anwar dan sokongan anak-anak dan mereka yang setia pada suaminya, maka dia bukan sesiapa pun dalam parti itu. Layaknya mungkin di tahap bendahari atau ketua biro kesihatan parti sahaja.

Muhyiddin pula dilihat tidak signifikan untuk dilantik sebagai calon Perdana Menteri kerana dia tidak mampu menonjol dalam parti ‘cap bunga’, sebaliknya dilihat ‘tenggelam’ dan ‘lemas’ dalam bayang-bayang Mahathir dan Mukhriz. Umpamanya, tanpa Mahathir dan Mukhriz, siapa Muhyiddin?

Azmin pula kurang stabil kekuatan politiknya. Dia jadi Menteri Besar pun kerana takdir dari belas ehsan PAS dulu. Tanpa PAS, jangan haraplah dia dapat jadi Menteri Besar Selangor. Bila PAS ditendang keluar dari Pakatan Harapan, kerusi Azmin nampak sangat ‘goyang’.

Untuk melantik Mat Sabu sebagai calon Perdana Menteri, mungkin Pakatan Harapan takut diketawakan rakyat Malaysia. Jika namanya dipilih, maka itu namanya beri kemenangan percuma kepada UMNO dan BN. Tidak mungkin Mat Sabu…

Mukhriz anak Mahathir, manakala Guan Eng anak Kit Siang. Seorang bekas Menteri Besar dan seorang lagi masih berjawatan Ketua Menteri. Bila disebut Mahathir atau Kit Siang sebagai calon Perdana Menteri, maka terbayanglah Mukhriz dan Guan Eng. Soalnya siapa paling layak dicalonkan?

Pada pandangan penulis, politik Mukhriz terlalu lemah berbanding Guan Eng. Dia bagai ‘beginner’, Guan Eng sudah berada pada kategori ‘expert’. Mukhriz hanya nasib saja jadi Menteri Besar dengan bergantung harap kepada Dato’ Seri Ahmad Bashah dan UMNO Kedah.

Semua orang tahu Mukhriz hanya balik berkempen di Kedah empat bulan sebelum PRU ke-13. Sepanjang lima tahun UMNO jadi pembangkang di Kedah, Mukhriz lebih banyak buang masa di ibu negara dan semua gerak kerja parti diserahkan bulat-bulat kepada Ahmad Bashah.

Mungkin beberapa bulan sebelum PRU 13 dia diberitahu akan dilantik menjadi Menteri Besar oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak jika BN menang di Kedah, empat bulan baru dia balik buat kerja. Padan pun dia tidak tahu apa-apa tentang gerakan politik sebenar di Kedah.

Khabarnya, nama AJK Bahagian sendiri pun dia tidak tahu, apatah lagi kenal latar belakangnya. Ketika jadi Menteri Besar dan Adun, kerja di kawasan hanya diserah bulat-bulat pada wakilnya? Lebih selesa luang masa bercuti main ‘dolphin’ berbanding mendekati rakyat sendiri?

Padan pun ramai rakyat Ayer Hitam mengeluh. Nama saja gah berwakil rakyatkan seorang yang popular dan bernama besar, tapi tidak tahu tugas dan ‘skill’ untuk menjadi seorang pemimpin yang hebat menjaga kebajikan rakyat. Orang macam itu nak jadi Perdana Menteri? Benar bapanya berjasa, tapi dia tidak berjasa apa pun…

Berbanding Guan Eng, meskipun terpalit dengan skandal rasuah, namun DAP memiliki barisan peguam yang hebat dan dijangka mampu ‘drag’ kes mahkamah bertahun-tahun seperti Anwar. Malah mungkin dengan kewibawaan ‘putar belit’ peguam DAP memanipulasi kes, tidak mustahil Guan Eng akan terlepas.

Apatah lagi jika Pakatan Harapan menang, maka mudah sangat Guan Eng didapati tidak bersalah. Meniru gaya Mahathir, jika hakim kata salah, dia boleh pecat saja hakim itu seperti Tun Salleh Abas dulu. Jika orang bising, dia boleh kata ‘Mahathir boleh, kenapa saya tak boleh?’, kan?

Justeru itu, dari sudut hak di dalam Perlembagaan Persekutuan, maka penulis positif mengatakan Guan Eng merupakan calon Perdana Menteri Pakatan Harapan yang paling layak. Politik, pengaruh, kuasa dan strateginya agak hebat. Dia mampu ‘hidup’ lama dalam DAP.

Namun begitu, sekiranya Pakatan Harapan meletakkan calon selain Guan Eng sebagai Perdana Menteri, itu tidak akan menghairankan penulis kerana DAP sememangnya tidak perlu pun untuk rasmi dilantik menjadi Perdana Menteri.

Sesiapa saja sama ada Mat Sabu, Azmin, Mukhriz, Muhyiddin, Wan Azizah, mahupun Dato’ Mahfuz Omar boleh jadi Perdana Menteri jika menang bertanding PRU 14. Nama-nama ini mudah sangat untuk dijadikan ‘boneka’ DAP.

Misalnya, jika Mukhriz jadi Perdana Menteri dan kerusi ‘cap bunga’ hanya 10 kerusi manakala DAP ada 50 kerusi Parlimen, maka sekali DAP ‘berdehem’, terpaksalah dia menurut kehendak DAP. Buatnya DAP kata keluar gabungan, Mukhriz boleh ‘hilang’ kerusi Perdana Menteri, bukan?

Jadi, faham-fahamlah bila orang kata DAP yang akan jadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan menang pada PRU 14 nanti. DAP tidak perlu pun jadi Perdana Menteri yang rasmi, kerana parti itulah calon ‘Perdana Menteri tidak rasmi’.

Itu pun belum tentu lagi. Itupun kalau mampu tewaskan BN lah, kan?

Leave a Reply