Pulang Pingat: Orang Utara Panggil ‘Bebai’…

Share

Baru-baru ini kecoh diperkatakan tentang “negarawan ulung” yang memulangkan pingat yang dianugerahkan Sultan Selangor kepadanya suatu masa dahulu. Mungkin itu adalah reaksi balas warga emas itu terhadap titah Sultan Selangor terhadapnya baru-baru ini.

Tindakannya memulangkan pingat itu juga mendapat reaksi orang ramai. Yang menyokong, sudah tentulah pengampu-pengampunya. Namun ramai yang memandang tindakannya itu sebagai tidak wajar, tidak menghormati dan tidak menghargai kurniaan Istana Selangor.

Pada pandangan penulis, meskipun Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan menerima kembali pemulangan pingat kebesaran itu, namun apa yang dilakukan bekas Perdana Menteri tersebut bagaikan ‘sembah derhaka’.

Ekoran lontaran pandangan baginda Sultan terhadap dirinya dalam satu wawancara dengan The Star baru-baru ini, dia tiba-tiba ‘sentap tak tentu hala’. Sikap tersebut dikenali sebagai ‘bebai’ dalam kalangan orang utara. Sudah tua, makin kerap ‘bebai’?

Sikap ‘bebai’ atau ‘bebal’ ini kebiasaannya suka ditunjukkan oleh kanak-kanak yang baru nak ‘up’ dan majoriti yang masih belum akil baligh. Mereka selalunya bersikap begitu apabila ibu bapa enggan menunaikan kehendak mereka.

Ada yang hentak kaki, ada yang hempas pintu. Ada yang baling barang dalam bilik dan ada yang berguling-guling atas lantai di pusat membeli belah. Namun mungkin bagi ‘kanak-kanak tua’, mereka akan pulangkan pemberian orang kepada mereka?

Sekiranya ‘negarawan maksum’ itu memberi alasan kononnya dia memulangkan pingat itu kerana tersinggung dengan pandangan Sultan Selangor terhadapnya, kenapa dia tidak pulangkan pingat kepada Sultan-Sultan yang pernah mengkritiknya dengan keras sebelum ini?

Sebagai contoh, ketika mana berlakunya krisis perlembagaan yang menyaksikan beliau mengurangkan kuasa Raja-Raja Melayu, dikatakan terdapat beberapa orang Sultan yang kurang senang dan murka terhadapnya.

Malah sebelum ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga pernah menghambur titah murka baginda yang dipercayai ditujukan terhadapnya. Kenapa dia tidak pulangkan pingat kepada Istana Johor? Atau dia memang tidak pernah menerima sebarang pingat kebesaran dari Johor? Itu penulis tidak pasti.

Pokok pangkalnya, penulis melihat tindakan ‘top dog’ Pakatan Harapan itu bagai memberi isyarat jelas bahawa dia sebenarnya mengesahkan diri telah kembali ke alam kanak-kanak ‘ribena’. Jika dituduh ‘nyanyuk’, nanti dia marah-marah dan tulis dalam blog pula, kan?

Penulis harap, ahli-ahli keluarganya mengambil berat tentang perkembangan ‘tumbesaran kanak-kanak tua’ itu dengan teliti. Jika perlu, pujuklah dia untuk tidak lagi ‘merayau-rayau’ di atas pentas sambil ‘meracau-racau’ mengikut imaginasi politiknya.

Hanya kepada keluarganyalah saja yang penulis harapkan. Hendak diharap sekutu-sekutu pembangkangnya, lebih seronoklah mereka ‘memperkuda’ bekas Perdana Menteri itu selagi ada nyawa. Jadi, kasihanilah ‘negarawan paling berjasa dalam dunia’ itu. ‘Menitik air mata’ dibuatnya…

Leave a Reply

Do NOT follow this link or you will be banned from the site!